BAGAIMANA MENANGANI PERBEZAAN PENDAPATAN TERHADAP ZAKAT PENDAPATAN?

noormalaSoal Jawab Zakat0 Comments

Soalan: Baru-baru ini saya mengikuti sebuah kuliah agama dan penceramah menyatakan, Zakat Pendapatan tidak wujud dalam mazhab Syafie, ia hanya ada dalam mazhab Maliki. Saya menjadi keliru, kerana di Malaysia umumnya bermazhab Syafie dan kita sudah pun menerima Zakat Pendapatan sebagai wajib. Mohon penjelasan ustaz, terima kasih.

Jawapan: Alhamdulillah, mudah-mudahan jawapan yang disajikan ini mampu menghuraikan kekusutan mengenai isu kewajiban Zakat Pendapatan yang nampaknya masih lagi menjadi pertikaian. Tidak dinafikan, isu ini sering dibahaskan oleh ramai asatizah, ada yang pro dan ada yang kontra terhadapnya.

Sebelum pergi lebih lanjut, suka penulis nyatakan bahawa Zakat Pendapatan hakikatnya bukanlah isu baharu. Di dalam kajian yang dibuat, ia sudah mulai dikutip pada zaman Khalifah ar-Rasyidin, iaitu semasa era Saiyidina Uthman bin Affan menjadi khalifah. Baginda telah mengenakan zakat atas harta perolehan di kalangan tenteranya. Harta perolehan atau dalam istilah lain, disebut juga harta pendapatan. Dalam bahasa Arab, ia disebut al-mal al-mustafad.

Harus difahami, harta perolehan tentera ketika itu bukan sekadar ghanimah (rampasan perang), tetapi merupakan gaji tetap yang telah diberikan sejak Saiyidina Umar al-Khattab r.a menjadi khalifah. Selepas kewafatan Khalifah Uthman r.a, Khalifah Muawiyah bin Abi Sufiyan dan Umar bin Abdul Aziz r.a telah memperkukuhkan lagi amalan ini dengan mengenakan zakat perolehan ke atas tentera dan termasuklah penjawat awam lainnya.

Apabila para sahabat muktabar sendiri yang melaksanakannya, bermakna pasti ada suatu dalil yang kuat mendasarinya. Ini kerana, sesuatu ibadah tidak boleh dilaksanakan tanpa ada dalil yang mengizinkan. Namun, hal mengenai dalil ini sudah pun sering saya bahaskan di dalam persoalan mengenai Zakat Pendapatan sebelum ini.

Maka, di dalam makalah yang terbatas ini ingin saya huraikan mengenai persoalan di atas dari perspektif yang berbeza, iaitu perspektif khilafiyah dalam urusan agama dan bagaimanakah Islam menyelesaikan perbezaan itu dalam konteks bernegara.

Secara umumnya, khilaf atau perbedaan pendapat adalah suatu hal lumrah yang pasti terjadi dalam kalangan manusia, termasuk alim ulama. Seperti mana diisyaratkan oleh Allah SWT: “Dan apabila kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (as-Sunnah),” (an-Nisa: 59).

Apakah punca berlakunya khilaf dalam sesuatu hukum fiqh? Jawapannya, ia tergantung kepada sudut pandang dan kefahaman seseorang fuqaha dalam menanggapi sesuatu dalil, sama ada dalil al-Quran mahu pun al-hadis. Sebagai contoh, dalam isu batalnya wudhuk ketika bersentuhan lelaki dan perempuan yang ajnabi (bukan mahram dan harus nikah), termasuklah suami isteri, maka di sisi Mazhab Syafie menyatakan batal. Padahal jumhur ulama fiqh lain menyatakan tidak batal.

Perbezaan hukum fiqh terjadi kerana kefahaman mereka yang berbeza terhadap firman Allah SWT: “Atau jika kamu (lelaki) menyentuh (laamastum) perempuan,” (al-Maidah: 6).

Imam Syafie mentafsirkan sentuhan itu secara langsung (harfiyah), sama ada dengan nafsu atau tidak, ia menjadi batal. Imam Hanafi berpendapat, sentuhan itu bermakna berlakunya hubungan jenis, baharu batal wudhuk. Manakala di sisi Imam Malik dan Imam Hambali, wudhuk menjadi batal jika sentuhan itu beriringan dengan nafsu syahwat. Perbedaan kefahaman kepada dalil yang sama, menghasilkan hukum fiqh yang berbeda. Inilah keunikan dunia fiqh.

Maka, sudah menjadi amalan di Malaysia yang kental dengan aliran Syafie, bahawa bersentuhan suami isteri membatalkan wudhuk. Hal ini diterima umum dan ia menjadi dasar fiqh agar sesama umat Islam tidak saling menyalahkan. Maknanya, suatu pandangan diambil menjadi pandangan rasmi, dan ia mengikat pandangan yang lain.

Demikianlah juga halnya dengan amalan zakat. Zakat Pendapatan ini biar pun tidak sebut di sisi Mazhab Syafie, namun itu bukanlah bermakna ia tidak boleh dilaksanakan. Ini kerana, di sisi pihak pengeluar fatwa (Jawatankuasa Fatwa), mereka mempunyai pertimbangan tertentu sebelum memutuskan sesuatu fatwa. Antaranya melihat kepada mafsadah (keburukan) dan manfaat (kebaikan) dalam sesuatu keputusan.

Cuba kita lihat, isu wudhuk di atas dalam konteks lebih luas. Biar pun amalan kita di Malaysia batal bersentuhan suami isteri, namun apabila dalam keadaan tertentu pandangan mazhab lain diambil kira. Maka, keluarlah hukum fiqh, bersentuhan suami isteri ketika mengerjakan tawaf haji tidak membatalkan wudhuk, kerana itu mereka bersentuhan dalam kondisi ibadah, dan tidak membangkitkan nafsu syahwat. Hal ini ada kebaikannya (manfaat) untuk diamalkan.

Isu Zakat Pendapatan pula ternyata memberikan manfaat yang lebih banyak kepada umat Islam, sama ada kepada pembayar zakat mahu pun asnaf zakat jika dilaksanakan. Mari kita senaraikan beberapa kebaikan tersebut:

Jadual 1: Kebaikan Zakat Pendapatan Kepada Pembayar (Muzakki)

1 Menyuburkan harta agar menjadi berkat dan bertambah
2 Membersihkan harta dari percampuran milikan orang lain
3 Menyuburkan rasa kemanusiaan dan persaudaraan Islam
4 Mendapat pahala yang berkekalan apabila zakatnya dijana dengan baik
5 Melayakkan mendapat rebat ke atas Cukai Pendapatan dan pengurangan Cukai Perniagaan

Jadual 2: Kebaikan Zakat Pendapatan Kepada Asnaf (Mustahiq)

1 Menjadi sumber utama agihan zakat kepada asnaf yang lapan
2 Membolehkan asnaf khususnya fakir dan miskin disantuni dengan lebih menyeluruh kerana mempunyai dana zakat yang besar
3 Menumbuhkan perasaan kecintaan orang-orang miskin kepada hartawan Islam
4 Merapatkan jurang kaya miskin dengan orang-orang kaya dengan bantuan pendidikan dan ekonomi yang tersusun
5 Mendidik asnaf agar bekerja sehingga mampu menjadi pengeluar zakat dengan mencontohi sifat muzakki

Seterusnya, Zakat Pendapatan juga menjadi indikator kepada kesuburan sosioekonomi umat Islam di sesebuah negara. Apabila kutipan Zakat Pendapatan meningkat, itu menjadi tanda kekayaan umat Islam di negara berkenaan juga meningkat. Sekaligus ia menjadi tanda, kurangnya gejala kemiskinan dan kondisi sosioekonomi negara adalah baik dan terkawal. Sebaliknya penurunan kutipan Zakat Pendapatan memberikan pertunjuk yang negatif dalam aspek sosioekonomi, malah boleh merebak kepada ketidakstabilan politik.

Penurunan kutipan Zakat Pendapatan memberi isyarat bahawa telah berlakunya pengangguran dan inflasi. Maka, pihak-pihak yang berwajib sewajarnya sudah mempunyai mekanisme tertentu buat menangani kondisi berkenaan sebelum ia menjadi lebih parah dan merosakkan kestabilan dan kemakmuran negara.

Oleh itu bagi meringkaskan jawapan, suka dinyatakan bahawa semua pandangan asatizah yang dikemukakan di negara ini mengenai Zakat Pendapatan, hendaklah ia tunduk kepada pandangan rasmi, iaitu fatwa yang telah digazetkan oleh pihak pemerintah. Dengan cara itu, ia dapat meredakan ‘kepeningan’ di kalangan umat Islam, sekaligus menyuburkan lagi budaya infaq dan cakna sesama muslim di dalam masyarakat. Wallahua’lam.

work

Disediakan oleh:
Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid (hamizul@zakatselangor.com.my),
Perunding Kanan Dakwah Zakat (Strategik), Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *