“Seribu simpati tidak akan mampu untuk mengubah nasib kami…”

noormalaJejak Asnaf3 Comments

Nama diberi Nurul Hidayah Bt Zainuddin. Saya anak bongsu daripada lima orang adik beradik. Berasal daripada Kuala Lumpur dan menetap di Selangor sejak berusia lapan tahun. Pada tahun 2015 saya berjaya menamatkan pengajian dengan pointer 3.28/4.0 dalam jurusan Diploma in Business Administration di UNISEL Shah Alam.

Saya mendapat tajaan belajar daripada Zakat Selangor adalah kerana ibu saya seorang asnaf miskin. Ibu seorang ibu tunggal. Ibu diceraikan ketika saya masih dalam kandungan.  Ibu ditinggalkan tanpa sebarang nafkah dan terpaksa membesarkan kami lima orang anak-anak yang sedang membesar seorang diri.

Kebetulan ketika itu, Zakat Selangor mengadakan program tajaan belajar bagi anak-anak asnaf untuk meneruskan pengajian, di situ saya memohon untuk tajaan bagi meneruskan pengajian selepas SPM.

Pada ketika itu, harapan ibu dan kakak-kakak sangat tinggi kepada saya kerana saya adalah harapan terakhir keluarga untuk mengubah nasib kami.

Memandangkan adik-beradik yang lain mungkin tidak mampu untuk meneruskan pengajian yang lebih tinggi kerana kesempitan wang, jadi ibu meletakkan harapan itu atas bahu saya.

Pernah satu ketika, saya hampir berputus asa untuk meneruskan pengajian dan ingin bekerja bagi membantu keluarga. Tetapi ibu dan kakak-kakak melarang kerana mereka ingin saya melanjutkan pelajaran bagi mengubah nasib kami sekeluarga.

Seribu simpati tidak akan mampu untuk mengubah nasib kami jika bukan kami sendiri yang berusaha. Sampai bila kami harus hidup atas belas kasihan orang? Daripada situ saya mendapat semangat dan teruskan juga pengajian hingga tamat.
Perjalanan saya di kampus sama seperti graduan yang lain. Saya bangun pagi, pergi ke kelas, makan, dan pulang ke hostel. Perbezaannya cuma saya hanya berbelanja sederhana dan sekadar mampu sahaja. Melihat kawan-kawan keluar makan, saya mampu telan air liur sahaja.

Rezeki Allah SWT mungkin saya dikatakan bertuah kerana selepas tamat belajar, saya diserap masuk ke dalam syarikat semasa saya jalani praktikal. Alhamdulillah dengan gaji yang boleh dikatakan agak tinggi sebagai seorang fresh-grad diploma walaupun pointer saya hanya cukup-cukup makan.

Selepas tamat pengajian, saya terus mendapat tawaran bekerja dan sampai sekarang saya masih bekerja di syarikat yang sama. Lama kelamaan, saya mendapat gaji berlipat kali ganda oleh syarikat ini hasil usaha selama ni.

Saya berjaya membeli sebuah kereta baru pada usia awal 21 dan deposit yang dikeluarkan adalah dengan hasil titik peluh saya sendiri dan juga sebuah kereta untuk kegunaan khas ibu saya.

Alhamdulillah saya berjaya membawa keluarga saya keluar daripada zaman kepahitan. Daripada sehelai sepinggang sekarang ibu bukan lagi seorang asnaf zakat dan Insya Allah dengan izinNya saya dalam perancangan untuk membuka perniagaan sendiri.

Semoga segala urusan dipermudahkan oleh Allah SWT. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Zakat Selangor kerana memberi peluang untuk saya meneruskan pengajian dan membantu kami sekeluarga.

Kepada pengeluar zakat, hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas jasa baik mereka. Saya sedar jika tanpa dorongan ibu, kakak-kakak dan Zakat Selangor sendiri, tidak mungkin saya akan jumpa jalan keluar daripada kesempitan dan tidak mungkin saya akan berada di mana saya berada sekarang.

Insyallah suatu hari nanti saya juga akan menjadi pengeluar zakat dan berharap untuk membantu mereka yang memerlukan seperti saya dan keluarga pada suatu masa dahulu.

3 Comments on ““Seribu simpati tidak akan mampu untuk mengubah nasib kami…””

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.