PANDANGAN ISLAM TERHADAP AGIHAN SENDIRI

noormalaIsu semasaLeave a Comment

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid

Menunaikan zakat mestilah ada kaedahnya. Dalam mendefinisikan zakat, ulama’ secara jelas menyebutkan kalimah tertentu. Zakat adalah harta-harta tertentu yang dikeluarkan dengan syarat-syarat tertentu dan diberikan kepada asnaf-asnaf yang tertentu. Terdapat tiga kali kalimah tertentu yang menunjukkan bahawa zakat adalah satu ibadat yang khusus.

Menurut ketetapan Allah S.W.T, zakat hendaklah dikeluarkan kepada lapan asnaf yang berhak. al-Quran menerusi surah at-Taubah ayat ke 60 menggariskan secara jelas, lapan golongan yang layak dititipkan zakat kepada mereka. Lapan golongan itu ialah fakir, miskin, amil, mualaf, riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil. Maknanya, ibu tunggal tidak termasuk, begitu juga anak yatim, orang cacat dan juga warga emas. Kecuali mereka fakif atau miskin.

Inilah yang sering diamalkan oleh umat Islam. Ada yang memberikan zakat mereka kepada anak yatim di kampung, kepada rumah anak yatim, kepada ibu tunggal, orang cacat dan sebagainya lagi.

Sebenarnya, anak-anak yatim sama ada yang tinggal di rumah sendiri atau mendiami rumah anak yatim bukanlah asnaf. Ini kerana, ada anak yatim yang kaya lantaran mempusakai wang simpanan ibu bapa yang banyak. Sesungguhnya, mereka tidak layak menerima zakat, kecuali mereka adalah anak yatim yang miskin. Mereka layak kerana miskinnya itu, bukan kerana yatimnya.

Begitu juga, sebuah rumah anak yatim tidak layak mendapat wang zakat; melainkan atas sandaran ia rumah anak yatim yang miskin atau kerana rumah kebajikan itu dalam proses meningkatkan kemudahannya. Maka, ia layak bukan kerana yatimnya tetapi kerana atas alasan meningkatkan kemudahannya, seperti penyediaan surau, perpustakaan, bilik asrama dan sebagainya yang boleh dikategorikan dalam kelompok asnaf fisabilillah.

Di samping itu, ada juga kes orang Islam yang mahu memberikan sendiri wang zakat kerana mahu berasa puas. Puas setelah melihat ‘ain wang zakat bertukar tangan.

Selalunya, golongan seperti inilah yang mahu mengagihkan sendiri. Mereka puas bila melihat orang susah itu tersenyum gembira mengira duit, atau puas melihat kampit-kampit beras bertukar tangan menghiasi sudut daif gerobok si miskin, yang bagi mereka dapat meningkatkan nilai takwa mereka kepada Ilahi.

Menurut Syed Sabiq di dalam Fikih Sunnah, beliau menyatakan: “Di antara tujuan zakat ialah, memberikan kecukupan dan menutup keperluan si miskin. Maka hendaklah mereka (orang-orang miskin) diberikan zakat sejumlah yang dapat membebaskannya daripada kemiskinan kepada kemampuan, daripada keperluan kepada kecukupan buat selama-lamanya” (Fikih Sunnah, jilid 3, halaman 87).

Maknanya, itu apabila diberikan kepada asnaf zakat, khususnya fakir dan miskin hendaklah bersifat memenuhi keperluan mereka. Dalam erti kata lain, zakat bermaksud memberikan bantuan secara sistematik dan bermatlamat. Ia bukan sekadar memberikan keringanan dalam tempoh sehari atau sebulan dan kemudian penerimanya kembali jatuh miskin. Bahkan matlamatnya adalah mengeluarkan mereka dari lembah kemiskinan.

Sebab itu, setiap orang Islam wajar menyedari bahawa, di dalam setiap sen wang zakat yang mahu kita hulurkan, ada lapan asnaf yang berhak di dalamnya. Bahkan menurut pandangan Imam Syafie di dalam kitab Fiqhul Manhaji: “Apabila pemilik mahu membahagikannya (zakat) sendiri ataupun melalui wakilnya, dia wajib membahagikannya sekurang-kurangnya kepada tiga orang daripada setiap golongan (asnaf) sekiranya bilangan mereka tidak dapat dikira,” (Fiqhul Manhaji, halaman 467).

Katakanlah kita mengambil lapan asnaf, ia bermakna, jika kita mempunyai RM80, maka setiap asnaf yang lapan berhak mendapat habuan RM10. Kita tidak boleh mengingkarinya, kerana ia adalah ketetapan Allah SWT. Maka, cuba bayangkan jika kita hanya dikenakan zakat RM800 setahun, maka dengan pembahagian lapan asnaf itu dengan sendirinya akan mengecilkan amaun zakat bagi setiap asnaf. Asnaf fakir dan miskin hanya mendapat RM100. Maka, soalan yang patut ditanya kepada diri kita sendiri, cukupkah RM100 bagi si fakir? Dengan kenaikan kos sara hidup, RM100 itu paling lama bertahan hanya seminggu. Diulang, hanya seminggu. Maka, adakah pemberian sendiri wang zakat RM100 itu memenuhi kriteria roh dan falsafah zakat yang disebutkan di atas? Kita sendiri sudah mampu menjawabnya.

Atas pelbagai hujah di ataslah, maka Islam telah menyediakan garis panduan yang terbaik di dalam menunaikan zakat. Ia boleh disabitkan kepada hujah naqal mahu pun akal. Al-Quran dan al-Hadis adalah hujah kukuh yang tidak mampu disangkal. Hujah akal juga juga menunjukkan, zakat hanya mampu berperanan secara efektif bila ia dikumpulkan dalam dana yang besar dan dijana pula secara sistematik. Sebab itulah, mengeluarkan zakat kepada amil adalah lebih tepat dan menepati saranan Islam.

Ya, amil atau pengurus zakat adalah satu pekerjaan yang jelas disebut di dalam dalil naqli. Perkataan amil misalnya ada dinyatakan di dalam Al-Quran, iaitu pada ayat ke-60 surah At-Taubah, Allah SWT menyatakan: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk para fakir, miskin, amil (para pengurus zakat)…”

Begitu juga di dalam hadis, banyak menjelaskan peranan amil. Bahkan di dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ada menukilkan: “Layanilah para petugas zakat (amil) itu dengan baik!”

Bahkan tradisi ijtihad di kalangan ulama’ juga bermula saat Muadz bin Jabal dihantar nabi menjadi gabenor sekaligus amil di Yaman. Perbualan lanjut antara Muadz dan Nabi Muhammad SAW jelas menggambarkan bahawa, Muadz adalah gabenor dan amil yang dilantik Nabi SAW bagi menjalankan pentadbiran, termasuk mengutip zakat dan mengagihkannya kembali di kalangan orang-orang miskin. Kata Nabi SAW: “Khabarkanlah kepada mereka (penduduk ahlul kitab Yaman) bahwa Allah mewajibkan ke atas mereka zakat, yang diambil harta itu daripada kalangan orang-orang kaya dan diserahkan kepada fakir miskin di antara mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hari ini, atas dasar maslahah ummah dan demi memaksimumkan potensi zakat, maka zakat telah diinstitusikan pengurusannya. Rakyat pula diminta (diperintahkan) menyalurkan zakat mereka kepada institusi zakat. Maka lahirlah organisasi zakat yang dinamakan lembaga zakat. Institusi ini berperanan menjalankan kutipan dan mengagihkan wang zakat. Ia adalah ‘core business’ zakat. Namun, ia dijalankan secara lebih teratur, berperancangan, sistematik dan sentiasa dipantau keberkesanannya. Akhirnya, potensi zakat dapat digembeleng dan dimaksimumkan demi kebaikan umat Islam.

Natijahnya apa? Izinkan saya memetik kenyataan Mufti Selangor, Dato’ Setia Hj Mohd. Tamyes Hj Abdul Wahid: “Sah mengeluarkannya sendiri. (Namun) zakat adalah ibadah malliyah (benda) yang mempunyai dimensi dan fungsi ekonomi juga solidariti sosial. (Ia juga bersifat) kemanusiaan dan keadilan, pembuktian persaudaraan Islam, pengikat kesatuan ummah dan pengikat batin antara kaya dan miskin. Prinsip dan falsafahnya universal…hari ini, ia diuruskan oleh institusi yang dipertanggungjawabkan. (Maka) agihan akan dilaksanakan secara lebih meluas, menyeluruh dan mengambil kira keperluan setiap asnaf yang ada,” (rujuk http://www.muftiselangor.gov.my)

Saya kira, kenyataan di atas adalah jauh lebih lunak daripada kita menyinggung isu fatwa, kerana di Malaysia, adalah jelas diputuskan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, bahawa adalah ‘berdosa’ walaupun sah mengeluarkan sendiri zakat. Ia berdosa kerana mengingkari arahan ‘Ulil Amri’ (pemerintah), sedangkan mematuhi arahan pemerintah dalam soal ketaatan adalah wajib di sisi Islam (Rujuk Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan bab Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian tahun 2006). Maka, izinkan saya berhenti di sini dengan harapan, kita sudah mendapat jawapan terhadap persoalan, ‘bolehkah zakat saya sendiri agihkan?’

Wallahua’lam.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.