MILESTONE HIJRAH

noormalaTazkirahLeave a Comment

Nabi Adam a.s dan Siti Hawa berhijrah dari syurga ke dunia. Nabi Musa a.s berhijrah ke Madyan. Nabi Yusuf a.s berhijrah dari istana ke penjara dan kembali ke istana. Nabi Ibrahim a.s membawa Siti Hajar dan Ismail anaknya, merentas padang pasir berbatu, berhijrah ke Mekah. Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya, berhijrah ke Taif, Habsyah dan Madinah. Semuanya. Demi iman. Demi takwa. Demi kejayaan.

Hijrah kita? Ya, saban tahun kita menyambutnya. Ia dijadikan cuti umum. Lalu kita meraikannya dengan apa? Berkumpul. Berarak. Bersepanduk. Berselawat. Berceramah. Bertazkirah. Berbaju Melayu baru. Makan-makan. Balik kampung. Natijah akhirnya?

Inilah yang perlu kita renung. Apakah pencapaian, di sepanjang usia kita menyambutnya? Inilah Milestone Hijrah. Milestone bermakna ‘penanda jarak’. Itu secara harfiahnya. Dalam erti kata lain, ia menjadi penanda aras kehidupan. Apakah kejayaan-kejayaan yang telah kita capai selama ini? Ibarat seorang anak kecil. Dari bayi yang tidak mampu bergerak, dia mengorak langkah. Perlahan, tapi pasti. Hingga mampu berlari. Menjadi juara pecut dunia. Itulah milestone.

Sungguh. Kehidupan ada takah-takahnya. Beronak berduri. Kita tempuh. Di hamparkan permaidani. Kita tempuhi juga. Kita jatuh. Kita juga bangkit. Hidup tidak selalunya senang. Namun tidak juga selalu susah. Namun akhirnya, berapa orang yang berjaya? Berapa ramai yang mencipta keajaiban? Menjadi penanda aras kepada kehidupan orang lain. Itulah hijrah yang bermakna. Hijrah yang sangat bermakna sebenarnya. Itulah hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya.

Hijrah nabi dan para sahabat, membawa obor Islam. Hidayah di dada mereka, perlu disebarkan. Hijrah mereka mulia. Dari niat dan tekad, hijrah diambil. Mereka menjadi dagang. Terdampar di negeri orang. Benar. Manakan sama kampung sendiri dengan tanahnya orang. Hujan emas dan hujan batu, masih enak di tanah sendiri. Orangnya berbeda.Tingkahnya berbeda. Bicaranya tidak seiya. Namun mereka tempuhi juga.

Jadi, kita bagaimana? Apakah kejayaan kita setelah menyambut hijrah saban tahun? Apakah perubahan yang signifikan sudah berlaku kepada kita? Semakin fahamkah kita dengan makna hijrah? Kian mengertikah kita tuntutan dalam berhijrah? Yakinkah kita untuk berhijrah? Jawabnya, kita tiada pilihan. Harus mengorak langkah. Kita semai tekad baru. Kita mulai dengan langkah gagah.

Pertama, hijrahkan niat. Bulatkan dalam hati, kita mahu berhijrah. Bukan hijrah dari tempat ke tempat. Tetapi hijrah dari sikap ke sikap. Sikap malas ke sikap rajin. Sikap bertangguh ke sikap bersegera. Sikap berbohong ke sikap benar. Sikap tidak apa-apa, ke sikap lebih bersedia. Sikap ingkar janji, ke sikap bertanggungjawab. Sikap negatif ke positif, dan banyak lagi. Perubahan sikap, bermula dari dalam diri. Tanpa tekad dan niat, hijrah hanya omong kosong.

Kedua, hijah sikap. Ya, Perubahan sikap amat mendesak. Dari pemerhatian rambang, orang-orang kita masih diselaputi penyakit malas. Malas adalah sikap yang keji. Nabi Muhammad SAW sendiri berdoa, agar Allah SWT menjauhkan sifat malas dari dirinya. Malas bekerja, jadi miskin. Malas berfikir, jadi mundur. Malas berhias, jadi huduh. Malas membaca, jadi dungu. Malas mengaji, jadi jahil. Malas ibadat, malas bersenam, malas mengemas, malas bertanya khabar dan macam-macam malas ada di dalam dunia ini. Semuanya mesti berubah.

Sikap tidak bertanggungjawab juga banyak sekali. Janji dan masa tidak ditepati. Penat sahaja menamatkan mesyuarat dengan tasbih kaffarah dan surah al-‘Asr, kerana masa tidak juga dijaga. Sedangkan berkat itu datang dari kesungguhan menjaga masa. Sikap tidak apa juga berbahaya. Lihat sedikit kesalahan, biarkan, tidak apa. Akhirnya kesalahan merebak. Menjadi wabak. Organisasi melemah. Kerugian bertambah. Sedang Islam menggesa kita menjadi cakna. Menegur kesalahan dengan segera.

Ketiga, hijrah perancangan. Orang kita ramai yang gagal merancang. Kesannya, mereka gagal. Wang, masa, keluarga, kerja, pendidikan, harta, anak-anak, pasangan dan segalanya, harus ada perancangan. Merancang dengan ilmu. Merancang dengan wawasan. Jika hari ini saya tinggal di rumah pangsa, apakah 10 tahun akan datang masih di rumah yang sama? Jika hari ini saya bergaji RM2,000 sebulan, apakah harus sama tahun hadapan? Jika saya sekadar pemegang diploma, apa tidak mustahil anak saya berijazah doktor falsafah? Semuanya tidak mustahil. Itulah perancangan.

Keempat, hijrah istiqamah. Ramai orang berubah, namun patah hati. Akhirnya kembali kalah. Tidak jadi apa-apa. Hangat-hangat tahi ayam. Islam mengajar, istiqamahlah. Kejayaan, tidak datang sekelip mata. Lihat Kuala Lumpur. Ibu kota dengan bangunan tinggi. Jaringan pengangkutan luar biasa. Pusat perniagaan utama. Adakah sama ia hari ini dengan 60 tahun silam? Adakah ia berubah sekelip mata? Jawapannya, dimulai dengan niat, perubahan sikap, perancangan dan istiqamah.

Inilah yang harus kita renungi di sambutan hijrah kali ini. Moga milestone kita berubah. Tidak percaya, catatkan di mana kita hari ini. Bandingkan kita, di tiga tahun nanti. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Pengurus Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.