RUMAH AMIR KINI BERSIH DALAM DAN DI LUAR

noormalaJejak Asnaf0 Comments

Melihat daripada pandangan luar, rumah Amir sempurna seperti rumah orang lain.  Tiada cacat celanya.  Cantik dan bersih.  Namun, apabila melangkah masuk ke dalam rumah Amir, barulah saya faham mengapa sahabat Operasi Agihan Daerah Gombak mengadakan aktiviti gotong-royong di rumah beliau ini.

Inilah kisah keperihatinan seorang amil.  Ianya bermula apabila mereka menyalurkan bantuan kepada Mohd Amir Atim, 35 tahun salah seorang penghuni di Perkampungan Orang Asli Gombak ini yang mengalami kemalangan sejak dua tahun lalu.  Beliau hidup sendiri.  Kakinya ada ceracak besi. Kakinya mengecut dan mengecil.  Rumahnya boleh dikatakan tidak terjaga dan kurang bersih.

Aktiviti gotong-royong hari ini 11 April dimulakan dengan memindahkan Amir ke rumah jirannya agar beliau tidak terganggu dengan habuk dan bunyi bising aktviti yang dilakukan.  Aktiviti disertai seramai lebih kurang sepuluh orang kakitangan Zakat Selangor kawasan Gombak dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk di situ.

Bersungguh-sungguh mereka membersihkan rumah Amir.  Tandas yang disaluti lumpur kuning, disembur dengan air dan diberus bersungguh-sungguh oleh mereka.  Ada juga beberapa kakitangan yang mengecat dinding, membersihkan cermin tingkap dan membersihkan bilik tidur Amir. Katil dan tilamnya sangat uzur.

Ketua Operasi Agihan Gombak, Ustaz Abdul Razak Razali yang mengetuai gotong-royong kali ini menyatakan kepentingan mendalamai kehidupan asnaf seperti mengadakan aktiviti seperti ini.  Kebersihan adalah syariat dalam Islam yang penting untuk kita beribadah.  Zakat bukan disalurkan daripada bentuk fizikal sahaja, malahan lebih dari itu.

Amir merupakan penerima bantuan kewangan dan makanan bulanan daripada Zakat Selangor.  Rumah yang beliau duduki juga adalah bantuan zakat. Sebelum ini beliau tinggal di sini bersama ibunya. Namun sejak dua tahun lalu beliau tinggal sendiri setelah ibunya meninggal dunia.  Saya melihat Amir seperti runsing, kesunyian dan tidak dapat menerima keadaannya.  Inilah kekangan hidup Amir yang perlu diberi perhatian.

Menurut Jamal Yusof, 57 Pengerusi Jawatan Kuasa Perwakilan Penduduk Kg ini pula, mereka terpanggil untuk membantu mengembalikan semangat Amir apabila ada pihak yang sama-sama ingin membangunkan penduduk di sini seperti Zakat Selangor.  Beliau dan penduduk kampung itu, akan terus menjaga kebajikan orang Islam di situ.  Namun harapannnya semua pihak haruslah turut bersama-sama menjayakan usaha ini.

Setelah hampir empat jam bertungkus-lumus membersihkan rumah Amir, akhirnya selesai dengan jayanya.  Jam 12.45 tengahari Pakcik Jamal mengantikan pintu rumah Amir yang telah rosak. Rakan-rakan yang lain mendamparkan tikar getah ke seluruh rumah Amir.  Langsir tingkap juga dipasang.

Rumah Amir, yang tadi ketika saya masuk kelihatan tidak bersih dan tidak selesa, kini bertukar ke rumah yang cantik, bersih  dan berseri.

Rakan-rakan mengangkat semula Amir masuk ke dalam rumah beliau.  Kelihatan seri di raut wajah Amir.  Amir kelihatan sangat gembira.  Apabila ditanya apakah perasaannya, “terima kasihlah, terima kasihlah Zakat Selangor dan abang Jamal”…itulah sahaja Amir luahkan.

Semoga usaha Zakat Selangor daerah Gombak dan penduduk setempat ini akan menjadi sebab untuk penduduk lain tersentuh dengan ahlak Islam dan menjadi asbab untuk mereka memeluk Islam. Semoga Amir akan lebih gembira dengan sedikit perubahan ini.  Jom, kita tunaikan zakat supaya lebih ramai asnaf dapat dibantu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *