KATIRA KAW CETUS IDEA

noormalaJejak Asnaf0 Comments

 

Kisah kali ini memaparkan seorang usahawan asnaf Zakat Selangor, Mohd Taufiq Md Idris, 35 yang berasal dari Gombak, Selangor. Dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohd Iman Aqeef, 7 dan Cahaya Zara, 4 hasil perkongsian hidup bersama isteri tercinta Merysona Edyson, 32. Berperwatakan ceria dan sentiasa murah dengan senyuman. Bibirnya tidak lekang melontarkan kata-kata motivasi. Namun siapa sangka, disebalik keceriaannya itu, Taufiq diduga dengan pelbagai dugaan dan ujian untuk ditanggung.

Meniti perjalanan hidupnya, Taufiq sebelum ini berkhidmat di Kilang Perodua yang terletak di Rawang, Selangor. Hampir lapan tahun mencurahkan bakti sebagai juruteknik mesin, timbul minat untuk berniaga. “Semasa bekerja di kilang dahulu, saya selalu bawa barang untuk dijual. Tengoklah kadang-kadang saya bawak kuih-muih. Sebenarnya, kalau hendak diikutkan berniaga ini lebih untung berbanding makan gaji,” ujar Taufiq.

Bermula dengan berniaga kecil-kecilan, akhirnya Taufiq nekad untuk berhenti kerja lantaran selesa berniaga. Dalam masa yang sama, bagi menambah pendapatan keluarga, beliau turut menjadi perunding insuran.

Walaupun Taufiq telah membulatkan hatinya, namun sewaktu itu beliau masih samar-samar lagi dengan perancangan perniagaannya. Sehinggalah pada satu ketika, usai menunaikan solat Jumaat, Taufiq singgah di sebuah kedai yang menjual air katira bagi menghilangkan dahaga. Sambil beratur menunggu giliran membeli air tersebut, Taufiq leka memerhati pelanggan yang tidak putus-putus berkunjung ke gerai tersebut. Kagum dengan sambutan yang diterima, telah memberi ilham kepadanya untuk mengusahakan perniagaan yang sama.

 

Tanpa membuang masa, beliau segera mencari seberapa banyak maklumat yang ada berkaitan produk air katira. Setelah semua maklumat diperoleh, beliau mula mengusahakan perniagaan berbekalkan modal yang ada.

Bermula dengan berniaga di tapak bazar Ramadan dengan sebalang air, sambutan yang diterima amat menggalakkan sebagaimana yang diharapkan. “Mula-mula saya masuk berniaga di tapak bazar, kemudian disusuli dengan karnival. Tidak sangka pula sambutan yang diterima amat memberangsangkan,” katanya lagi.

Alhamdulillah, perniagaan yang diusahakannya itu mula meningkat naik sehingga sudah mempunyai pelanggan tetap. Ketika itu, sekitar tahun 2010 sedang menjadi tren dalam kalangan rakyat Malaysia menikmati produk air jenama Chatime dan Coolblog. Oleh itu, Taufiq cuba mengadaptasi strategi perniagaan jenama terkenal itu dalam perniagaannya.

Hampir setahun berniaga, Taufiq telah mendaftarkan perniagaannya di bawah jenama ‘First Cup’ dan menjadi pembekal dengan membuka sebuah kilang kecil.

Bagi mengukuhkan operasi perbelanjaan syarikat, Taufiq menarik pelabur yang terdiri daripada rakan-rakanya menjadi rakan kongsi dalam perniagaan yang diusahakan. Makin hari perniagaannya makin maju, hingga beliau membuat keputusan untuk membuka sebuah premis. Bagi melebarkan sayap perniagaan lagi, Taufiq turut memperkenalkan konsep francais dan kiosk untuk memudahkan para pelanggannya mendapatkan stok produk terbaru.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Ketika sedang menelusuri puncak kejayaan, beliau diuji dengan masalah dalaman syarikat.

Berlaku konflik antara pelabur-pelabur dan pecah amanah wang syarikat. Produknya juga difitnah kononnya tidak halal oleh pesaing-pesaing terdekat. Hari demi hari, masalah menjadi makin parah hingga menjejaskan perniagaan. Akhirnya beliau terpaksa akur dan menarik diri daripada perkongsian perniagaan lantaran tidak sehaluan lagi dengan rakan kongsi. Beliau juga hampir muflis dek dibebani hutang yang terpaksa ditanggung.

Setahun berlalu, merajuk membawa diri mengenangkan masalah perniagaan dahulu, Taufiq meneruskan kehidupan dengan melakukan kerja sampingan seperti memotong rumput, menghantar orang dan macam-macam lagi demi kelangsungan hidup.

“Waktu saya merajuk dulu, saya memang tidak buat apa-apa. Terkesan betul dengan rakan-rakan dahulu. Maklumlah, saya ditipu mereka. Untuk teruskan hidup, saya buat la kerja sedikit, ada la duit sedikit. Namun, kadang-kadang langsung tidak ada duit sehingga terpaksa meminjam,” ceritanya lagi.

Dek kerana kehidupan Taufiq yang semakin menghimpit, menyebabkan birasnya mencadangkan untuk ke Lembaga Zakat Selangor bagi memohon bantuan. Memikirkan masalah yang terbeban, beliau menggagahkan diri untuk ke Zakat Selangor bagi mencuba nasib.

Menceritakan segala yang dihadapi kepada pegawai bertugas, ternyata masih ada ruang untuk beliau menghela nafas lega. Setelah dibanci beliau layak menerima bantuan zakat dan diserapkan sebagai usahawan asnaf zakat di bawah anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) iaitu Teraju Ekonomi Usahawan Asnaf Sdn. Bhd (TERAS) memandang beliau berpengalaman dan berpotensi dalam perniagaan.

Alhamdulillah, di bawah bimbingan TERAS Taufiq diajar dan diberikan latihan mengenai selok belok perniagaan. Akhirnya, pada tahun 2010 beliau telah disantuni  dengan bantuan zakat berupa lori bergerak untuk memulakan perniagaan yang baru.

Berbekalkan pengalaman lalu, beliau bertatih semula mengusahakan perniagaan. Tidak hanya itu, keluarga Taufiq juga disantuni dengan bantuan bulanan, bantuan persekolahan dan bantuan hari raya. Serba sedikit meringankan bebanan yang ditanggung.

Sehingga satu masa beliau ditemukan dengan seorang hamba Allah yang mahu membantu mempromosi perniagaannya di media sosial. Akhirnya perniagaannya menjadi tular  di  laman sosial facebook dan menjadi bualan netizen di Malaysia. “Hampir satu malaysia respon pasal produk ini. Malah ada juga pelanggan dari Brunei datang menikmati air katira saya ini, sampai tak menang tangan saya layan satu-satu pelanggan,” ceritanya penuh teruja.

Hari demi hari perniagaannya makin maju dan kini menjadi pembekal dan membuka peluang kepada orang lain untuk membuka francais dengan jenama Katira Kaw. Berkat dari bantuan zakat yang diterima, Taufiq kini mampu meraih pendapatan sekitar RM9,000 sebulan. Manakala ketika bulan Ramadan beliau mampu menjana melebihi mereka yang makan gaji. Berkat kegigihannya kini beliau mampu tersenyum bangga dengan perniagaan yang dijalankan.

Taufiq juga menyediakan pakej bagi yang mahu memulakan perniagaan. Hubungi beliau di alamat:  C-14-06, Block C, Magna Ville Condiminium, Lebuhraya Selayang Kepong, 68100 Batu Caves, Selangor

FB: Pati Khaira Kaw, Email: khatirakaw@gmail.com , Phone: 010-9826635/01112359588

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *