AGIHAN RASULULLAH ADALAH YANG TERBAIK

noormalaSoal Jawab Zakat0 Comments

Soalan:

Mutakhir ini banyak kedengaran pihak yang mempertikaikan pengagihan zakat. Jadi, saya ingin kepastian berkenaan siapakah orang-orang yang layak menerima zakat? Bagaimanakah caranya pihak pengurusan zakat mengenal pasti orang yang layak itu dan bagaimanakah caranya Nabi Muhammad SAW sendiri pada zaman dahulu mengagihkan zakat?

Jawapan:

Terima kasih di atas persoalan yang diajukan dan mudah-mudahan penulisan ini mampu memberikan jawapan yang mampu menghilangkan perasaan ingin tahu yang bersarang di minda pihak yang bertanya yang mungkin jumlahnya ramai di luar sana.

Terlebih dahulu, di dalam menyajikan jawapan kepada persoalan ini, sukalah saya nyatakan bahawa pengagihan zakat adalah suatu ketetapan yang datangnya daripada Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang boleh direka-reka sendiri oleh mana-mana pihak.

Sebab itulah, dalam memahami fikah zakat, para pengurus zakat wajib memahami siapakah yang layak untuk disantuni kerana hanya merekalah yang boleh dianggap mustahiq atau orang-orang yang berhak kepada harta zakat.

Sekiranya tersalah menyalurkan zakat, maka jelas pihak yang akan dipertanggungjawabkan di sisi Allah SWT kelak ialah mereka yang diamanahkan menguruskan zakat. Sebuah hadis daripada Anas bin Malik r.a. wajib dijadikan pedoman, di mana beliau meriwayatkan bahawa suatu hari telah datang seorang lelaki dan bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai zakatnya.

desert-790640_960_720

Dia berkata: “Ya Rasulullah, seandainya aku telah menyerahkan zakat yang menjadi kewajipanku kepada amil utusan engkau dan tiba-tiba mereka tidak bersikap amanah (menyeleweng), maka adakah akumasih dianggap berhutang di sisi Allah SWT?” Maka Nabi menjelaskan: “Tidak, engkau sudah pun melaksanakan kewajipanmu dan orang yang akan dipertanggungjawabkan di hari akhirat kelak ialah mereka yang telah menyelewengkan harta zakatmu itu.” – Riwayat Imam Ahmad

Atas dasar itulah, para amil atau pengurus zakat perlu menjaga amanah harta zakat ini agar ia tidak menjadi beban kepada para amil untuk menjawabnya di hadapan Allah SWT kelak. Atas dasar yang sama jugalah, maka pihak pengurusan zakat juga wajib dan perlu memastikan hanya mereka yang layak sahaja disantuni.

 

PERIKSA LATAR BELAKANG

Maka, tidak dapat dinafikan juga bahawa dek kerana sikap terlalu berhati-hati dalam menguruskan agihan zakat inilah yang telah menjadi sasaran kritikan dalam kalangan umat Islam. Ramai pihak menganggap agihan zakat terlalu rumit, tidak cepat, banyak prosedur, banyak proses siasatan, banyak tapisan dan pelbagai lagi tuduhan dan persepsi negatif yang dilabelkan.

Hakikatnya, mereka yang memberikan kritikan ini tidak memahami bahawa mengagih zakat jauh lebih sukar daripada mengutip zakat. Dalam bab mengutip zakat, Nabi SAW tidak pernaha memerintahkan pihak amil untuk bertanya dahulu kepada orang yang mahu berzakat, daripada manakah sumber hartanya?

Namun, dalam mengagihkan zakat, Nabi SAW sebaliknya memerintahkan agar setiap orang yang datang memohon zakat, diperiksa dahulu latar belakang mereka.

Sabda Nabi SAW yang maksudnya: “Wahai Qabishah, zakat itu tidak halal (haram) kecuali kepada tiga golongan, (salah satunya) ialah mereka yang mengadu miskin dan hendaklah pengakuannya itu dipersaksikan oleh tiga orang lelaki dari kaumnya yang pintar.” – Riwayat Imam Muslim

Maka, sebab itulah pusat zakat wajib menyiasat latar belakang pemohon. Atas dasar inilah, maka amil qariyah di peringkat tempatan (taman dan kampung) dilantik, agar dapat mengesahkan status pemohon kerana mereka lebih mengenali pemohon.

Bagaimanakah pusat zakat mengenal pasti asnaf? Maka, di sini pihak pusat zakat mewujudkan beberapa kaedah mengikut kategori asnaf itu sendiri. Contohnya asnaf fakir dan miskin, maka status mereka akan ditentukan berdasarkan bancian Had al-Kifayah ketua keluarga. Jumlah pendapatan akan dibandingkan dengan jumlah tanggungan dan dari situ pihak zakat akan menentukan sama ada si pemohon miskin atau kaya, sekali gus layak atau tidak menerima zakat. Sementara itu, untuk kesahihan, maka siasatan di lapangan akan dilakukan dan di sinilah peranan pihak nazir masjid, ketua kampung dan amil kariah diperlukan. Setelah dibua siasatan dan penilaian, barulah mereka dikategorikan sebagai asnaf fakir, miskin atau bukan asnaf.

Baiklah, bagaimana caranya Nabi Muhammad SAW mengagihkan zakat? Sudah pastilah baginda Rasulullah SAW menggunakan kebijaksanaan baginda dalam mengagihkan zakat. Namun percaya atau tidak, pada zaman dahulu pun sudah ada pihak yang berani mempertikaikan agihan yang dilakukan oleh Nabi SAW.

Maka, sikap suka mengkritik ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia pengagihan zakat, padahal agihan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW itu pastilah agihan yang terbaik, kerana Nabi dipantau sendiri oleh Allah SWT. (Rujuk at-Taubah: 58)

Imam Bukhari meriwayatkan, pada suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang membahagi-bahagikan sedekah (zakat), telah datang seorang lelaki bernama Zul Khuwaishirah dan berkata: Hendaklah kamu bersikap adil (dalam pengagihan zakat). Lalu Nabi SAW menjawab: Celakalah kamu, siapa (lagi) yang akan berbuat adil jika aku tidak berbuat adil. Maka turunlah ayat di atas.

Ulama menyatakan, peristiwa di atas terjadi lantaran ada orang yang tidak mendapat bahagian sedekah (zakat) sehingga mereka sanggup menyatakan Nabi telah bersikap adil. Walhal, dalam pengagihan zakat pastilah Nabi memilih hanya mereka yang layak sahaja disantuni. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abi Said al Khudri)

Allah SWT seterusnya menyambung di dalam ayat ke-59 dalam surah at-Taubah. Lanjutan daripada insiden berkenaanlah, turunnya ayat ke-60 juga daripada surah at-Taubah, agar tidak ada lagi mana-mana pihak yang berani mempertikaikan agihan zakat.

Kesimpulannya, pada zaman Nabi pun sudah ada pihak yang berani mempertikaikan agihan zakat yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Puncanya, kerana mereka merasa cemburu, malah iri hati dan dengki apabila tidak mendapat harta zakat.

Sedangkan dalam pengagihan harta zakat, sudah ada tatacaranya dan mereka yang benar-benar layak sahaja berhak menikmatinya.

 

Disediakan oleh:

Ustaz Hamizul Abdul Hamid

Perunding Eksekutif Dakwah

Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *