QADA’ ZAKAT – KEWAJIPAN YANG MASIH ADA

noormalaTazkirah0 Comments

Zakat adalah salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan yang terbahagi kepada zakat harta dan zakat fitrah. Zakat harta meliputi pelbagai jenis antaranya zakat saham, emas, KWSP, perniagaan, pendapatan, simpanan dan ternakan. Namun, jika individu atau syarikat yang mencukupi syarat wajib menunaikan zakat, layak menunaikan zakat pada tahun-tahun yang lalu dan belum melunaskan semua zakat yang wajib bagi tahun yang lalu, maka zakat itu wajib diqada’.

Pengertian qada’ dalam konteks ibadah ialah setiap amalan fardu (seperti puasa, solat dan zakat) yang ditinggalkan wajib diqada’ sama ada disebabkan lupa, sengaja meninggalkannya atau orang murtad yang kembali semula kepada Islam setelah murtad.

Daripada segi istilah fuqaha, qada’ ialah sesuatu (ibadah) yang dilakukan selepas berlalu waktu tunainya untuk mendapatkan sebagaimana yang sebelumnya dengan melakukannya secara qada’ atau mengerjakan semula ibadat-ibadat yang tidak sah atau yang tertinggal atau sengaja ditinggalkan pada waktu-waktu yang lain.

Hukum qada’ bagi zakat ini boleh dikiaskan kepada hukum qada’ solat, sebagaimana diriwayatakan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga tertinggal solatnya ataupun terlupa mengerjakannya, maka hendaklah dia mendirikan solat yang tertinggal itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:”Dirikanlah solat untuk mengingati Aku”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, qada zakat bermaksud, menunaikan zakat yang wajib ditunaikan pada masa yang telah lalu; namun gagal ditunaikan oleh kerana kelupaan, kesengajaan meninggalkanya atau atas apa-apa alasan lain sehingga luput waktunya, yakni beralih haul (tahun) dan ia wajib ditunaikan segera pada masa ini.

Hukum
Hukum mengqada’kan zakat adalah wajib dan berdosa jika sengaja diabaikan. Ini kerana, mereka yang sudah mencukupi semua syarat wajib zakat; tetapi dengan sengaja menangguhkan zakatnya adalah dianggap ceroboh. Hal ini dijelaskan oleh Imam Hambali dan Imam Syafie:

“Ketika penunaian zakat itu dapat dilakukan dengan segera, maka orang yang mengakhirkan penunaiannya dianggap ceroboh (kepada kewajipan berzakat), sehingga dia mesti bertanggung jawab terhadap pencerobohan yang dilakukan.”

Rujuk Al-Mughni, Jilid 2, halaman 686 dan Al-Majmu’, Jilid 5, halaman 302

Hikmah Menunaikan Qada’ Zakat
Menunaikan qada’ zakat dapat membersihkan harta yang masih bercampur-baur dengan harta zakat dan ini dapat menyuburkan harta. Dengan menunaikan qada’ zakat, maka hati akan menjadi tenang dan tenteram kerana hak yang menjadi milik orang lain sudah dikeluarkan daripada simpanan kita.

Dengan menunaikan qada’ zakat juga tidak membebankan waris yang ditinggalkan apabila berlaku kematian, memandangan harta yang belum dizakatkan menjadi satu kewajipan pula kepada waris untuk ditunaikan, mengelakkan waris memakan harta yang haram, iaitu apabila waris gagal mengenalpasti harta yang belum dizakatkan dan mereka membahagikannya pula sebagai pusaka. Ia juga menjadi jaminan mendapat pahala dan habuan syurga daripada Allah S.W.T serta menjauhkan diri daripada dosa kerana kelalaian diri sendiri di dunia.

Pembayaran Zakat
Qada’ zakat adalah berdasarkan kepada nisab pada haul yang terdahulu. Pembayaran qada’ zakat ini boleh dibuat secara ansuran atau mengikut kemampuan. Pembayaran zakat ini juga boleh dibuat sama ada dengan mengunjungi cawangan zakat di seluruh Selangor atau kaedah lain iaitu membuat pembayaran melalui potongan gaji, ejen bank, internet dan lain-lain kaedah yang disediakan oleh LZS.

Mudah-mudahan, Allah SWT menerima taubat dan menerima qada zakat yang dilakukan dan menyediakan keberkatan hidup bagi mereka yang mahu membetulkan kesilapan. Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *