Memperkukuh Pendidikan Asnaf Muallaf Selangor

adminJejak Asnaf0 Comments

Oleh Ahmad Zubir Zaiyadi 

Sebagaimana asnaf lain, asnaf muallaf turut disantuni oleh zakat seperti yang disebutkan dalam al-Quran surah at-Taubah ayat 60 yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk orang-orang fakir, miskin, amil yang menguruskan dan muallaf yang dilunakkan hatinya…”

Atas dasar itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sentiasa berusaha menambah baik mekanisme pengagihan zakat untuk golongan ini. Zakat telah digunakan sebagai mekanisme untuk menyantuni asnaf muallaf ini melalui pembangunan pendidikan bagi mengukuhkan ilmu. Hal ini adalah bagimemastikan mereka dapat mendalami pengetahuan mengenai Islam dan mengukuhkan pegangan hidup beragama serta dapat meneruskan kehidupan yang lebih sempurna.

Pembangunan muallaf bukan sahaja dari sudut fizikal dan ekonomi, tetapi yang lebih utama adalah pembangunan dari sudut spiritual dan psikologi. Oleh itu, kefahaman dan penghayatan muallaf tentang ajaran Islam amat penting untuk golongan muallaf.

Di negeri Selangor pembangunan golongan ini sentiasa diberikan perhatian yang serius. Melalui Bahagian Pengurusan & Pembangunan Muallaf, MAIS, keperluan golongan ini diberi penekanan terutama dari segi mengurus, merekod, menyelenggara, mengemas kini dan mengawal pendaftaran muallaf. Di samping itu, pihak MAIS turut merancang dan melaksanakan program-program pendidikan muallaf; mengenal pasti, mengurus dan menjaga hal ehwal kebajikan muallaf. Seterusnya MAIS turut memberi penekanan dalam mengurus dan melaksanakan program Dakwah Kefahaman Islam kepada bukan Islam.

Bagaimanapun, peranan terbesar MAIS dalam hal-ehwal muallaf ini adalah dari segi pengurusan pendidikan di kalangan mualaf melalui bantuan zakat. Pelbagai inisatif dilaksanakan bagi memastikan mualaf dapat disantuni keperluan pendidikan mereka. Antaranya ialah Bantuan Umum Pelajaran (Persekolahan & Institusi Pengajian Tinggi), Bantuan Pelajaran (Pengajian Khas), Bantuan Wang Saku (Persekolahan & Institusi Pengajian Tinggi), Hal ehwal Panel Dakwah Muallaf (Pelantikan, penyambungan & penamatan), Elaun Kelas Fardu Ain Mualaf serta banyak lagi.

Akademi Muallaf Selangor turut ditubuhkan bagi membolehkan muallaf mendapat pendidikan Islam yang lebih tersusun dan komprehensif. Tidak ketinggalan modul pendidikan yang seragam melalui Buku Teks Muallaf yang diterbitkan oleh MAIS sebagai rujukan kepada golongan muallaf baru sekali gus mengukuhkan ilmu berkenaan Islam.

Perlu diingatkan bahawa segala urusan yang berkaitan dengan hubungan sesama manusia adalah menjadi tanggung jawab kita bersama kerana setiap orang Islam mempunyai hak ke atas orang Islam yang lain. Justeru itu, kita perlu menunaikan hak tersebut. Begitu juga mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan urusan berkaitan muallaf, para muallaf ini perlu dibimbing dan diberikan perhatian kerana mereka baru mendapat  hidayah Allah S.W.T. Seharusnya mereka ini didekati dan dikasihi sebagai penggalak emosi mereka untuk terus menyelami keindahan dan kesyumulan Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *