KEMBANGKAN PERNIAGAAN DENGAN ZAKAT

faisalIsu semasa

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Dalam kehijauan kampung di kelilingi pepohon sawit yang merimbun, di situlah berdirinya sebuah bengkel membuat roti hasil bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS). Jalanan agak becak dan rerumput juga masih basah, kerana baru sahaja disimbahi hujan. Seorang lelaki berjanggut dan berwajah jernih, menjemput kami masuk ke bengkel berkenaan. Dialah asnaf zakat yang bakal menambah bilangan usahawan asnaf berjaya di Selangor tidak lama lagi, dan beliaulah Ramlan bin Mohamad, 47 yang sudi berkongsi resepi kehidupannya kali ini.

“Saya dahulu seorang askar, saya menamatkan perkhidmatan sebelum mencapai tempoh wajib bersara. Sebab itu saya tidak menerima pencen hanya wang persaraan sahaja. Dengan wang itulah, saya membeli tanah dan di sinilah jugalah saya membina rumah.” Ramlan mengisahkan kembali bagaimana dia beringat lebih awal dengan membeli sebidang tanah, agar wang persaraannya tidak habis begitu sahaja.

Ramlan berkongsi hidup dengan pasangannya, Noorain bt Osman, 41 dan mereka murah rezeki apabila dikurniakan 13 orang anak kini, yang berusia di antara 3 bulan dan 19 tahun, enam laki-laki dan tujuh perempuan.

“Setelah menamatkan alam tentera pada tahun 1996, saya menjual ikan dan sayur di sebuah pasar di Pelabuhan Kelang, membantu kakak berniaga. Dalam tempoh beberapa tahun terawal, semuanya berjalan baik. Kemudian, tahun 1998 saya pergi menunaikan haji dan sepulangnya dari menunaikan haji, perniagaan saya mulai tidak stabil.

“Saya fikir, persaingan menyebabkan saya jatuh. Selepas itu, saya memberanikan diri menjual air soya dan dadih. Sayangnya, jualan soya dan dadih juga tidak memberangsangkan. Selalu tidak habis dan terpaksa dibuang. Masa itu saya sudah mulai rasa susah, maklumlah anak sudah lima dan pendapatan hanya sekitar RM1500 sebulan.” Tambah Ramlan seterusnya.

“Tahun 2003, saya memberanikan diri merubah haluan ekonomi. Saya belajar membuat roti daripada kakak saya dan mulai tahun itu jugalah, saya dan isteri mulai membuat dan menjual roti berinti dan sebagainya. Semuanya bermula dengan amat sederhana, kami usahakan hanya di rumah, dengan ketuhar yang kecil sahaja. Ketika itu, anak saya juga sudah bertambah kepada lapan orang.

“Kemudian, pada tahun 2005, saya ambil keputusan berpindah dari Pelabuhan Klang ke Kg. Medan, Sijangkang, Kuala Langat. Ketika itu, saya memasarkan roti ke sekolah iaitu ke kantin-kantin. Pendapatan sudah mencecah RM2000 sebulan. Sayangnya, tahun itu jugalah saya diuji apabila ketuhar kecil saya pecah.” Ramlan terus ralit berkisah pengalaman suka dukanya.

“Untuk membaikinya, sukar kerana barang gantinya sukar dicari dan agak mahal. Lalu, selama enam bulan itu jugalah saya berhenti membuat roti dan hanya bekerja dengan orang di pasar. Ketika itu, pendapatan saya pun mulai jatuh kembali kepada RM1500. Kehidupan mulai sukar dan mujurlah saya bekerja di pasar, ramai teman-teman membantu saya, memberikan sayur dan ikan yang tidak habis dijual untuk saya bawa balik ke rumah.

“Pada tahun 2007 itu jugalah, saya telah mengambil satu keputusan yang amat memeritkan. Rumah pusaka peninggalan emak di Pelabuhan Klang, telah terpaksa saya jual demi mendapatkan wang. Bayangkan, kesempitan hidup kala itu benar-benar menghimpit dan saya tidak sanggup melihat keluarga menderita. Apa lagi jalan segera, kerana di dalam saku yang berbaki wang syiling cuma. Dengan wang jual rumah, saya manfaatkan antara lainnya untuk membaiki ketuhar saya yang telah rosak sebelum ini.” Ramlan berkongsi pengalaman tanpa henti.

Tahun 2008, menurut Ramlan, kawasan kampungnya telah dinaiki air dan rumahnya turut terjejas agak teruk. Pihak Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) telah mengadakan lawatan membantu ahli kariah yang layak dan pihak JKKK juga menyarankan, agar Ramlan memohon bantuan zakat.

Pasangan Ramlan Mohamad dan Noorain Osman gigih mengusahakan perniagaan roti mereka.

Pasangan Ramlan Mohamad dan Noorain Osman gigih mengusahakan perniagaan roti mereka.

“Pihak JKKK kata, anak saya ramai. Semasa itu, anak saya sudah 10 orang dan tanggungan itu kata mereka, melayakkan saya dibantu. Rupa-rupanya, ada hikmah di sebalik musibah. Saya pun dibanci dan terbukti layak menjadi asnaf. Bermula tahun berkenaan jugalah, saya menerima pelbagai bantuan dari LZS, misalnya bantuan Ramadan, raya dan persekolahan anak-anak.

“Tahun 2010, LZS turut memberikan saya bantuan perniagaan. LZS membekalkan saya mesin pengadun, ketuhar dan modal tambahan berjumlah RM5,500. Alhamdulillah, dengan adanya bantuan tersebut membolehkan saya menghasilkan lebih banyak roti. Pasaran saya juga kian meluas.

“Kemudian, pada tahun 2012 ini juga, LZS datang lagi dan meluluskan pembinaan sebuah bengkel roti bernilai RM30,000. Tidak ada apa yang dapat saya ucapkan, kecuali Alhamdulillah dengan rasa penuh kesyukuran kepada Allah SWT, juga ucapan terima kasih kepada semua pembayar zakat dan juga pihak LZS yang sudi membantu saya selama ini.”

Hari ini, kehidupan Ramlan dan isterinya serta 13 orang anaknya bertambah bahagia. Perniagaan mereka juga kian membaik dan pendapatannya sudah mencecah RM3,000. Ramlan sudah bercita-cita, dia akan menambah produk dari semasa ke semasa. Baru-baru ini pun, mereka telah memperkenalkan roti bantal yang nampaknya memang mendapat sambutan.

Untuk jangka panjang, Ramlan akan memperolehi sijil halal, mencantikkan pembungkusan, menambah pekerja dan meluaskan jaringan rotinya ke merata tempat.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pembayar zakat, kesedaran mereka telah membolehkan orang-orang seperti saya ini dibantu. Kepada asnaf zakat, rebutlah segala peluang yang disediakan oleh LZS untuk berubah. Kepada pegawai-pegawai di LZS, tahniah juga kerana telah memberikan komitmen dalam menjalankan tugas dengan penuh dedikasi membantu kami, para asnaf selama ini.” Tuntas Ramlan menamatkan perbualan.

Nota: Bagi sesiapa yang berminat membuat pesanan untuk majlis keraian, kenduri perkahwinan dan sebagainya, Ramlan bin Mohamad boleh dihubungi di Nur Global Bakery, Lot 1409, Bt. 9, Jln. Manggis, <span style=”color:#141414″>visit web</span> Kg. Medan, 24500 Teluk Panglima Garang, Selangor dan boleh dihubungi di 013-3912745 atau 012-4651022.