Projek Selangor Prihatin: Cermin Rasa Prihatin Sultan Selangor

noormalaJejak AsnafLeave a Comment

Lembaga Zakat Selangor (LZS) kekal komited untuk menjayakan projek Selangor Prihatin di Kampung Gong Jenarah Pasir Puteh, di sini merangkumi pembinaan rumah, infrastruktur, surau dan aktiviti penanaman cili sebagai sumber ekonomi.

Menurut Officer In Charge LZS, Abdul Basith Hamid, projek tersebut yang bernilai RM10 juta adalah cerminan rasa prihatin Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ingin membantu rakyat di luar Selangor yang memerlukan.

“Projek yang memakan masa lima tahun dan berakhir 2020 bukan sahaja menumpukan kepada pembinaan rumah untuk asnaf fakir dan miskin terlibat, malahan kita membantu dari sudut ekonomi.

“Kita membantu para penerima bantuan untuk menaik taraf ekonomi mereka dengan menanam cili merah (cili untuk membuat sos), ” katanya sempena Lawatan Media & Stakeholder ke Desa Alam Shah Pasir Puteh Kelantan di sini baru-baru ini.

Abdul Basith berkata, sebanyak 37 ekar tanah disediakan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) bagi memastikan Projek Selangor Prihatin menjadi kenyataan.

Jelasnya lagi, sebanyak lapan ekar tanah didirikan petempatan dan selebihnya iaitu 28 ekar dijadikan tapak ladang cili.

“Seramai 28 penduduk terlibat dan setiap orang diberi seekar tanah untuk diusahakan tanaman cili.

“Penduduk juga menjalankan projek ikan puyu secara berkelompok di tapak ke-29 ekar dan ia menjadi projek inkubator yang mana mereka menerima sebuah rumah dan seekar tanah setiap seorang,” katanya.

Beliau menambah projek cili tersebut adalah berdasarkan kontrak perladangan dengan Syarikat Nestlé (M) Sdn. Bhd. yang membolehkan hasil ladang dijual terus kepada syarikat tersebut.

Mengulas lanjut beliau berkata, seorang pegawai LZS dan MAIK akan memantau perjalanan projek tersebut dari pelbagai aspek termasuk sosial, pendidikan dan kesihatan.

Sementara itu Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK), Dr. Haji Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi berkata, program Selangor Prihatin di Desa Alam Shah merupakan kerjasama bijak antara LZS dan MAIK dalam meningkatkan taraf hidup asnaf.

“Di bawah program untuk asnaf di Desa Alam Shah kita berharap 28 peserta yang terlibat mampu berjaya keluar dari garis kemiskinan. Kita turut menyumbang perabot dan kelengkapan di dalam rumah peserta.

“Walaupun setakat ini seorang yang berjaya dalam program tersebut, saya tetap menganggap ia suatu kejayaan. Justeru kita akan membantu mereka dengan memantau prestasi mereka dari masa ke semasa,” katanya dalam satu program berasingan di MAIK di sini.

Nik Mohd.Azlan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai agensi Kerajaan Negeri Kelantan untuk membantu para peserta yang terlibat untuk mendapat tapak bagi membolehkan mereka mengusahakan tanaman cili.

Jelasnya lagi, beliau juga mensasarkan agar selepas lima tahun setiap peserta mempunyai simpanan sebanyak RM100, 000 hasil usaha mereka sewaktu di Desa Alam Shah yang menjadi pusat latihan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.