KUNCI KEJAYAAN DALAM MENUNAIKAN ZAKAT

najihaTazkirah0 Comments

Menunaikan zakat adalah satu perkara yang amat dituntut dalam kehidupan seorang Muslim, ini kerana menunaikan zakat terkandung di dalam perkara-perkara yang harus dilaksanakan di dalam Rukun Islam. Dalam surah al-Mukminun, Allah s.w.t ada menyatakan pada ayat yang keempat, yang mana membawa maksud :

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman! Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyang dan mereka yang menjauhi perkara yang sia-sia dan mereka yang mengerjakan zakat.”

Jelas lah bahawa Allah s.w.t menyatakan bahawa antara ciri-ciri ataupun tanda-tanda orang yang beriman ialah selain menjaga solat, menjauhkan diri dari perkara yang sia-sia. Yang ketiganya ialah menunaikan zakat atau mengeluarkan zakat ataupun mengerjakan zakat (melaksanakan zakat).

Bila kita lihat kembali apa yang diperkatakan di dalam ayat tersebut :

  • Andai kita tidak bekerja dan berusaha, kita tidak akan memperolehi wang ataupun harta.
  • Bila kita tidak mempunyai wang atau pun harta, bagaimana kita hendak berzakat?
  • Bila kita tidak punya wang, bukan sekadar kita tidak mampu untuk mengeluarkan zakat harta.
  • Bahkan mungkin zakat fitrah pun kita tidak akan mampu untuk mengeluarkannya.

Justeru itu, bila kita renung dalam-dalam, rupanya ibadah zakat juga merupakan pemangkin untuk kita terus berusaha dan bekerja dengan lebih kuat.

Untuk kita naikkan semangat dalam bekerja dengan lebih kuat, kita detikkan dalam hati kita “Antara sebab aku bekerja ialah untuk menunaikan ibadah zakat.” Ini kerana zakat merupakan salah satu dari rukun Islam yang kelima. Jika kita tidak berzakat, itu bermaksud yang rukun Islam kita masih belum sempurna. Bila kita mempunyai wang dan juga harta, maka kita dapat menampung keperluan asasi kita, bahkan bukan sahaja dapat menampung keperluan asasi kita, kita juga berkemampuan untuk menunaikan ibadah zakat.

Pakar motivasi ada mengatakan “Where the mind goes, energy follows,” yang mana bermaksud, ke mana fikiran pergi, tenaga akan mengikutinya (menuju nya).

Di dalam hal ini, bila kita terfikir untuk menunaikan zakat, kita akan terfikir untuk bekerja dan berusaha dengan lebih kuat lagi. Selagi kita belum menunaikan zakat, selagi itu kita akan berterusan bekerja dan berusaha untuk mencapai apa yang kita mahukan agar kita dapat menunaikan rukun Islam yang kelima itu dengan sempurna.

Rupanya secara langsung melalui zakat yang kita berazam untuk melaksanakannya, akan membawa kita kepada kuat berkerja dan berusaha. Yang akhirnya kita sedari bahawa semakin hari rezeki kita semakin bertambah. Buktinya, ialah semakin tahun meningkat, semakin jumlah zakat yang kita keluarkan juga bertambah. Bahkan jumlah sedekah serta amal jariah kebajikan yang kita lakukan juga turut bertambah dari masa ke semasa.

Maka benarlah bahawa zakat merupakan kunci kejayaan yang sangat luar biasa. Kita akan dapat memperolehinya bila kita berjaya mengamalkannya.

Sumber : Buku Memberi Tanpa Diminta karya Ustaz Ghazali Ibrahim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *