HIKMAH DIWAJIBKAN ZAKAT PENDAPATAN

noormalaSoal Jawab Zakat2 Comments

Soalan:
Benarkah zakat pendapatan perkara khilafiyah (perbezaan pendapat) dalam kalangan fuqaha? Jika benar, bolehkah umat Islam memilih untuk tidak melaksanakannya?

Jawapan:

Sebenarnya isu khilafiyah tentang zakat pendapatan sudah agak reda sekarang ini. Berbanding pada awal 2000 semasa mula difatwa dan dilaksanakan, ramai pihak merasa tidak berpuas hati dan mempertikaikannya atas pelbagai alasan. Antaranya, tiada dalil khusus mengenainya dan tidak dibahaskan dalam kitab-kitab mazhab khususnya Mazhab Syafie.

Hakikatnya, di sisi syarak ada banyak sekali dalil mengenai zakat pendapatan, namun ia tidak disebut secara jelas. Ia dinamakan dalil mubahamah (umum). Misalnya ayat 267 surah al-Baqarah, Allah SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman, infakkanlah (zakatkanlah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik (daripada apa yang diperoleh dengan usaha kamu).”

Fuqaha mentafsirkan kalimah ‘makasabtum’ dalam ayat itu sebagai apa-apa yang diusahakan. Ia merujuk kepada pekerjaan iaitu yang bekerja menggunakan tangan atau kemahiran. Pekerjaan itu pula mendatangkan pendapatan dan itulah yang wajib dizakatkan.

Dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Muslim daripada Abu Musa as-Sya’ari r.a., Nabi Muhammad SAW pernah menggesa (mewajibkan) agar para sahabatnya bersedekah. Apabila sahabat-sahabatnya bertanya, bagaimanakah mereka boleh bersedekah jika tidak berharta? Kata Nabi, hendaklah mereka bekerja dan dengan itu mereka mendapat harta dan mampu bersedekah.

Dalil seterusnya, bukankah ada hadis mengenai zakat dinar dan dirham? Dinar adalah wang emas dan dirham ialah wang perak. Jika ditanya, dari manakah seseorang itu memperoleh dinar dan dirham? Jawapannya, cara terbaik ia diperoleh dengan bekerja. Upah bekerja dibayar dalam dinar atau dirham. Hari ini, upah bekerja dibayar dalam Ringgit Malaysia. Maka, logiknya di sini, dinar dan dirham itu adalah ‘pendapatan’ yang wajib dizakatkan.

Namun, bolehkah umat Islam memilih untuk tidak melaksanakan kewajipan ini? Di sini suka dinyatakan bahawa kewajipan zakat pendapatan merupakan kewajipan mendatang. Ia diwajibkan oleh pemerintah Islam, dengan cara difatwakan di sisi hukum Islam. Apabila sudah difatwa dan diwajibkan oleh Amirul Mukminin, maka hukumnya menjadi wajib untuk ditaati semua umat Islam.

Allah SWT berfirman: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasul dan juga ulil amri (ketua atau imam) dalam kalangan kamu.” (an-Nisa’: 59). Sabda baginda lagi: “Tidak ada kewajipan mentaati makhluk (pemimpin) dalam perkara maksiat kepada Allah, kewajipan taat hanya dalam hal yang makruf (baik).” – Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Sayidina Ali k.w.

BUKAN PERKARA MAKSIAT

Zakat pendapatan bukan perkara maksiat dan umat Islam tidak boleh menolak kewajipannya. Ia adalah perintah yang bersifat makruf. Mentaatinya dapat pahala, mengingkarinya pula berdosa.

Berkat penerangan yang diberikan, akhirnya umat Islam menerima zakat pendapatan. Mereka juga sedar, terdapat banyak hikmah disebalik pelaksanaannya, berbanding menolakny. Inilah keindahan hukum Islam. Sesuai dengan kaedah fikah iaitu hukum berubah mengikut perubahan zaman dan tempat.

Sayidina Umar al-Khattab r.a sendiri mengubah beberapa ketetapan zakat, misalnya mengenakan zakat ke atas kusa atas alasan ia dijadikan komoditi, walhal terang-terang sebelum itu ada hadis yang menyatakan, tidak dikenakan zakat ke atas kuda. Malah Umar pernah menerima ‘zakat’ dari Bani Taghlib yang beragama Kristian atas dasar alasan menjaga maruah mereka, walhal di sisi nas zakat hanya diterima daripada kalangan Muslim.

Hal ini pastilah memerlukan penjelasan lanjut dan ruangan yang terhad di sini pastilah tidak mampu menghuraikannya.

Disediakan oleh:
Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Perunding Dakwah Strategik
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

2 Comments on “HIKMAH DIWAJIBKAN ZAKAT PENDAPATAN”

  1. Assalammualaikum
    saya ingin bertanya. sekiranya saya sudah membuat calculation pendapatan untuk memebayar zakat tapi jumlah pengiraan menunjukkan saya tidak wajib membayar zakat pendapatan, tapi sekiranya saya ingin juga membayar zakat pendapatan, bolehkah saya membayar mengikut kemampuan saya?

  2. asslamualaikum ustz …sy bekerja sbg ejen takaful. sy pernah mmbyr zakat pndptan tp hnya beberapa kali.seterusnye sy besedekah stp bln kpd rmh ank yatim shja yg bedektan dgn tmpt tggl. sy musykil jgk ble bca tntg kewjpn zakat pndptn … sy mohon pncerahn drpd ustz .terima ksh ustz

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *