BUAT PIZZA DEMI ANAK

noormalaJejak Asnaf0 Comments

Petang yang damai. Penulis menghubungi nombor yang diberi dan membuat temu janji. Kediamannya amat sederhana. Sebuah rumah kecil di Apartment Seri Kembangan, Bandar Bukit Beruntung. Beliau menanti sambil memberikan penanda arah. Ketibaan penulis dirai mesra. Itulah responden Jejak Asnaf kali ini Shahrul Fadli Sham Che Abdullah, 42. Banyak kisah menarik yang menanti untuk kita nikmati bersama.

“Saya sibuk ustaz. Alhamdulillah, tempahan roti dan pizza nampaknya di luar jangka.” Ujarnya ringkas ketika meraikan penulis.

Penulis dibawa masuk ke rumahnya yang kini menjadi premis sementara menyediakan pizza dan roti. Sebuah bilik ditukar menjadi bengkel masakan. Adunan doh tepung menanti. Ketuhar pembakar masih hangat. Tidak lama, berdenting bunyi penggera. Sebuah pizza siap diangkat keluar. Menyelerakan sekali dengan kerak yang lembut dan lelehan kejunya.

“Beginilah kerja saya ustaz. Hari ini isteri saya keluar memenuhi undangan jualan. Ada pelanggan tempah dalam jumlah yang banyak. Biasanya, kami menggunakan beberapa orang pekerja membantu. Sekarang mereka semua keluar. Saya mesti siapkan semua pesanan di sini.” Ujarnya lagi.

Melihatkan kesibukannya, penulis membiarkan. Sambil Shahrul sibuk beraksi di dapur, penulis melabuhkan badan. Hampir dua jam menunggu, sehingga masuk waktu Asar, baharulah Shahrul dapat berehat. Kami sama-sama mendirikan solat berjemaah. Kemudiannya, perbualan pun dimulakan.

“Anak keempat saya, Mohd Daniel Fikri, 8 mengidap sejenis penyakit yang sangat kritikal, iaitu Spina bifida Mielomeningosele. Ia melibatkan saraf tunjang di tulang belakang pada tahap ketiga. Kesannya amat menakutkan. Dia boleh buta, boleh hilang deria rasa, lumpuh, menjadi pekak malah boleh melibatkan seluruh badan.” Shahrul memulakan cerita.

Ketika itu, di rumahnya ada tiga orang anak yang menemaninya. Dua anak lelakinya yang di usia sekolah rendah sibuk bermain dan seorang lagi anak gadis, Nur Laili, 15 sesekali keluar membantu.

“Selain Daniel, adiknya Mohd Rayyan Zikir, 5 juga mengidap masalah athma yang serius. Suatu hari di tahun 2011, kami sekeluarga menghadiri program sukan tahunan di sekolah kakaknya. Masa itu usia Rayyan baharu mencecah dua tahun. Dalam keriuhan itulah, tiba-tiba mukanya menjadi biru. Rupanya dia sesak nafas, athma. Terus kami bergegas ke hospital dan masuk ke wad kecemasan.” Himbau Shahrul lanjut.

“Ustaz bayangkan, sampai di sana, doktor kata anak saya sudah ‘tiada.’ Mereka menutup jasadnya dengan kain. Luluhnya hati kami. Tiba-tiba datang seorang doktor lain dan dia berusaha menggunakan alat renjatan elektrik untuk memaksa jantung berdegup. Alhamdulillah, anak kami ‘hidup balik’. Selepas itu, seminggu dia koma. Doktor masukkan darah dan memberikan banyak ubat. Kesannya, bila dia sedar, dia jadi lupa. Dia tak kenal orang sekeliling. Dia menangis tidak henti-henti 48 jam.” Shahrul terus menghimbau.

Selain Daniel, Rayyan dan Laili, dua orang lagi anaknya ialah Nur Hafifah, 22 dan Mohd Farhan, 13. Shahrul mendirikan rumahtangga bersama Normala Mohd Sohid, 44. Mereka dikurniakan lima orang cahaya mata.

“Sebenarnya doktor telah mengesan penyakit Daniel semasa dia masih dalam kandungan. Pada hari kedua dia lahir, doktor terus membuat pembedahan bagi membuang air dalam gelembung di bahagian tulang belakangnya. Daniel juga bermasalah buang air besar. Dalam usia yang sangat mentah, anak saya telah melalui beberapa prosedur rawatan yang luar biasa.” Ujar Shahrul.

“Dia terpaksa menjalani pembedahan plastik bagi menggantikan kulit belakangnya. Pembedahan juga dilakukan di bahagian saraf tunjangnya. Kini, doktor hanya mengikat sahaja sarafnya seperti simpulan tali. Jika ada masalah, doktor akan membuka ikatan itu. Saraf dan tulang belakangnya juga membesar tidak sekata. Kata doktor, pembedahan akan segera dilakukan bila perlu. Matanya juga boleh menjadi kabur. Kakinya mejadi lemah. Paling bahaya, ia memberi kesan ke otak.” Panjang lebar Shahrul menghuraikan kondisi kesihatan anak keempatnya.

Jadi, bagaimanakah Shahrul menghadapi kemelut berkenaan?

“Ketika anak keempat sakit, saya jadi tidak keruan. Hakikatnya, kehidupan kami sekeluarga sebelum itu dianggap senang. Saya dan isteri mempunyai kerjaya dengan pendapatan agak besar. Saya adalah juruteknik di sebuah kilang. Pendapatan lebih dari RM5,000 sebulan. Namun sejak anak sakit, saya terpaksa memberikan banyak masa kepadanya. Ia menjejaskan reputasi saya di tempat kerja.” Cerita Shahrul.

“Penyakit ganjil ini hanya ada 89 orang sahaja di Malaysia. Saya terpaksa membawa anak mendapatkan rawatan di empat buah hospital yang berlainan. Setiap hospital mempunyai kepakaran yang berbeza. Bayangkan, bukannya dekat. Hospital Alor Setar, Hospital Kubang Kerian, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Kuala Lumpur.” Tambahnya lagi.

“Akhirnya saya mengambil kata putus, menghantar notis berhenti. Ia lebih baik daripada diberhentikan. Kemudiannya selama setahun, dari 2010 hingga 2011 saya tidak bekerja. Banyak masa dihabiskan berulang di antara empat buah hospital berkenaan. Waktu itu, banyak harta kami jual. Kereta, motorsikal, laptop malah perabot pun saya jual. Kami hanya mencari dana bagi mengubati si Daniel.” Terang Shahrul lanjut.

Demikianlah pengorbanan Shahrul dan isterinya. Kebetulan isterinya, Normala baharu pulang dari berjualan, dia langsung menyertai kami.

“Betul ustaz. Masa itu kami banyak bergelut dengan penyakit anak. Habis harta benda kami jualkan.” Tokoknya.

“Namun saya terfikir, bagaimana kami nak meneruskan hidup tanpa pendapatan. Lalu saya mengusahakan kerja sendiri dengan mengambil sub kontrak mengecat kereta. Selama tiga tahun saya mengecat kereta secara sub kontrak. Ia memang kepakaran saya sebenarnya. Namun pendapatan saya kecil, kurang RM1,000. Lebih malang, saya ditipu. Hingga ke hari ini, masih ada pengusaha bengkel mengecat kereta yang berhutang bayaran dengan saya. Jumlahnya belasan ribu ringgit.” Luah Shahrul.

“Menjelang tahun 2014, saya beralih ke bidang yang saya lakukan sekarang. Saya belajar membuat bun atau roti. Produk popular kami waktu itu ialah roti sosej. Saya tidak belajar di mana-mana pusat masakan, hanya dari seorang kawan. Kemudian resepinya saya tambah baik, hingga kini roti dan bun yang kami hasilkan mendapat perhatian ramai pelanggan. Ia tahan lama, lembut walau disimpan dua tiga hari.” Jelas Shahrul.

Lalu, bilakah mulanya berkenalan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS)?

“Alhamdulillah, tahun 2013 saya diterima menjadi asnaf. Ketika itu saya tinggal di Bukit Beruntung. Mula-mula kami hanya dapat bantuan kecemasan sebanyak RM500. Kemudian LZS uruskan pula sewa rumah, bantuan kewangan bulanan, bantuan hari raya dan persekolahan. Malah bantuan perubatan sebanyak RM800 sebulan juga diluluskan. Semua bantuan itu amat bermakna, ia meringankan beban kami sekeluarga.” Jelas Shahrul.

“Kemudian, than 2014 LZS berikan pula modal perniagaan, RM2,500. Itu bantuan pramodal. Tahun 2015, zakat salurkan lagi modal tambahan RM9,000 dalam bentuk barangan dan bahan mentah. Kali ketiga, zakat beri lagi bantuan modal dalam bentuk kelengkapan RM26,000. Sayangnya, kedai saya dipecah masuk. Habis barangan yang baharu sampai dicuri. Sebab itulah kini saya kembali beroperasi di rumah.” Panjang lebar Shahrul berkisah.

Apa-apa pun yang terjadi, Shahrul dan Normala membuktikan bahawa mereka kini sudah mendapat tapak yang kukuh untuk berniaga. Produk mereka mulai mendapat tempat dan masuk ke pelbagai sudut. Pejabat-pejabat kerajaan dan sekolah-sekolah banyak membuat tempahan, sehingga Shahrul tidak menang tangan dan menggajikan pekerja membantunya.

“Jika dibandingkan keadaan kami sebelum dan selepas dibantu oleh LZS, berbeza hampir 100 peratus. Dulu, rumah kami kosong tanpa perabot. Makan telur sebiji dikongsi lima orang. Kenderaan tiada, berjalan kaki. Hari ini, semuanya berubah. Syukur Alhamdulillah. Maka kami amat menghargai jasa para pembayar zakat. Mudah-mudahan semuanya diberkati Allah SWT, amin.” Ujar Shahrul menamatkan bicaranya.

Nota: Shahrul menggunakan jenama D’Rayyan. Antara produk popularnya ialah pizza ayam, pizza daging, pizza ayam daging, pizza sosej, pizza ketam, pizza sea food, pizza kambing (paling popular) dan pizza rusa. Roti, barangan frozen, baulu kemboja juga dibuat sendiri. Biskut raya, rempeyek, coklat cip, almond London turut diusahakan oleh isterinya. Hubungi 017 – 225 3874 & 011 329 33262 (whass app sahaja) atau 019 207 5249 (Normala). E-mail drayyan9@gmail.com atau drayyanfoodindustry@gmail.com atau sesawangnya www.drayyanfoodindustry.com.my.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *