BERHARTA ADA ADABNYA

najihaTazkirah0 Comments

SOALAN

Seringnya manusia yang diberikan harta dan kekayaan, mudah menjadi lupa daratan. Kemewahan boleh menenggelamkan mereka dalam keseronokan dunia. Sebagai contoh, Qarun adalah orang yang tenggelam dalam kemewahan sehingga menjadi derhaka kepada Tuhannya. Maka, apakah kaedah Islam dalam mendidik umatnya dalam berharta?

JAWAPAN

Selalunya orang akan menyebut Innalillahi wainna ilaihi raji”un apabila mendapat khabar berlakunya sesuatu kematian. Maka, ada orang yang marah-marah apabila kita menyebut ucapan yang sama, apabila dikhabarkan anak si polan itu sakit, gagal peperiksaan dan tidak mendapat 8A dalam peperiksaan. Kata mereka : “Anak dia tak lulus periksa sahaja, bukannya mati, kenapa mesti ucap macam tu.?

Inilah masalah salah faham di kalangan orang kita terhadap kalimah ini. Mengucapkannya mesti hanya kepada orang mati sahaja. Selain itu, usah disebut-sebut, kerana ia seolah-olah mendoakan orang tersebut mati cepat pula.

Hakikatnya, Allah SWT menukilkan ucapan yang sama di dalam firman-Nya:

“Dan kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata, ”Innalillahi wainna ilaihi rajiun” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya lah kami kembali).

al-Baqarah : 155-156

Pada ayat ini, ucapan berkenaan diletakkan di penghujungnya sebagai suatu cara menunjukkan sifat sebenar manusia yang wajib tunduk kepada Allah SWT. Sesuai dengan asal usul penciptaan kita sebagai hamba yang perlu mengabdikan diri kepada Allah SWT. (Adz-Dzaariyat : 56)

Dalam erti kata lain, ini lah adab manusia kepada Tuhan. Allah SWT menciptakan kita dan memberikan pelbagai nikmat kehidupan: namun Dia juga berhak menguji sejauh manakah kedudukan iman kita setelah memperolehi segala macam kenikmatan. Adakah makin naik, menurun atau statik sahaja?

Maka, Allah SWT, menyatakan bahawa manusia akan diuji dengan ketakutan. Ketakutan di sini adalah umum, misalnya boleh jadi takut hilang harta kekayaan atau takut hilang pangkat kebesaran. Allah SWT juga akan menguji manusia dengan kelaparan, suatu ujian yang nampak remeh tetapi acap kali menjerumuskan manusia ke dalam kancah perkara haram. Hakikatnya, ada orang yang sanggup mencuri kerana lapar.

Manusia juga akan diuji dengan kehilangan jiwa, iaitu kematian yang adalakanya muncul dengan tiba-tiba. Semalam masih santai berbual di pejabat, tiba-tiba pagi ini sudah dijemput Ilahi. Baru sekejap tadi sarapan bersama di kedai mamak, tup-tup tengahari sudah menjadi gemulah kerana serangan jantung misalnya. Ini juga adalah ujian Allah SWT namanya.

Dalam erti kata lain, ujian ini juga adalah didikan dari Allah SWT kepada kita agar tahu beradab dengan-Nya, khusunya adab dalam berharta. Apabila diuji dengan kekurangan harta, maka segeralah kembali kepada Allah yang maha berkuasa. Harta yang kurang itu adalah milik Allah sebenarnya. Kita hanyalah sebagai pemegang amanah yang diminta untuk menjaganya sementara di dunia.

Lalu, apabila kita sedar yang semua harta itu bahkan diri kita ini pun milik Allah SWT maka barulah hilang rasa putus asa dan gundah-gulana apabila diuji. Ini kerana, terpulanglah kepada-Nya untuk mengambil apa sahaja yang disukai, kerana semua adalah milik Dia jua. Seperti mana yang kita memberi pinjam kereta kepada seorang kawan, pukul 3.00 kita akan sanggup menghubunginya dan minta dipulangkan dengan segera. Ini kerana, kita akan berkata bahawa itu kereta kita dan kita berhak untuk memintanya bila-bila masa sahaja.

Namun, janganlah pula kita berasa terlalu kuat untuk diuji. Apa yang perlu ialah, berdoalah selalu agar Allah SWT menyantuni kita dengan sebaik-baiknya, tidak diuji dengan ujian yang menggoncang jiwa dan untuk itu juga, salurkanlah harta amanah Allah itu ke tempat-tempat yang bermakna kerana itu juga adalah adab manusia dengan Tuhan-Nya. Wallahu”alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *