MENGAPA PERLU MEMANDANG REMEH TERHADAP RUKUN ISLAM KE-3?

noormalaTazkirah0 Comments

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim. Dengan syarat mereka telah menepati segala syarat-syarat wajib yang telah ditetapkan untuk mengeluarkan zakat. Zakat wajib ditunaikan oleh Muslim yang berkemampuan dan harta miliknya itu adalah milik sempurna. Apabila zakat itu telah wajib ditunaikan maka ia hendaklah dilakukan dengan segera tanpa melengah-lengahkan. Keengganan mengeluarkan zakat merupakan dosa besar.

Para Ulama telah bersepakat bahawa barangsiapa yang tidak mengeluarkan zakat, mereka boleh dianggap sebagai kafir dan murtad. Darahnya halal dibunuh sekiranya tidak bertaubat.  Ini kerana zakat merupakan perkara yang mudah diketahui kefardhuannya di kalangan orang Islam.  Imam al-Nawawi Rahimullah menukilkan dalam kitab al-Khattabi  menyatakan:

“Sesiapa yang mengingkari kewajipan berzakat pada masa ini adalah kafir berdasarkan ijma’.” Katanya lagi: “Pengetahuan tentang kewajipan berzakat telah tersebar luas di kalangan orang Islam sehingga telah diketahui oleh rakyat dan penguasa, termasuk orang alim dan jahil. Oleh itu, tiada alasan lagi sesiapapun membuat tafsiran sendiri untuk mengingkarinya.  Begitulah juga hukumnya bagi orang yang mengingkari sesuatu perkara agama yang telah disepakati oleh ulama, seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, dan lain-lain.

 

memberi

 

Berikut merupakan dalil yang menyatakan kepentingan dalam mengeluarkan zakat:

Firman Allah SWT:

‘Hai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah SWT) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu menafkahkan daripadanya. Padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” (Q.S al-Baqarah: 267)

Dalil tersebut membuktikan tentang kewajipan kita dalam mengeluarkan zakat. Kadar zakat yang dikenakan ke atas seseorang itu hanyalah 2.5% setahun daripada hartanya. Walaupun jumlah ini kecil tetapi masih ramai lagi di antara kita yang memandang remeh dalam melaksanakan tuntutan berzakat ini. Kita perlu sedar bahawa setiap daripada harta kita ada milik orang lain yang lebih memerlukan untuk memperbaiki kehidupan mereka ke arah yang lebih baik. Antara faktor yang menyebabkan segelintir daripada kita tidak melaksanakan tuntutan ini kerana salah faham antara kepentingan bersedekah dengan menunaikan zakat.

Sedekah merupakan pemberian dalam segala bentuk daripada seorang Muslim kepada orang yang memerlukan secara ikhlas dan sukarela tidak kira waktu dan jumlah yang diberikan. Manakala zakat pula merupakan satu kewajipan bagi setiap orang yang bergelar Muslim dan bergantung kepada syarat wajib yang dikenakan. Dua perkara ini sering kali menimbulkan kekeliruan kerana ia merupakan perkara yang di anggap sama, walhal perbezaannya amat ketara iaitu antara wajib dan sunat.

Pemberian atau agihan zakat yang dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Zakat Selangor oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terhadap golongan asnaf perlu dilakukan secara teliti agar bantuan itu disalurkan kepada pihak yang betul dan sememangnya layak untuk menerimanya. Di sebabkan ketelitian yang dititkberatkan dalam pengagihan zakat ini, proses ini mungkin memakan masa yang menyebabkan segelintir masyarakat menganggap pihak pengagih zakat tidak melaksanakan tugas yang sepatutnya. Jadi, pembayar zakat mengambil inisiatif lain untuk melaksanakan tugas ini dengan membuat pengagihan sendiri iaitu membayar zakat secara langsung kepada golongan penerima. Untuk memastikan seseorang itu asnaf, proses penentuan perlulah dijalankan dengan teliti, maka barulah zakat itu boleh diagihkan melalui saluran yang betul dan kepada asnaf yang tepat.

Sebagai contoh, setiap kali ingin memberi zakat kita sering melihat rumah anak yatim adalah tempat yang sesuai untuk disalurkan bantuan. Jadi kita menyalurkan sendiri zakat itu terus kepada rumah anak yatim. Yang menjadi persoalannya, adakah anak yatim itu termasuk dalam golongan asnaf? Anak yatim tidak tergolong dalam golongan asnaf. Jadi bantuan zakat yang kita berikan kepada anak yatim secara automatik akan menjadi sedekah. Kecuali jika mereka termasuk dalam asnaf yang lapan. Kesimpulan daripada contoh ini, kita tidak menyempurnakan kewajipan berzakat tetapi kita hanya bersedekah kepada mereka. Dengan ini, kewajipan menunaikan zakat masih belum selesai.  Isu pemberian zakat ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia merupakan kewajipan dan jika tidak dilaksanakan maka hukumnya berdosa. Berikut merupakan dalil bagi mereka yang ingkar untuk menunaikan zakat

Rasulullah SAW bersabda:

‘Barangsiapa yang tidak membayar zakat atasnya, (kelak) di Hari Kiamat akan dimunculkan baginya ular jantan yang memiliki bisa yang sangat banyak. Ular tersebut akan menarik kedua tangan orang itu dan berkata kepadanya, “Saya ini adalah harta dan kekayaan yang telah kamu kumpulkan di dunia.” (HR Al-Bukhari)

Sesungguhnya apabila telah wajib ke atas kita untuk menunaikan zakat, maka segeralah berbuat demikian.  Pemberian zakat yang dilaksanakan mana mungkin boleh menyebabkan seseorang itu jatuh miskin, malah kita sedia maklum bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah SWT dan kita sebagai hambanya harus menggunakannya pada jalan yang betul. Dengan melaksanakan kewajipan berzakat, rezeki kita akan dimurahkan lagi oleh Allah SWT. Allah SWT menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang menunaikankewajipan ini.

Kesimpulannya, zakat merupakan satu tuntutan yang wajib dilaksanakan dan seharusnya zakat itu dilaksanakan melalui institusi zakat kerana fungsi institusi zakat adalah untuk mempermudahkan seluruh umat Islam bagi  urusan pembayaran dan pengagihan zakat.  Semoga dengan kesungguhan kita dalam menyempurnakan kewajipan sebagai seorang Muslim ini akan menguatkan lagi Iman kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *