BERKAT ZAKAT: ASMAH BANGKIT LEBIH BERSEMANGAT

noormalaJejak Asnaf0 Comments

Oleh: Khairul Izwan Bakeri

“Minta maaf, saya tidak perasaan tuan datang,” ujar Rosly yang terus rancak menggoreng kerepek di bengkel perusahaan kerepak terletak bersebelahan rumah mereka.

Sesekali mata memerhati sekitar ruang bengkel perusahaannya yang dipenuhi dengan kerepek tempahan pelanggan. Cantik teratur kelengkapan memasak disusun, mungkin kerana ruang yang agak terhad. Kehangatan bilik dek haba yang dikeluarkan oleh ketuhar pembakar dapat dirasa. “Cuba dulu tuan kerepek sagun ini,” kata Asmah sambil membuka balang berisi kerepek sagun.

Teruja tatkala pertama kali melihat sagun kelapa dijadikan dalam bentuk kerepek. Kebiasaannya sagun kelapa dihasilkan dalam bentuk serbuk yang telah dibungkus. Rasanya pun sedikit berlemak dan mudah untuk dipegang serta makan, berbeza dengan serbuk sagun yang ada di pasaran. Mungkin ini satu inovasi dalam pembuatan kerepek oleh pasangan ini. Sambil menunggu kuih yang dibakar siap, kami memulakan perbualan.

“Hampir lima tahun kami jalankan perniagaan ini. Kalau hendak diikutkan ini perniagaan turun-temurun keluarga. Pada mulanya, suami saya bekerja dengan kakaknya, yang juga merupakan pengusaha kerepek dengan jenama Ross Kerepek. Lama-kelamaan minat untuk berniaga datang sendiri. Oleh itu, suami ambil keputusan berhenti kerja untuk mengusahakan perniagaan kerepek ini,“ cerita Asmah, ibu kepada seorang cahaya mata lelaki yang kini menuntut di tingkatan dua.

“Bagaimana boleh mula berniaga ini, kak?” tanya penulis. Asmah kelihatan terdiam seketika. Beberapa ketika sambil tersenyum beliau berkongsi cerita.

“Sebenarnya saya segan hendak cerita. Tetapi jujur saya kata, semuanya  bermodalkan RM60 sahaja untuk memulakan perniagaan ini. Dengan modal yang ada inilah saya teruskan usaha mengembangkan perniagaan sehinggalah hari ini. Adatlah… setiap perniagaan ada jatuh bangunnya. Namun saya bersyukur, dengan bantuan dari Lembaga Zakat Selangor saya bangkit untuk teruskan walaupun adakalanya rentak kami agak perlahan,” cerita Asmah lagi.

Halangan dan Cabaran

Ditanya lagi halangan dan cabaran yang dihadapi, Asmah berkongsi cerita. “Bagi saya, tahun 2013 merupakan tahun yang tidak dapat saya lupakan. Kemalangan sewaktu menghantar anak yang bekerja sambilan, menyebabkan saya mengalami kecederaan serius pada tulang tangan dan kaki.”

Hampir dua bulan menanggung azab menahan kesakitan, selain terpaksa berulang-alik ke hospital. Perusahaan kerepaknya sedikit terjejas hingga mengganggu mata pencarian keluarga. Namun Asmah tidak betah melayan rasa sakit berpanjangan. Hidup perlu diteruskan, kerana ada mulut yang perlu ‘disuap’. Dalam keadaan uzur, Asmah menggagahkan diri untuk bekerja meneruskan tempahan kuih.

“Dalam keadaan tangan yang masih belum pulih, saya tetap menguli tepung bagi memenuhi permintaan pelanggan. Mahu tidak mahu, saya perlu buat kerana hanya saya sahaja yang pandai mengadun bahan-bahan untuk memasak. Sokongan suami juga memainkan peranan untuk saya bangkit. Kerana dialah saya jadi lebih kuat dan bersemangat,” ujarnya.

Akibat kemalangan itu juga, pergelangan tangan Asmah sehingga kini masih lagi tidak berapa kuat. Adakalanya apabila rasa sengal, minyak but-butlah yang menjadi peneman melegakan kesakitan.

Ditipu, mengalami kerugian dan sebagainya menjadi sebahagian asam garam buat Asmah dan suami. Dalam masa yang sama, Asmah turut menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan bahan mentah disebabkan pembekal yang berbeza-beza.

Namun itu bukanlah penghalang buat beliau. Kecekalan dan semangat kuat Asmah mengatasi segalanya. Masakan tidak, dalam keadaan sakit dan kerugian beliau tetap tidak berputus asa dan masih bangkit meneruskan cita-citanya. Mengharapkan sebuah perniagaan yang maju, beliau berazam tidak akan sekali-kali berundur.

Untuk makluman, pasangan ini merupakan asnaf miskin yang mengusahakan perniagaan kerepek di daerah Kuala Langat. Selain menerima suntikan bantuan modal berjumlah RM9,000 untuk pembelian mesin dan peralatan memasak, keluarga Asmah turut disantuni dengan bantuan Hari Raya dan bantuan persekolahan untuk anaknya.

“Tidak dinafikan bantuan zakat yang disalurkan ini sangat membantu lebih-lebih lagi ketika saya amat memerlukan. Berkat zakat juga, saya dan suami bangkit bersemangat untuk meneruskan perusahaan kami. Tambahan pula ini duit zakat, amanah pengeluar zakat. Saya rasa bersalah, sekiranya saya mensia-siakannya.“ tambahnya lagi.

Kehidupan kini

Kini Asmah mampu menarik nafas lega kerana kehidupannya jauh berbeza berbanding dahulu. Perusahaannya kian meningkat naik dan mampu untuk menggaji tiga orang pekerja bagi membantu kerja-kerja di bengkel yang dijadikan sebagai premis sementara. Tempahan juga tidak hanya diterima daripada pelanggan kawasan sekitar, malahan menjangkau luar Selangor.

Selain itu, perusahaan suami isteri ini turut menjadi pembekal jenama Ross Kerepek dan Fazz Kerepek. Tempahan akan dibuat berdasarkan permintaan pelanggan. Antara kuih yang dihasilkan termasuklah kuih gunting, kuih tiram, kerepek pisang, rempeyek dan pelbagai lagi bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Saya sentiasa harapkan perusahaan ini satu hari nanti akan terus berkembang. Di saat tiada sesiapa yang datang membantu, Zakat Selangor tampil dan prihatin dengan kehidupan kami sekeluarga. Sewaktu tiada siapa menjengah melihat kami, Zakat Selangor menghulurkan bantuan yang amat diharap-harapkan. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pengeluar zakat di Selangor kerana berkat zakat tuan puan, saya dapat berada di sini hari ini,” kata Asmah mengakhiri perbualan. 

Nota:

Asmah mengusahakan perniagaan kuih dan kerepek. Tempahan boleh dibuat melalui talian 017 799 5274 atau datang ke premis perniagaannya  di alamat: Lot 2990, Lorong Idaman Kg. Sg Lang Baru, Banting.

&nbsp

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *