HIKMAH ZAKAT

najihaTazkirah0 Comments

Islam adalah agama tolong-menolong (ta”awun) dan agama yang sejahtera. Allah s.w.t mewajibkan zakat kepada hamba-hamba-Nya yang berkemampuan untuk membantu golongan yang memerlukan pembelaan, dan seterusnya menjamin kemakmuran dalam masyarakat. Justeru itu, terdapat pelbagai hikmah yang terkandung dalam berzakat ini. Antara sebahagian daripada hikmah zakat yang utama adalah :

  1. Membersihkan harta daripada ”kotoran” batini, iaitu percampuran dengan harta milik orang lain (asnaf zakat).
  2. Membersihkan jiwa orang-orang kaya daripada sifat-sifat mazmumah (jelik atau keji) seperti kedekut, tamak dan cinta dunia.
  3. Menyuburkan jiwa mereka dengan sifat-sifat terpuji seperti zuhud, pemurah dan qana”ah (berpada dengan apa yang ada.
  4. Menyemai sensitiviti yang tinggi dalam kalangan umat Islam sehingga menumbuhkan sifat pengasih dan penyayang dalam diri orang-orang kaya terhadap asnaf zakat dan menghakis sifat iri hati dan buruk sangka asnaf zakat terhadap orang-orang kaya.
  5. Membina jambatan ukhuwah antara orang-orang kaya dan asnaf zakat, sekaligus menumbuhkan perasaan kasih sayang yang padu dalam masyarakat.
  6. Mengurangkan kadar jenayah dalam negara yang dilakukan akibat perasaan dengki dan iri hati orang-orang miskin terhadap golongan kaya atau akibat kesempitan hidup.
  7. Dapat memajukan ekonomi umat Islam menerusi perancangan penggunaan dana zakat yang berkesan dan menjadi sumber pendapatan kepada negara.
  8. Mewujudkan masyarakat yang seimbang dari segi kekayaan dan merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin.
  9. Membantu memenuhi keperluan hidup orang-orang miskin dan menyelamatkan mereka daripada terjebak dengan perkara-perkara keji seperti pelacuran dan kekufuran.
  10. Memperkasakan negara dan umat Islam melalui penyelidikan yang dijalankan menggunakan dana zakat, misalnya dalam aspek teknologi persenjataan sehingga berupaya mengangkat ketinggian darjat Islam di mata dunia.
  11. Menjadi ”payung” kepada umat Islam yang memerlukan ”tempat berteduh” iaitu berupaya memenuhi keperluan mereka yang kurang bernasib baik.

Kesimpulannya, marilah bersama-sama kita menunaikan zakat yang mana ia merupakan satu tuntutan yang amat dituntut dalam kehidupan seorang Muslim itu. Semoga kita bersama-sama mendapat manfaat dalam kehidupan seharian kita. In shaa Allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *