PERBEZAAN DI ANTARA ZAKAT & SEDEKAH

najihaPerspektif0 Comments

Umat Islam hari ini sudah mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menunaikan tanggungjawab menjaga hubungan sesama manusia iaitu melalui pemberian yang disebut sebagai derma, sumbangan, hadiah atau sedekah. Bila sesuatu tempat dilanda banjir maka banyaklah sumbangan atau derma berupa wang, barangan atau pakaian dihulur oleh pelbagai pihak samada individu, badan-badan kebajikan agensi dan lain-lain.  Malah musibah atau penderitaan yang melanda umat Islam di luar Negara seperti Acheh, Kampucha, Palestin, Afghanistan dan lain-lain juga banyak sumbangan diterima dari pelbagai pihak.

Pada musim Hari Raya Qurban pula, ramai umat Islam yang menunaikan ibadah Qurban sehingga masjid-masjid khususnya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sentiasa menerima binatang Qurban  untuk diagih-agihkan daging bagi penduduk sekitar kawasan masing-masing.

Perubahan ini menandakan sesuatu yang baik bahawa Umat Islam yang semakin mementingkan aspek perhambaan kepada Allah SWT dengan menunaikan tanggungjawab tersebut.

Namun masih terdapat kekeliruan di kalangan umat Islam hari ini apabila mereka diminta untuk menunaikan kewajipan berzakat, mereka akan memberi maklumbalas bahawa mereka telah pun bersedekah kepada surau-surau dan masjid. Sesungguhnya terdapat pentafsiran yang berbeza antara derma, sedekah, zakat atau apa jua nama pemberian yang diberikan kepada orang yang memerlukan.

Pemberian itu merangkumi sedekah, hadiah dan ‘athiyyah yang mempunyai definisi atau maksud yang hampir sama. Apa yang membezakannya ialah tujuan si pemberi ketika menyampaikan pemberiannya itu. Andainya pemberian itu dimaksudkan sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, maka ia adalah sedekah, jika ia dimaksudkan sebagai satu penghargaan, tanda kasih sayang atau pujian, maka ia disebut sebagai hadiah dan jika sebaliknya maka ia hanyalah satu pemberian biasa (Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyah: 26/324).  Islam menggalakkan umatnya mengeratkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan tali persaudaraan sesama manusia sepertimana dijelaskan dalam Firman Allah SWT bermaksud:-

“Hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa” (Surah Al-Maidah: 2).

Galakkan suka memberi itu juga ada disebutkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis-hadis Baginda supaya umatnya sentiasa berkasih sayang sesama mereka. Hal ini digambarkan oleh Baginda dalam sabdanya yang bermaksud:

“Bersalam-salamlah kamu nescaya ia akan menghilangkan perasaan dengki (iri hati), dan beri memberilah antara kamu, nescaya kamu akan saling cinta mencintai antara sesama kamu dan ia akan menghilangkan permusuhan” (Hadis riwayat Malik).

ZAKAT

Definisi

Definisi zakat menurut Kamus Dewan ialah rukun Islam yang ketiga yang mewajibkan seseorang Islam mengeluarkan sebahagian daripada hartanya kepada orang yang berhak menerimanya seperti fakir miskin, mengikut syarat-syarat yang ditentukan.

Perkataan zakat atau al-zakah (الزكاة) dalam bahasa Arab mengandungi pelbagai maksud. Zakat bermaksud suci, rahmat, berkembang, subur, pintar, bertambah, baik, damai dan terpuji. Tetapi makna yang sering digunakan bagi perkataan ini lebih merujuk kepada pengeluaran sejumlah harta tertentu.

Makna zakat secara etimologi pula ialah sepertimana Firman Allah swt yang bermaksud:

“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya Engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana Sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah At-Taubah 9:103).

Atas dasar itu Ibnu Taimiyyah berpendapat, jiwa orang yang berzakat itu akan menjadi bersih serta kekayaannya akan bersih dan bertambah. Ertinya tumbuh dan suci tidak hanya berlaku ke atas kekayaan, tetapi lebih daripada itu, iaitu berlaku ke atas jiwa orang yang menzakatkannya.

Zakat merupakan salah satu dari rukun Islam yang kelima. Maka hukumnya adalah WAJIB bagi setiap muslim yang telah memenuhi syarat-syaratnya. Dasarnya adalah dari Al Qur”an dan Sunnah. Firman Allah yang bermaksud:

 “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah Dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. dan Yang demikian itulah ugama Yang benar”. (Surah Al-Bayyinah 98:5)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

Islam dibangun di atas lima perkara, bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad s.a.w adalah utusanNya, menunaikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji ke Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadhan” (Riwayat Bukhari).

Telah banyak dalil-dalil dari Al-Quran dan Sunnah tentang ancaman keras bagi orang yang bakhil dengan zakat dan enggan untuk mengeluarkannya. Firman Allah yang bermaksud:

(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu (At Taubah: 34).

Hikmah Zakat

  1.  Menguatkan rasa kasih sayang antara si kaya dengan si miskin. Hal ini kerana fitrahnya jiwa manusia      adalah senang terhadap orang yang berbuat kebaikan (berjasa kepadanya).
  2.  Mensucikan dan membersihkan jiwa serta menjauhkan jiwa dari sifat kikir dan bakhil.
  3.  Membiasakan seorang muslim untuk memiliki sifat belas kasihan.
  4.  Memperoleh keberkahan, tambahan dan ganti yang lebih baik dari Allah Ta”ala.
  5.  Sebagai ibadah kepada Allah Ta”ala

 SEDEKAH

Definisi

Sedekah berasal daripada perkataan bahasa Arab sadaqoh yang bermaksud suatu pemberian yang diberikan oleh seorang muslim kepada seorang muslim yang lain secara spontan dan sukarela tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu. Sedekah juga dimaksudkan suatu pemberian yang diberikan oleh seseorang sebagai kebajikan yang mengharap keredhaan Allah SWT dan pahala semata-mata. Sedekah dalam pengertian di atas oleh para fuqaha (ahli fikih) disebut sadaqah at-tatawwu” (sedekah secara spontan dan sukarela).

Pengertian sedekah menurut kamus Dewan ialah pemberian kepada fakir miskin (dengan ikhlas). Maksud yang sama ialah membelanjakan wang atau memberikan sesuatu kepada pihak lain dengan hati yang ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang imbalan atau balasan. Firman Allah swt:

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadaNya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya Aku dapat bersedekah dan dapat pula Aku menjadi dari orang-orang yang soleh ” (Al-Munafiquun: 10).

Hukum Sedekah

Para fuqaha bersepakat hukum sedekah pada dasarnya adalah SUNAT, mendapat pahala bila dilakukan dan tidak berdosa jika ditinggalkan. Di samping sunnah, adakalanya hukum sedekah menjadi haram iaitu dalam keadaan seseorang yang bersedekah mengetahui dengan pasti bahawa orang yang bakal menerima sedekah tersebut akan menggunakan harta sedekah untuk kemaksiatan. Manakala hukum sedekah menjadi wajib jika seseorang bernazar hendak bersedekah kepada seseorang atau lembaga tertentu.

Sedekah secara umumnya terbahagi dua iaitu sedekah wajib (zakat) dan sedekah sunat. Ditekankan di sini ialah sedekah sunat dipandang ringan sesetengah pihak, tetapi sebenarnya ia memberikan manfaat yang besar seperti dapat meringankan beban dan penderitaan si penerima, khususnya di kalangan orang-orang yang fakir, miskin dan anak yatim.

Ganjaran Sedekah

Bagi pemberi sedekah, setidak-tidaknya dengan pemberian itu diharapkan dapat menebus dosanya dan memberikan ketenangan. Malah yang lebih utama ialah mendapat ganjaran berkali ganda di sisi Allah, seperti dalam Firman Allah swt yang bermaksud:

Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya (Al-Baqarah :261).

Seorang cendekiawan Muslim, Sheikh Ahmad Kutty, berkata: “Islam menggalakkan pemberian sedekah kepada semua manusia, tanpa mengira perbezaan agama, kaum, warna atau bahasa.”

Menurutnya, Nabi Muhammad s.a.w ada membantu orang bukan Muslim (jahiliah) di kalangan yang menentangnya dan mereka tidak menghalangnya untuk memberikan bantuan dalam memenuhi keperluan yang terdesak.

“Mereka juga memberi makan dengan makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim serta orang tawanan. Firman Allah swt yang bermaksud:

(sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya Kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata Kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih” (Al-Insaan: 9).

Secara ringkasnya, ganjaran orang yang memberi sedekah antaranya ialah:-

  1.  Mendapat pahala yang besar
  2.  Menjadi benteng api neraka
  3.  Mendapat doa dan kebaikan daripada malaikat.
  4.  Menghapuskan sifat Bakhil
  5.  Pahala sedekah sampai kepada si mati
  6.  Menyemaikan sifat kasih sayang antara satu sama lain.

Kesimpulannya, sebagai seorang Islam yang telah mencukupi syaratnya maka wajiblah kita menunaikan zakat disamping itu kita banyakkan sedekah sebagai amalan sunat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *