“MUDAHNYA MENERIMA ZAKAT ASALKAN BERUSAHA”

noormalaJejak Asnaf0 Comments

Walaupun sibuk menguruskan anak sulungnya Nuraina Syafiqah, 19 tahun, seorang kelainan upaya (OKU), Razali Sahran, 49 tahun sempat meluangkan masa untuk diwawancara bagi mengisi kolum Jejak Asnaf ini. Membahasakan diri sebagai Pak Li, beliau berkongsi suka duka hidupnya dalam keluaran kali ini.

“Dah beberapa tahun Pak Li yang uruskan anak sulung. Sebelum ini isteri saya, Siti Aishah Halim yang menjaganya. Namun bila Nuraina semakin besar, kudrat isteri untuk menguruskannya semakin terbatas,” cerita Pak Li yang turut mempunyai seorang anak lagi, Nuraini Nazihah, 16 tahun.

Setelah memikirkan semasak-masaknya, Pak Li mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya dan memberi sepenuh perhatian untuk anaknya. Tanggungjawab mencari rezeki kini bertukar tangan kepada isterinya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat guaman di Shah Alam. Sepanjang tempoh tersebut, Pak Li menumpukan perhatian menguruskan keluarga. Namun, beliau tidak betah untuk duduk sahaja.

Sedari awal melihat keadaan perlu diperbetulkan demi masa depan keluarganya, Pak Li tekad untuk mencari kerja sampingan bagi membantu isteri yang bekerja. Baginya tanggungjawab mencari rezeki masih perlu digalas kerana beliau adalah ketua keluarga.

Oleh itu, Pak Li tekad untuk bekerja sendiri membawa teksi. Dalam masa yang sama, Pak Li masih boleh menjaga anak sulungnya.

Namun bukan mudah untuknya mencapai hasratnya. Kekangan modal menjadi masalah kepadanya untuk mendapatkan sebuah teksi. Atas saranan seorang sahabat, telah mengesyorkan Pak Li mengadu masalahnya ke Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor).

“Namun masa itu, hati ini tidak mahu ke Zakat Selangor. Pak Li mengaku dalam kepala ini dimomokkan dengan kisah negatif yang selalu kita dengar pasal zakat. Karenah birokrasi, pilih kasih, proses yang lambat dan sebagainya bermain-main dalam kepala Pak Li ketika itu,” ceritanya.

Tetapi pada masa itu, Pak Li tidak ada pilihan. Tidak ada modal, maknanya tidak ada teksi. Walaupun tidak yakin Zakat Selangor akan membantunya, Pak Li tetap menggagahkan diri bertemu dengan pegawai di ibu pejabat Zakat Selangor. Setelah dikira haddul kifayah ternyata Pak Li layak untuk didaftarkan sebagai asnaf miskin di Selangor. Maka, selepas itu permohonan bantuan modal dibuat dan alhamdulillah permohonannya sebanyak RM5,000 telah diluluskan bagi membolehkan Pak Li membayar deposit menyewa teksi.

Hakikatnya walaupun telah didaftarkan sebagai asnaf miskin, Pak Li tidak betah untuk mengambil bantuan lain. Pak Li mengakui Zakat Selangor turut menawarkan bantuan lain kepadanya, namun bukan mudah Pak Li menerima bantuan zakat begitu sahaja.

Sambil menggeleng kepalanya, Pak Li berkata, “Masa itu, niat saya hanya hendak mendapatkan bantuan modal teksi sahaja. Sejujurnya, selain daripada bantuan itu, saya tidak perlukan. Saya tidak selesa menerima zakat kerana masih sihat dan mampu bekerja. Dengan kudrat yang ada, saya masih boleh mencari rezeki untuk keluarga. Saya tidak mahu mengambil hak orang lain yang lebih memerlukan.”

Dengan teksi yang ada itu, Pak Li meneruskan kelangsung hidup demi keluarganya. Seawal pagi, Pak Li telah keluar rumah untuk membawa puteri sulungnya ke Sekolah Menengah Seksyen 19, Shah Alam. Selepas itu menghantar isteri ke tempat kerja, sebelum memulakan langkah harinya mencari pelanggan dengan teksi itu.

 Pengalaman Memohon Bantuan

Namun langit tidak selalunya cerah. Setelah hampir enam bulan teksi itu berjasa dengannya, tidak disangka teksi tersebut terlibat dengan kemalangan menyebabkan Pak Li ibarat ‘patah kaki’.

“Masa itu saya rasa ‘down’ sangat. Tak dapat buat apa-apa. Hendak perbaiki teksi, duit tidak ada. Tetapi kehidupan perlu diteruskan. Mahu tidak mahu, terpaksa membuat pinjaman peribadi untuk membeli sebuah teksi lain bagi menyambung kerja sebelum ini,” kata Pak Li mengenang kisah lalu.

Sekali lagi ujian menimpa Pak Li sekeluarga saat anak sulungnya perlu menjalani pembedahan. Dalam keadaan sukar itu, sekali lagi sahabatnya mendesak Pak Li mendapatkan bantuan zakat. Namun bukan mudah bagi Pak Li menerima saranan sahabatnya itu. Dek kerana terlalu dimomokkan cerita negatif berkenaan zakat, beberapa kali Pak Li menundakan hasratnya untuk memohon bantuan.

“Masa itu, saya fikir leceh sangat. Sebab kena isi borang, dapatkan surat doktor, perlukan pelbagai dokumen dan sebagainya. Hinggalah suatu hari sahabat saya menelefon saya mendesak untuk pergi ke ibu pejabat Zakat Selangor. Sahabat saya itu sendiri menunggu saya di sana. Mahu tidak mahu, saya terpaksa pergi.”

Ternyata pengalamannya sendiri memohon bantuan kali ini tidak seperti apa yang difikirkan. “Sebenarnya apa yang dimomokkan sebelum ini, jauh berbeza dengan pengalaman yang saya alami. Saya sampai ke pejabat Zakat Selangor, hanya diminta isi borang. Dokumen lain tidak perlu diserahkan kerana saya sebelum ini adalah asnaf zakat. Hadir saya ke sana, hanya untuk memohon bantuan pembiayaan pembedahan anak. Tetapi pegawai yang saya jumpa telah senaraikan lima bantuan zakat lain yang saya layak terima,” jelas Pak Li.

Alhamdulillah, tidak lama selepas itu permohonan untuk biayai pembedahan anaknya sebanyak RM14,000 diluluskan oleh Zakat Selangor. Pengalamannya itu telah melenyapkan sedikit demi sedikit persepsi negatif Pak Li terhadap institusi zakat.

“Bantuan yang disalurkan ini merupakan suatu kegembiraan yang tidak mampu dizahirkan. Ia amat bermakna bagi kami sekeluarga, apatah lagi Zakat Selangor membantu ketika kami amat memerlukan. Sejujurnya saya tidak selesa berterusan menerima bantuan zakat. Sebab itulah tidak semua bantuan yang dicadangkan saya terima. Memadailah dengan apa telah terima ini kerana saya masih lagi mampu untuk berusaha mendapatkannya. Biarlah bantuan tersebut disalurkan kepada orang lain yang jauh lebih memerlukan.”

Berkat daripada wang zakat itu dan kejayaan pembedahan itu Nuraina kini menunjukkan peningkatan dalam kesihatannya. Daripada tidak mampu menggerakkan anggota, Nuraini mampu untuk menggerakkan badannya.

“Alhamdulillah, semakin beransur-ansur baik. Saya juga ada bawa Nuraina mendapatkan rawatan fisio untuk melembutkan anggota tangannya. Itulah rutin Nuraina sekarang. Pagi sekolah, sebelah petang menjalani rawatan fisio pula,”ujar bapa gigih ini.

 ‘Duta Kecil’ Zakat Selangor

Saat kehidupan Pak Li sekeluarga disantuni zakat, menyebabkan jiwanya kini lebih prihatin dengan kesusahan yang dihadapi oleh masyarakat sekeliling.

“Saya sekeluarga amat bersyukur dengan bantuan yang Zakat Selangor hulurkan saat saya tidak punya apa. Bersyukur, dengan bantuan yang diberi menyebabkan saya berazam untuk membantu insan-insan lain yang memerlukan.”

Mengamalkan prinsip ‘apabila kita ditolong, maka kita perlu menolong’, Pak Li telah memasang niat untuk membantu seberapa ramai individu atau keluarga di luar sana yang memerlukan bantuan, lebih-lebih lagi di sekitar Shah Alam. Dengan menjadi pemudah cara, beliau telah membantu orang lain yang memerlukan bantuan zakat. Malah beliau bersedia berperanan sebagai penghubung antara masyarakat dengan Zakat Selangor.

“Saya tidak mampu membantu dengan wang ringgit. Jadi saya gunakan cara saya untuk membantu orang lain. Kelebihan saya membawa teksi ini memberi peluang untuk mendekati masyarakat. Jadi saya boleh mendalami permasalahan mereka dan mana-mana yang memerlukan bantuan, saya salurkan kepada Zakat Selangor.”

Malah, Pak Li turut aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dengan melibatkan diri dalam program PIBG Pendidkan Khas di Sekolah Menengah Seksyen 19, Shah Alam, tempat anaknya belajar. Beliau membantu ibu bapa yang mempunyai anak-anak OKU dengan berkongsi ilmu dan pengalaman.

Selain itu, Pak Li juga aktif menggunakan saluran media sosial melalui laman facebook Shah Alam Resident Tak Ban Orang (SARBAN). Sebagai laman facebook komuniti, Pak Li sering menggunakan wadah ini untuk membetulkan persepsi masyarakat tentang institusi zakat.

“Jika kita memohon bantuan zakat, ikutlah prosedur yang ditetapkan dan dengarlah nasihat pegawai zakat. Janganlah kita pula hendak menyalahkan institusi zakat sedangkan kita sendiri tidak berusaha untuk memudahkan pegawai yang menjalankan tugasnya. Pak Li bercakap berdasarkan pengalaman. Dahulu Pak Li sama seperti orang di luar sana. Selalu berpandangan negatif dengan institusi zakat. Tetapi kita tidak sedar, sedangkan hendak meminjam wang di bank pun memerlukan pelbagai dokumen dan syarat, apatah lagi dengan zakat yang wangnya diberi bukan dipinjam. Insya-Allah, Allah akan memudahkan urusan kita,” kata Pak Li mengakhiri bicara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *