Saya terharu dibantu zakat

faisalIsu semasa

Apakah perasaan anda jika anda telah berkorban segala kewangan dan keupayaan, memberikan masa dan tenaga semaksimumnya demi membina sebuah perniagaan, kemudian diri anda dipermainkan oleh seorang teman rapat yang selama ini anda anggap sebagai tempat bersandar, sebagai tulang belakang dan rakan hidup serta sahabat seperjuangan yang boleh diharapkan?

Setelah segala-galanya anda curahkan, akhirnya anda dibiarkan terkontang-kanting bersendirian tanpa sdikit pun rasa pertanggung jawaban. Jatuh-bangun dan sakit demam tidak diambil perduli lagi, semuanya ditanggung sendiri.

Demikianlah secebis kesakitan yang pernah dialami oleh Fatimah Suratin, 44 yang diwawancara dalam ruangan Jejak Asnaf pada kali ini. Berasal dari Sg. Besar, beliau dahulu merupakan wanita berkerjaya, berhenti kerja dan menerima wang pampasan yang banyak dan kemudiannya mengasaskan perniagaan restoran dan salun kecantikan.

Beliau optimis akan kejayaan hari muka namun disebabkan sikap lepas tangan orang yang boleh dianggap ‘kepercayaan’, perniagaannya tidak mendatangkan laba dan bantut di pertengahan.

“Jujurnya, saya dahulu adalah seorang pembayar zakat. Selepas berhenti kerja, saya menggunakan seluruh wang pampasan sebagai modal. Saya mempunyai dua buah salun kecantikan di Ampang dan sebuah restoran. Alhamdulillah, pada awalnya saya dapat merasai hasilnya dengan baik.

“Saya meyakini seorang ‘teman’ yang padanya saya banyak serahkan urusan kewangan. Tanpa sangka, dia bermain ‘kayu tiga’ dengan perniagaan saya. Modal habis, jualan pun laku tetapi untung tiada.

ba_02.1

“Setelah saya siasat, dia tidak jujur dengan saya. Maka, apa yang boleh saya lakukan? Nasi sudah menjadi bubur. Perniagaan saya sudah sukar diselamatkan, akhirnya saya tekad meninggalkan semua yang telah saya bangunkan dan kembali ke kampung halaman. Memang saya sayangkan perniagaan tetapi jika diri sudah hampir terkorban, apa lagi yang ada sebagai pilihan?”

Demikianlah Fatimah menyuguhkan kisah-kisah silam sebagai perkongsian.

“Keluarga di kampung khususnya emak saya memang terkejut dengan keputusan saya berkenaan. Apatah lagi, selama ini mereka tidak tahu pun tentang masalah diri dan keluarga serta perniagaan yang saya hadapi. Itulah orang tua-tua ada berkata, buaya yang ganas di dalam air pun, jika tidak kelihatan di permukaan, semunya akan kelihatan tenang.

“Saya pulang ke kampung bukan sendirian tetapi turut membawa bersama tiga orang anak sebagai teman. ‘Teman’ hidup saya entah ke mana, tinggal saya menjaga mereka. Tujuh tahun lamanya selepas itu, saya dibiarkan tanpa secarit pesanan atau noktah kepada perhubungan.”

Nampaknya, Fatimah juga telah menjadi senarai tambah kepada nasib kaum wanita yang tidak disantuni seadil dan sewajarnya oleh para pria yang sepatutnya menjadi pelindung wanita. Walhal Nabi Muhammad SAW pernah berpesan: “Suami yang terbaik itu ialah yang berlaku baik terhadap isterinya.” (hadis riwayat Imam Tirmizi)

Sepulangnya Fatimah ke kampung, dia tidak mempunyai pekerjaan bagi menyara kehidupannya. Namun, beliau bernasib baik kerana dapat menumpang di rumah emak dan pada masa yang sama, Fatimah diamanahkan oleh adik beradiknya yang lain untuk menjaga keadaan ibunya yang semakin tua.

“Semasa itu, abang saya memberikan sedikit wang belanja bulanan buat saya dan ibu. Dapatlah kami hidup, tidak mewah tetapi tidak pula melarat. Demi menambah kewangan diri sendiri, saya mengambil kesempatan membuat kuih pada musim-musim perayaan. Alhamdulillah, selalunya saya dapat untung yang agak besar juga.”

Fatimah-suratin

Pada tahun 2008, salah seorang anak Fatimah pulang ke rumah bersama beberapa helaian borang bantuan pendidikan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS). Tanpa duga, ia membuka lembaran baharu dalam kehidupan Fatimah.

“Anak saya meminta saya mengisi borang berkenaan. Alhamdulillah, itulah permulaan saya berkenalan dengan LZS. Selepas itu, saya terus dibanci oleh pihak LZS dan saya sekeluarga didapati layak menjadi asnaf untuk dibantu dengan lebih baik oleh LZS.

“Lalu, di samping bantuan pendidikan dan hari raya, saya turut memohon bantuan perniagaan daripada LZS. Matlamat saya, jika sebelum ini saya membuat kuih hanya untuk hari raya, tetapi dengan adanya mesin dan peralatan yang lebih baik, maka saya boleh membuat kuih berkenaan untuk jualan di bulan biasa pula.”

Maka, pada tahun 2012 LZS pun meluluskan modal berkenaan sebanyak RM11 ribu, iaitu RM9 ribu dalam bentuk peralatan dan bakinya dalam bentuk modal pusingan.

“Dengan adanya peralatan yang lebih baik kini, produk saya juga dapat dihasilkan dengan lebih banyak dan berkualiti. Cuma saya menghadapi sedikit masalah dalam memasarkan produk berkenaan. Saya amat berharap jika ada pihak di luar sana yang mahu memberikan idea dan bantuan, agar saya dapat meningkatkan kualiti pemasaran bagi produk saya berkenaan.

“Saya juga mengucapkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana melorongkan pihak LZS untuk membantu saya. Malah saya tidak lupa kepada semua pembayar zakat di negeri ini yang telah melunaskan kewajipan mereka, semoga keberkatan sentiasa memayungi diri mereka sekeluarga, di dunia dan akhirat.” Tuntas Fatimah menamatkan perbualan dengan sekuntum senyuman.

Nota: Fatimah Suratin menghasilkan produk seperti popiah mini, rempeyek, macer, jejari udang dan beliau boleh dihubungi di talian 017-8833290.

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat essaywritingplace Selangor (MAIS)