HUKUM AMBIL WANG ZAKAT ORANG LAIN?

adminSoal Jawab Zakat3 Comments

Soalan: Mohon sangat pihak ustaz menjelaskan beberapa persoalan. Ada kes di taman perumahan saya, seorang suami meninggal dunia sedangkan dia merupakan asnaf zakat. Bolehkah anak dan isterinya mengambil wang zakat si bapa saban bulan dari pihak pusat zakat? 

Kedua, ada juga kes kawan saya menerima zakat dua kali, sedangkan dia hanya memohon sekali. Apakah dia boleh memakan zakat yang kedua itu? Ketiganya ustaz, jika saya sendiri mengetahui ada orang yang tidak layak, tetapi berpura-pura miskin hingga mendapat zakat, maka apakah yang wajar saya lakukan? Terima kasih.

Jawapan: Alhamdulillah, moga dengan beberapa persoalan yang saudara kemukakan ini mampu memberikan penjelasan mengenai kedudukan asnaf zakat dalam menikmati harta zakat. Semoga Allah SWT membantu saya memberikan jawapannya.

Perkara pertama yang wajib dimasukkan ke dalam hati dan pemikiran kita, bahawa zakat itu sudah termaklum siapakah yang berhak menerimanya. Ertinya, zakat tidak boleh dinikmati sesuka hati tanpa ada satu kaedah yang mengawalnya. Ini kerana, zakat bukanlah sedekah biasa. Zakat adalah ibadah asas dalam Islam. Ada rukun dan syarat wajib dan sah batalnya.

Allah SWT memberitahu di dalam al-Quran: “Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum, bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta-minta).” (al-Ma’arij: 24-25)

Kalimah ‘termaklum’ bermakna asnaf yang telah ditentukan Allah SWT. Ia bukan sekadar fakir dan miskin, malah meliputi lapan asnaf yang telah disebut di dalam surah at-Taubah, ayat 60. Hal ini telah pun saya jelaskan banyak kali sebelum ini.

Adalah menjadi kesilapan apabila ramai pihak menganggap, zakat boleh dilakukan dengan sesuka hati. Walhal, zakat hakikatnya adalah urusan pemerintahan. Nabi Muhammad SAW adalah pemerintah negara, dan salah satu aspek penting dalam bernegara ialah menjaga kebajikan rakyat. Zakat itulah tonggak kebajikan. Sebab itu Islam memberikan hak kepada pemerintah untuk mengambil walau secara paksa, jika rakyat enggan mengeluarkan zakat.

Sila rujuk surah at-Taubah, ayat 103 dan surah al-Hajj, ayat 41 dalam memahami hal ini. Juga rujuk sejarah peperangan menentang golongan riddah (murtad) oleh Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq dalam memahami kondisi zakat di sisi pemerintahan.

Dalam pengagihan zakat, banyak aspek yang wajib dijaga. Ini kerana, kecenderungan untuk berlaku zalim dalam mengambil harta zakat sentiasa ada. Sejak dari zaman Nabi Muhammad SAW lagi, sudah ada kelompok manusia yang cuba mengambil kesempatan menikmati harta zakat dengan cara yang batil (salah). Hal ini boleh dirujuk di dalam surah at-Taubah, ayat 58.

Kejadian berkenaan disebutkan di dalam sebuah hadis yang agak panjang, riwayat Imam Bukhari. Diringkaskan, pernah ketika Nabi Muhammad SAW mengagihkan zakat, datang beberapa orang lelaki yang mengkritik agihan zakat nabi, sehingga menyebabkan nabi tersinggung sekali.

Maka, soalan yang dikemukakan oleh saudara ini amat perlu dicermati oleh semua pihak. Bukan sahaja oleh para muzakki (pembayar zakat), tetapi lebih utama oleh kalangan mustahiq (asnaf zakat). Janganlah menganggap ‘tidak mengapa’ jika mengambil lebih dari harta zakat, kerana memakan harta zakat dengan cara yang salah, hukumnya haram.

Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Di dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Muslim, Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan hal ini kepada Qabishah bin Muhariq al-Hilali, bahawa ‘haram’ memakan harta zakat oleh mereka yang tidak berhak. Haram maknanya berdosa.

Menjawab soalan di atas, bagi kes pertama adakah boleh anak isteri si mati menikmati zakat saban bulan yang diberikan atas nama suami? Jawapannya, mengikut hukum asal memang orang lain dilarang memakan harta milik orang lain. Namun dalam kes ini, si mati adalah ayah, yakni ketua keluarga. Zakat yang diberi itu adalah untuk menyantuni keperluan diri dan keluarganya. Maka, ia halal dimakan.

Namun untuk tujuan pentadbiran, hendaklah dimaklumkan kepada pusat zakat mengenai kematian ketua keluarga itu. Pihak zakat akan menukar nama ketua keluarga kepada isterinya untuk kemudahan urusan di masa hadapan.

Kedua, kes kawan saudara yang hanya memohon sekali sahaja bantuan zakat, namun menerimanya dua kali. Di sini, wajib baginya memastikan dengan pihak pusat zakat, adakah pemberian itu satu kesilapan atau tidak. Jika kesilapan, wajib dia memulangkan kembali wang yang diterima olehnya. Ini kerana, jelas ia bukanlah miliknya. Jika dia masih memakannya, maka dia boleh dianggap menikmati hak orang lain. Ia adalah haram.

Hal ini samalah dengan seorang pekerja dibayar gaji dua kali oleh majikannya, sedangkan ia satu kesilapan di sisi majikan. Maka wajib pekerja itu memulangkan lebihan gaji itu, kerana itu bukanlah miliknya. Wang itu bukan haknya. Jika dia memakannya tanpa izin, maknanya dia memakan hak orang lain. Hukumnya adalah haram dan berdosa.

Ketika, jika saudara mendapati berlakunya kecurangan di pihak tertentu, misalnya mereka memalsukan maklumat sehingga mendapat zakat secara tidak benar, wajib saudara melaporkannya kepada pihak pusat zakat. Ia adalah satu perbuatan menipu dan pastilah berdosa. Jika diketahui tetapi dibiarkan, maka orang yang membiarkan boleh dianggap meredai perbuatan mungkar. Ia dikira bersubahat.

Pernah berlaku di zaman dahulu, seorang lelaki yang berada di kalangan penjudi telah dihukum terlebih dahulu oleh khalifah. Ini kerana, dia sewajarnya memberikan teguran dan melaporkan kemungkaran kepada pemerintah. Apabila dia mendiamkan, maka kemaksiatan berpanjangan dan wajarlah dia dihukum atas sifat diamnya itu.

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa yang melihat satu kemungkaran, maka hendaklah diubah dengan tangan (kuasa). Jika tidak mampu, hendaklah diubah dengan lisan (nasihat atau teguran). Jika tidak mampu, maka hendaklah diubah dengan hati dan itulah selemah-lemah iman.” (Hadis sahih Imam Muslim)

Kesimpulannya, tidak boleh menikmati zakat jika ia bukan milik kita. Wajib dipulangkan kepada pihak pengurusan zakat. Ia adalah milik asnaf lain. Jika diambil juga, boleh jadi ada asnaf yang terlepas akan haknya. Perbuatan itu sangat dibenci Allah SWT, berdosa dan mendapat siksaan di akhirat kelak. Wallahua’lam.

Disediakan oleh:
Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Perunding Dakwah Zakat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

3 Comments on “HUKUM AMBIL WANG ZAKAT ORANG LAIN?”

  1. Assalamualaikum, saya bercadang nak membayar zakat melalui online untuk zakat simpanan saya dan ibu saya yang sudah cukup nisab
    . Saya ada Maybank2u, di mana boleh buat transaksi secara online, sementara ibu saya tidak ada, hanya ada akaun ASB dan Tabung Haji. Soalan saya bolehkah saya membayar zakat melalui online untuk saya dan ibu saya? Wassalam

  2. assalamualaikum.saya nak bertanya bolehkah seorang anak mengambil duit hasil zakat dan duit bulanan jabatan kebajikan masyarakat untuk membayar bil utiliti dirumah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *