CENDOL DURIAN JADI TARUHAN

faisalIsu semasa

“Saya dahulu kategori orang senang. Semuanya berkat cendol. Saya mampu memiliki kereta berjenama, ada lori dan mendiami rumah yang selesa. Pendapatan saya kala itu, ada kalanya mencecah RM500 sehari. Siapa sangka saya akan menjadi penerima zakat.” Demikianlah sedikit perkongsian Borhan bin Salikon, 44. Lelaki cekal yang bangkit daripada kegagalan demi kejayaan.

“Kala itu, sekitar tahun 2005 saya dipengaruhi kawan-kawan menukar haluan bisnes. Kata mereka, bisnes dalam bidang cendol tidak menguntungkan. Mereka mengajak saya menceburi bisnes kayu balak, jongkong emas dan kayu getah. Dek kerana terpengaruh, saya merubah haluan dan tanpa sedar itulah titik permulaan kejatuhan saya dalam dunia perniagaan.” Ulasnya lagi.

Benar, dunia perniagaan bukanlah perkara mainan. Kesilapan menghitung, mengakibatkan rugi yang tidak tertanggung. Borhan sudah merasainya. Lalu, pada tahun 2007, dia tegar membuat keputusan. Bersama isteri dan lapan orang anak, Borhan meninggalkan Kuala Selangor mencuba nasib di Kuala Lumpur.

“Dari rumah besar, akhirnya di bilik kecil berukuran 10 X 10 saya terdampar. Saya gagahkan diri, justeru kehidupan sebelum itu amat menjerakan. Manalah tahu di Kuala Lumpur saya mampu mencari titik permulaan baharu. Dalam kesempitan itulah, anak-anak saya juga telah tidak bersekolah selama setengah tahun. Bahkan saya pernah tidak membayar zakat fitrah, kerana sudah tidak mampu.” Luahnya.

“Tidak lagi betah mendiami bilik kecil di Kuala Lumpur, lalu saya mengubah arah. Kali ini, saya membawa keluarga berpindah ke Gombak pula. Akhirnya, di Gombak itulah saya bertemu dengan ‘pintu’ yang membuka jalan untuk saya kembali bernafas dengan lega. Semuanya bermula apabila pada suatu hari, saya dikunjungi wartawan sebuah akhbar. Mereka memang aktif mencari orang susah. Melalui akhbar berkenaan, kesusahan saya dipaparkan. Ia akhirnya membawa kepada pertemuan dengan pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS).” Borham terus mengungkit kisah silam.

“Tanpa saya sangka, LZS benar-benar membukakan serelung cahaya perubahan buat diri saya. Apatah lagi, saya sendiri tidak berniat untuk terus menjadi penerima. Bagi saya, bakat dan kebolehan serta pengalaman berniaga cendol selama 15 tahun sebelum ini, adalah sesuatu yang amat berharga untuk dipersiakan begitu sahaja. Saya mahu mencuba nasib berniaga lagi dan LZS memberikan jalannya.”

Di Gombak, kehidupan Borhan sekeluarga kian pulih. Anak-anaknya yang pernah keciciran sekolah selama setengah tahun kembali bersekolah. LZS turut menyediakan pelbagai bantuan, seperti bantuan pendidikan, hari raya dan terutamanya bantuan kewangan bulanan buat beliau sekeluarga. Bahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut turun padang menghulurkan bantuan bulanan.

IMG_3253

“Dengan semua bantuan inilah, saya mampu mengorak langkah untuk pulih kembali.” Ujar Borhan.
Dengan peluang membuka kembali perniagaan yang terbuka luas, Borham memohon dan beliau dibantu beberapa kali oleh LZS di bawah skim bantuan perniagaan ini.

“Alhamdulillah, pada tahun 2010 yang lalu LZS telah menyalurkan RM9,490.00 bagi saya membeli peralatan. Pihak kerajaan juga memberikan bantuan pembelian mesin. Dengan itu, dapatlah saya memiliki set generator, mesin memproses cendol, mesin memerah santan, mesin pengisar air batu dan peti ais. Semua ini perlu, kerana saya memang menyediakan cendol buatan sendiri 100 peratus. Ini adalah resepi asli saya sejak 1987 lagi.

“Kemudian, LZS meluluskan lagi bantuan bagi saya membina gerai sebanyak RM12,386.00. Dengan modal itulah saya membina sendiri kedai ini. Akhirnya, LZS memberikan saya modal pusingan sebanyak RM5,000.00, bagi membolehkan saya membeli bahan-bahan mentah untuk berniaga. Dengan kesemua modal inilah saya berdikit-dikit berbelanja sehingga perniagaan saya tegak kembali.”

Kini, Alhamdulillah perniagaan Borhan kian stabil. Bahkan, pada penghujung tahun 2010 beliau sudah enggan menerima apa-apa bantuan zakat lagi. Baginya, bantuan modal perniagaan yang diperolehi sudah memadai.

“Jika diberi kesempatan, saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembayar zakat. Kini pendapatan saya sudah lebih daripada mencukupi. Saya sendiri berhasrat, pada penghujung tahun ini untuk mengeluarkan zakat. Saya juga mengambil kesempatan ini, menyeru kepada semua penerima zakat agar tidak terus rela membiarkan diri dalam keadaan menerima semata-mata. Kita mesti ada usaha membawa diri kepada kejayaan.

IMG_3272

“Saya juga ingin menawarkan kepada sesiapa sahaja, khususnya kepada asnaf zakat di LZS untuk bersama-sama saya memajukan perniagaan cendol ini. Jika mereka mahu, saya sedia memfrancaiskannya. Saya mahu kita sama-sama berjaya, di dunia dan akhirat.” Tuntasnya menamatkan bicara.

Nota: Untuk menikmati keenakan cendol durian, cendol labu dan sebagainya serta keunikan laksa beliau, gerai Cendol Durian Borhan terletak di Bt. 2, Pasir Penambang, Kuala Selangor. Beliau boleh dihubungi di talian 017-6573096 atau 017-2914630.