SALAH KUTIP ZAKAT TANPA TAULIAH

noormalaTazkirah0 Comments

Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik seramai 2,569 penolong amil fitrah di seluruh Selangor sepanjang Ramadan 1437 Hijrah ini.

Pengurus Besar Pejabat Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, pentauliahan surat lantikan daripada LZS diberi selepas melalui beberapa prosedur dan etika ditetapkan.

“Mereka akan diberi taklimat terperinci dan dipilih melalui kariah masjid masing-masing serta melalui tapisan ketat oleh LZS sebelum dilantik.

“Pemilihan dibuat berdasarkan keupayaan dan kebolehan berkhidmat kerana bukan sembarangan individu yang boleh memikul tanggungjawab ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, orang ramai boleh mengenal pasti sama ada penolong amil zakat fitrah atau tidak dengan melihat surat lantikan tauliah yang dibawa bersama atau kad nama pengenalan diri mereka.

“Orang ramai ada hak untuk meminta individu yang mengutip zakat mengemukakan bukti pentauliahan. Jika masih ragu, boleh minta amil tersebut tunjukkan surat tauliah bagi memastikan semua maklumat terpapar benar.

“Boleh juga dapatkan nombor kad pengenalan dan nama penuh untuk rujukan LZS mengenai status kelayakan mereka,” katanya.

Beliau berkata, LZS telah mengeluarkan notis pemakluman Larangan Kutipan Zakat Tanpa Tauliah di Selangor sejak tahun lalu.

“Notis ini bertujuan memberikan kesedaran kepada orang awam untuk menunaikan zakat fitrah dan zakat harta hanya kepada LZS dan ejen yang dilantik.

“Senarai ejen boleh didapati di laman sesawang www.zakatselangor.com.my,” katanya.

Menurutnya, mana-mana individu yang memungut zakat harta dan fitrah tanpa dilantik sebagai amil atau diberi kuasa oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) adalah menjadi satu kesalahan.

“Kesalahan syariah berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (1995) itu jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sabirin berkata, tindakan segelintir masyarakat yang memilih untuk membayar zakat secara terus kepada individu tertentu tidak digalakkan kerana dikhuatiri berlaku ketidakadilan kepada golongan penerima yang selayaknya.

“Kalau bagi sendiri, anda cuma salurkan kepada satu atau dua golongan asnaf sahaja sedangkan ada lapan golongan selain fakir dan miskin seperti mualaf dan fisabilillah.

“Ramai yang hanya bagi kepada fakir dan miskin, pemberian tidak menyeluruh. Ia seperti tidak mengiktiraf hak dan keperluan asnaf yang lain,” katanya.

Selain itu katanya, tindakan tersebut dikhuatiri tidak melengkapkan perkara wajib.

“Kalau salah bagi kepada penerima yang tidak sepatutnya dan sebenarnya tidak termasuk dalam asnaf, ia boleh dikatakan sebagai sedekah, bukan zakat.

“Apabila jatuh hukum sebagai sedekah, ia dikategorikan sebagai sunat sedangkan perkara wajib masih belum disempurnakan lagi,” katanya.

“Menurutnya, ejen zakat fitrah adalah berbeza dengan ejen zakat harta yang berkhidmat sepanjang tahun.

“Ejen zakat harta lantikan LZS hanya boleh kutip zakat harta seperti zakat pendapatan, potongan gaji atau emas yang berkhidmat sepanjang tahun di seluruh Selangor.

“Penolong amil fitrah ini pula hanya dilantik pada Ramadan mengikut kariah dan kawasan khusus seperti pasar raya, pejabat dan pusat beli-belah serta hanya mengutip zakat fitrah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *