INTERNET PINTU IBADAH

noormalaTazkirah0 Comments

Ibadah zakat terbahagi kepada zakat fitrah, perniagaan, pendapatan, harta, wang simpanan, emas, perak, saham, ma’adin, kunuz dan rikaz.

Popular ketika Ramadan yang mulia, umat Islam di negara ini wajib membayar zakat fitrah kira-kira RM7 setiap orang.

Allah SWT meletakkan hukum wajib berzakat bagi orang yang berharta.

Pembayaran zakat lambang ketaatan Muslim kepada Allah SWT yang membuktikan dirinya ikhlas berkongsi harta dimiliki.

 

MUDAH BAYAR ZAKAT DENGAN TEKNOLOGI

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa dan menyucikan mereka (daripada akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah at-Taubah, ayat 103)

Kaedah membayar zakat dari dulu membabitkan amil yang berada di lokasi tumpuan seperti masjid dan pusat beli-belah.

Meskipun kaedah terbabit sudah pun dikira mudah, kini terdapat cara lebih mudah yang sepatutnya menjadi manfaat kepada umat Islam.

Apatah lagi, umat Islam di negara ini rata-rata memang memiliki sebuah telefon pintar yang disambungkan ke Internet membolehkan perbankan dilakukan sekelip mata.

Jadi tiada alasan untuk umat Islam yang cukup syarat mengelak daripada membayar zakat fitrah apabila ia mudah dilakukan dengan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sama ada dengan cara paling ringkas iaitu khidmat pesanan ringkas (SMS) sehingga perbankan Internet yang hanya dilakukan dengan satu jari.

Berdasarkan statistik Lembaga Zakat Selangor (LZS), pembayaran zakat fitrah melalui ‘online’ menunjukkan peningkatan ketara sejak sistem berkenaan diperkenalkan pada 2009.

Pembayaran zakat melalui online yang diwartakan kerajaan Selangor mengikut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, Jilid 55 dan nombor 10 adalah cara yang memudahkan rakyat di Selangor menunaikan Rukun Islam keempat terbabit.

Faktor teknologi canggih, kemudahan jalur lebar dan kesibukan masa antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan itu selain ia mudah dan senang dilakukan.

Pembayaran zakat secara online tetap sah kerana penting menunaikan zakat adalah satu kewajipan bagi setiap umat Islam dan berdosa jika mereka lalai dalam melaksanakan ibadah berkenaan.

Sebenarnya akad pembayaran adalah sunat, apa yang penting niat menunaikan ibadah zakat.

Ijab pembayar pula adalah penyerahan wang menerusi transaksi Internet manakala kabul pula ketika pembayar menerima resit bayaran.

LZS antara entiti zakat yang aktif secara online memiliki pelbagai kaedah mengumpul zakat bukan saja fitrah tetapi zakat lain.

Misalnya bagi SMS yang disediakan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) membolehkan anda mengakses perkhidmatan pembayaran zakat yang disediakan menerusi mana-mana rangkaian perkhidmatan.

Pembayaran melalui telefon pula memerlukan anda mendail 1300-88-6688 bagi perkhidmatan pembayaran zakat yang dinamakan Kawanku.

Manakala bagi perbankan online pula, kebanyakan bank menerima transaksi terbabit malah mereka ejen kutipan terbuka kepada pembayar yang mempunyai Akaun Simpanan atau Semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *