KATERING JADI PILIHAN

faisalIsu semasa

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Kemiskinan memang menjerakan bagi setiap orang yang harus menempuhinya. Pengalaman penuh berliku dan berjuang untuk hidup itulah, ibarat jalinan simfoni yang apabila dilagukan akan menzahirkan sebuah kisah yang menarik untuk dihayati. Buat kali ini, marilah sama-sama kita hayati sebuah cerita, seorang ayah 10 anak yang bangkit demi membela nasib diri dan keluarganya.

“Saya dan isteri berasal dari Melaka. Dahulu, saya melakukan apa sahaja jenis pekerjaan demi mencari rezeki yang halal. Saya pernah menjadi pemandu lori, berniaga kecil-kecilan di tepi jalan, memotong rumput di rumah orang dan sebagainya lagi. Kesusahan yang kami tanggung tidak pula menyebabkan kami merasa putus asa. Bahkan, saya cuba menahan diri daripada menyusahkan orang lain kerananya.”

Demikianlah secebis perkongsian oleh Kasin bin Md. Jaafar, 48. Beliau mendirikan rumahtangga bersama Fatimah binti Mansur, 46 dan kini hidup mereka meriah dengan anugerah 10 orang anak, yang berusia di antara empat dan 20 tahun dengan nisbah lima lelaki dan lima perempuan.

“Sungguh pun kami bukan orang Selangor tetapi kami menetap di Selangor sudah lebih dari 20 tahun. Kami pernah mendiami kawasan kampung setinggan di Gombak, yang kini sudah pun diambil alih dan dibangunkan menjadi lebuh raya. Bila setinggan diambil alih, kami dipindahkan ke Rumah Panjang Wira Damai. Berbelas tahun lamanya kami mejadi penghuni rumah panjang, sehinggalah akhirnya ia dirobohkan demi membina penempatan baru. Akhirnya, di sinilah kami tinggal sekarang, di Pangsapuri Kenanga, Wira Damai, Batu Caves.”

Panjang berjela Kasin menceritakan riwayat kehidupannya di Selangor. Kini, mereka sudah pun mendiami rumah baru itu lebih lima tahun.

Mengenang kembali kisah silam, Kasin tidak segan menceritakan betapa ia amat menekan perasaan. Pernah untuk menjimatkan kos dapur, isterinya hanya menggoreng nasi setiap hari. Jenuh Kasin mencari pekerjaan, ke hulu ke hilir namun semuanya hampa. Untuk itulah, dia tega melakukan apa sahaja pekerjaan asalkan halal dan tidak melanggar undang-undang.

“Kehidupan orang kecil seperti saya, memang tidak selalunya manis. Bayangkan, dengan pendapatan sekitar RM500 ke RM600 sebulan, dengan jumlah tanggungan yang besar, maka bagaimanakah kehidupan yang akan kami alui?” Ujar beliau lagi.

Kala itulah, kelihatan anak keduanya, seorang gadis bertudung turut membantu menyediakan kelengkapan untuk memasak di kedainya.

“Anak kedua saya ini, sanggup untuk tidak melanjutkan pelajarannya ke tingkatan enam hanya kerana mahu membantu saya dan keluarga. Ibu bapa mana yang tega melihat anaknya berkorban sedemikian rupa. Namun, dengan status kemiskinan yang kami tanggung, semuanya menjadi nyata.” Tambah Kasin lagi.

Ceritanya, anak kedua beliau, Nurhafizah, 18 mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia tahun 2011. Namun, anaknya itu hanya sempat seminggu memasuki tingkatan enam, apabila pada masa yang sama isiterinya disahkan mengidap penyakit buah pinggang tahap kronik dan perlu melakukan dialisis sebanyak tiga kali seminggu.

Dalam kegawatan itu jugalah, perniagaan kedai makannya yang baru bermula menghadapi masalah apabila pekerjanya pula berhenti mengejut. Melihatkan keadaan itulah, anak Kasin sanggup menahan niatnya untuk belajar, demi memastikan perniagaan makanan yang baru dimulai oleh ibu bapanya tidak terkubur begitu sahaja.

kasin-3

“Bukan itu sahaja ustaz, saya dan isteri pernah meninggalkan anak-anak kecil sendirian di dalam rumah dan kami berdua keluar mencari rezeki. Jika dikenang-kenang kembali, mujurlah tiada sebarang perkara buruk yang terjadi. Maklumlah, kami tidak mampu membayar wang pengasuh.” Tambah Kasin dengan nada sayu.

Sehinggalah ke tahun 2008, kala itu dia merasakan ada sinar baharu mulai memancar dalam kehidupannya sekeluarga. Ia bermula apabila Kasin menemui Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan dari saat itu, bantuan demi bantuan mulai mendatanginya.

“Saya tidak berhasrat untuk terus menerima bantuan zakat daripada LZS. Dengan umur yang masih muda, kederat yang masih banyak dan dengan kemahiran memasak yang ada, saya mahu menjadikan bantuan ini hanyalah batu loncatan buat saya. Saya yakin, Allah SWT pasti akan membantu andai tacmeds.com saya sendiri berusaha membina diri dan keluarga.” Kasin bersemangat meneruskan cerita.

“LZS telah memberikan bantuan pendidikan kepada anak-anak saya dengan jumlah yang besar, iaitu lebih RM1,000. Saya ambil sebahagian dan saya jadikan sebagai modal meniaga di sebuah kantin sekolah dan alhamdulillah, ia telah menyelamatkan saya. Maklumlah, dari mana lagi saya mampu mendapatkan modal, sedangkan pihak sekolah sudah menyatakan saya menang tender.

“Rupa-rupanya, bakat memasak dan pengalaman meniaga makanan inilah, yang menjadikan LZS yakin dengan keupayaan saya. Lalu, pada tahun 2012 ini juga, LZS telah meluluskan bantuan perniagaan berjumlah RM27 ribu buat saya, iaitu RM24 ribu dalam bentuk sebiji lori dan selebihnya lagi sebagai modal permulaan. Jujurnya, bantuan ini amat memberi makna besar kepada saya.”

Kini, perniagaan Kasin dan isterinya kian melebar, pendapatan mereka juga sudah lebih RM1,000 sebulan. Saat mengunjungi kedai makannya yang bertapak sementara di tepi Pangsapuri Kenanga, Wira Damai, jelas di papan putih tercatat banyak tempahan katering yang tersedia sepanjang Syawal dan bulan-bulan yang mendatang.

“Saya berterima kasih sangat-sangat kepada LZS dan juga semua pembayar zakat. Saya tidak akan sesiakan semua bantuan ini demi masa depan kami sekeluarga. Semoga Allah SWT terus memberkati mereka dan juga kami sekeluarga.”

Nota: Kasin menjalankan perniagaan katering di sekitar daerah Gombak dan Kuala Lumpur dan sesiapa yang berminat untuk menempah mak anan bagi sebarang majlis keramaian, Kasin boleh dihubungi di talian 019-3437060.