LZS santuni 100 keluarga PPR Lembah Subang kesan Asnaf Miskin 

noormalaIsu semasaLeave a Comment

Suasana pagi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang seakan diselubungi kabus pagi yang menyegarkan apabila Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) Lembaga Zakat Selangor (LZS) datang menyantuni 100 keluarga di kawasan perumahan tersebut.
Kehadiran SJK yang terdiri daripada lebih 20 orang kakitangan dan Penolong Amil Kariah(PAK) bukan untuk melawat semata-mata tetapi turut membuat bancian bagi membolehkan penduduk terlibat menerima bantuan di bawah asnaf miskin.
Menurut Ketua Agihan LZS Daerah Petaling, Mohd Nur Fadhli Yohman, operasi rutin yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin dan mualaf.
“Matlamat LZS untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun masih belum disantuni oleh LZS atas beberapa faktor.
“Melalui operasi ini, siasatan secara terus dari rumah ke rumah dijalankan di lokasi, bagi menyemak keperluan berdasarkan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) keluarga yang terlibat, “katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut di sini baru-baru ini.
Yang hadir sama ialah, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Badariah Abdul Jalil, Ketua Pegawai Kewangan LZS, Rapizah Muhammad Sharif dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat, Datin Setia Norajun Ainun Mohd Hashim.
Fadhli berkata, seterusnya keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan disantuni dengan bantuan zakat seperti bantuan yuran dan kelengkapan persekolahan, bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan lain bergantung kepada keperluan semasa keluarga tersebut.
Katanya lagi, selain itu, aktiviti turun padang turut menjejaki keperluan lain bagi umat Islam di kawasan sekitar melalui agihan wang zakat kepada asnaf gharimin dan fisabilillah.
“Di samping itu, operasi SJK hari ini turut mendapat kerjasama daripada Penolong Amil Kariah (PAK) LZS. Untuk makluman, PAK ini merupakan individu yang dilantik oleh LZS bagi menjalankan tugas-tugas bancian, semakan dan menjaga kebajikan orang Islam yang layak menerima zakat dalam dikategorikan asnaf fakir, miskin dan mualaf.
“Sebagai mata dan telinga kepada LZS, PAK amat berperanan sebagai pemudahcara antara LZS dengan masyarakat terutama golongan asnaf. Program SJK hari ini secara langsung menjadi platform bagi memberi pendedahan dan pemahaman berkenaan gerak kerja mengenal pasti asnaf yang layak, “katanya.
Beliau menambah, sehingga Jun 2018 seramai 47,298 keluarga keluarga asnaf fakir dan miskin telah disantuni oleh LZS.
Jelasnya lagi, daripada jumlah tersebut, 7,312 adalah keluarga asnaf di daerah Petaling.
Seorang penduduk PPR Lembah Subang yang merupakan ibu tunggal, Atipah Aini Mohd. Yamin, 43, berkata, kedatangan SJK LZS ibarat pucuk dicita ulam mendatang memandangkan beliau dan anak-anaknya menghadapi masalah kewangan.
“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak LZS yang sanggup hadir ke rumah saya dan melihat keadaan kami.
“Saya bekerja di kawasan ini dengan gaji RM700 dan perlu menanggung anak seramai empat orang yang berusia 9 hingga 17 tahun dan masih bersekolah,” katanya selepas menerima kunjungan SJK LZS di sini baru-baru ini.
Sementara itu seorang penduduk, Maisarah Nor Misran, 29, mengucapkan syukur kerana pihak LZS hadir untuk melihat keadaan keluarga dan kediamannya.
Katanya, dengan pendapatan suami sebanyak RM1,300 dan mempunyai tiga orang anak yang masih kecil situasi kewangan keluarga amat meruncing sekali.
“Suami bekerja sebagai mekanik di Sungai Buloh dan saya tidak bekerja. Salah seorang anak saya menghadapi masalah mata dan sudah dirawat tetapi perlu pemantauan,” katanya.
Sementara itu, pihak LZS turut melawat sebuah rumah yang baru seminggu kehilangan ketua keluarga kerana sakit jantung.
Isteri arwah, Rosnah Salim, 46, merupakan seorang warganegara Indonesia tetapi telah menetap di negara ini lebih 12 tahun. Sebelum ini bantuan zakat disalurkan atas nama suami dan pihak LZS akan menumpukan bantuan untuk tiga anaknya terlebih dahulu memandangkan status Rosnah tersebut.
“Saya mempunyai tiga orang anak lelaki yang mana salah seorang tidak berupaya untuk bangun (orang kelainan upaya). Arwah suami bekerja dengan pendapatan sederhana sebagai penjaga tempat letak kereta sebelum meninggal, “katanya.
Mengulas lanjut, Fadhli berkata, hasil bancian yang dibuat akan menentukan kesemua yang ditemuduga layak atau tidak dibantu oleh LZS.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.