SAUDAGAR BARANG LUSUH

faisalIsu semasa

Apakah perasaan sepasang ibu dan ayah, tatkala anak-anak mendapat kelulusan yang baik dalam peperiksaan dan layak melanjutkan pendidikan; namun terbantut dek kekangan kewangan? Demikianlah kegetiran dalam membuat keputusan yang pernah dilalui oleh Abdul Rahman bin Abdul Razak, 56 dan isterinya, Norhayati Rosmah binti Harun, 47 sebelum ini, apabila kemiskinan menjadi batu penghalang buat mereka mencipta wawasan hari muka.

“Dua orang anak kami, seorang mendapat pangkat 3 Prinsipal dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan seorang lagi mendapat pangkat kepujian dalam Sijil Pelajaran Malaysia, terpaksa memendamkan hasrat menyambung pelajaran. Mereka sendiri yang menolak untuk ke universiti, atas alasan tidak mahu melihat kami susah menyara mereka lagi.” Demikianlah kisah yang diungkapkan Abdul Rahman.

“Bukan setakat itu sahaja, pernah anak lelaki kami yang kala itu bersekolah rendah, enggan ke sekolah. Apabila ditanya, dia memberitahu perihal diejek kawan-kawan, kerana saban hari berpakaian lusuh ke sekolah. Mujurlah dia minat sangat bidang mekanik dan sekarang dia belajar sendiri dan bekerja sendiri sebagai pomen.” Tambah Norhayati pula.

Pasangan beranak enam ini juga, pernah meniti susah payah kehidupan dan membina keluarga dengan menjadi penghuni setinggan.

“Kami pernah mendiami setinggan, iaitu di Kampung Temenggung, Gombak. Kala itu, rumah itu kami amat sederhana sekali. Suami saya hanya bermodalkan RM300, dan kawan-kawan datang menolong untuk membinanya. Tiada bekalan elektrik dan tiada bekalan air paip. Kami hidup berbekalkan air jernih dari kawasan bukit dan malamnya hanya cahaya lilin yang menerangi kami.” Tambah Norhayati lagi.

“Walau bagaimanapun, kehidupan kami yang beranak rapat ini masih mampu berjalan dengan agak baik. Ini kerana, suami saya tidak perlu memikirkan untuk membayar sewa rumah, membayar bil elektrik dan juga bil air. Kami hanya perlu memikirkan untuk mencari wang bagi menyediakan makanan dan pakaian sahaja.” Ujar Norhayati seterusnya.

Menurut Norhayati lagi, suaminya kala itu hanya bekerja sebagai penjual ayam di Pasar Borong Selayang. Gajinya yang bekerja dengan tokeh tidaklah sebesar mana, hanya sekadar cukup buat menyara keluarga.

“Puas bekerja dengan orang, saya pernah mencuba membuka kedai ayam sendiri, iaitu sekitar tahun 1990-an. Malangnya, perniagaan saya tidak begitu menjadi dan saya mendapat rugi.” Tambah Abdul Rahman lagi.

Awal tahun 2000, mereka mendapat tawaran perpindahan ke Flat Selayang Mulia, lantaran kawasan setinggan mereka akan diambil. Ini bermakna, mereka bakal mempunyai komitmen kewangan bulanan secara tetap yang sebelum ini tidak pernah pun termasuk dalam senarai perbelanjaan bulanan. Tiga beban baru sudah menanti, iaitu bayaran ansuran bulanan rumah, bayaran bil elektrik dan juga bayaran bil air.

“Gaji suami tidak menentu kala itu. Sebulan pendapatannya kurang daripada RM500 bahkan ada masanya, hanya mencecah RM300. Manakan untuk membeli makanan lagi, menjelaskan segala bil dan juga ansuran rumah, memang tidak cukup.

“Akibatnya, kami tidak mampu menjelaskan bayaran rumah. Walaupun hanya berjumlah RM290 sebulan; namun apabila berlaku tunggakan, ia menjadi begitu membebankan. Enam bulan tertunggak, jumlahnya sudah mencecah ribuan ringgit. Kala itulah, kami disarankan oleh kawan-kawan agar memohon bantuan zakat dari Lembaga Zakat Selangor (LZS).” Norhayati meneruskan kisah.

Rupa-rupanya, ada rahmat yang besar di sebalik perkenalan keluarga ini dengan LZS. Mereka bukan sahaja mulai disantuni bermula tahun 2008, bahkan pelbagai insentif disediakan untuk mereka menjana perubahan diri.

“LZS bantu kami, misalnya menyelesaikan tunggakan ansuran rumah. Selama enam bulan juga kami menerima bantuan kewangan bulanan. Bantuan-bantuan lain termasuklah persiapan menyambut raya dan juga pendidikan anak-anak.

“Apa yang kami tidak sangka, LZS turut meluluskan pembelian sebuah van terpakai dengan harga RM13,500. Dengan adanya van tersebut, maka dapatlah kami menjadikannya sebagai batu loncatan dalam kehidupan. Kami mencuba menjadi peniaga barangan lusuh. Kami cari dan beli barangan terpakai seperti akhbar lama, besi buruk, barangan plastik, baju-baju dan sebagainya lagi dan kami jual kepada kilang barangan lama.” Ujar Norhayati penuh semangat.

junk

barang-lusuh-3

“Alhamdulillah, van ini amat memberi makna kepada kami. Sejak adanya van, pendapatan kami mulai meningkat. Sehingga kini, kami mampu menjana pendapatan bersih kira-kira RM1,000 sebulan.” Ujar Abdul rahman pula.

Bagi pasangan ini, pengalaman silam yang begitu menjerakan dijadikan pedoman untuk menentukan hala tuju masa hadapan. Pernah dilabel dengan pelbagai label tidak menyenangkan, dipandang sebelah mata oleh orang-orang tertentu dan sebagainya, dijadikan kayu-kayu bakar buat membarakan lagi semangat perjuangan.

“Ustaz, jujurnya kami mulai merasa perubahan diri sedikit demi sedikit setelah dibantu oleh zakat. Benarlah, zakat memang menjadi senjata paling berkesan membantu orang-orang susah seperti kami. Kami rasa bersyukur sangat, sebab kewujudan LZS telah memberikan orang-orang seperti kami ini peluang untuk berjaya.

“Oleh itu, sempena bulan Syawal ini, kami ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pembayar zakat dan pegawai-pegawai zakat yang bertungkus lumus membantu kami selama ini. Mudah-mudahan, Allah SWT akan terus memberkati kehidupan kita semua, amin.” Ujar Abdul Rahman menamatkan perbualan.

Nota: Abdul Rahman dan Norhayati menjalankan perniagaan dengan mencari barangan lusuh di sekitar Gombak, Kuala Lumpur dan Rawang. Bagi sesiapa yang mahu menjual barangan lusuh dan terpakai kepada mereka, sila hubungi Abdul Rahman di talian 017-3883907.