TABAH DEMI ANAK-ANAK

noormalaJejak Asnaf0 Comments

Oleh: Zaleha Hassan

Siapa sangka pada dasarnya air muka keluarga ini sentiasa kelihatan ceria, namun jauh di sudut hati kesedihan serta keperitan ditanggung tiada siapa yang tahu. Sherliza Zainal Abidin, 43, bekas pegawai perkhidmatan penumpang bagi Transit Aliran Ringan (LRT), beliau juga merupakan wanita yang pertama memandu pengangkutan tersebut.

Tahun 2014 merupakan detik pemulaan ujian yang ditempuhi apabila Sherliza disahkan mengalami cyst (ketumbuhan di bahagian dalam perut) yang perlu dibuang agar tidak menjejaskan kesihatanya. Tahun berikutnya, beliau menjalani pembedahan untuk membuang cyst, namun ujian Allah memang sukar diduga, sangkaannya segalanya telah selesai, kini beliau disahkan pula mengidap kanser ovari tahap tiga di mana sistem peranakan serta ovarinya terpaksa dibuang.

“Saya menghidap penyakit kencing manis, maka tempoh rawatan pembedahan mengabil masa selama enam bulan kerana jahitan pembedahan tersebut terbuka setelah saya jatuh ketika hendak ke bilik air.”

“Disebabkan masalah kesihatan saya dan keadaan anak kedua yang sakit, saya terpaksa berhenti kerja.  Suami, Ahmad Suhaimi Sujahaai, 43, telah banyak berkorban masa, tenaga serta wang ringgit untuk mengurus saya termasuk berulang-alik ke hospital.”

KEPERITAN HIDUP

Keperitan hidup semakin dirasai apabila sebulan kemudian, suaminya pula disahkan menghidap kanser hempedu tahap empat setelah mengalami sakit perut yang berlarutan. Selesai pembedahan yang dilakukan doktor mengesahkan bahawa, hempedunya mengeluarkan sejenis cecair dan ia telah menyerang organ-organ yang lain. Hatinya pula mula berparut dan tumbuh akar-akar halus dan jangkaan hayatnya adalah hanya selama tujuh bulan sahaja. Berita tersebut amat meruntun jiwanya terasa begitu malap masa depannya, bagaimana hendak menghadapi hari-hari yang mendatang kelak, jauh di lubuk hati Sherliza berdoa agar ia hanyalah andaian semata-mata dan Allah akan sentiasa bersama.

Disebabkan keenganan suaminya menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi, beliau perlu bergantung dengan ubat jenis morfin dan ketamine untuk menahan kesakitan dengan preskripsi doktor dari Institut Kanser Negara.  Setiap kali selepas makan ubat, suami akan mengalami halusinasi kesan dari ubat tersebut, namun beliau tidak pernah bertindak agresif.

“Saya sering memujuk suami agar bersabar dan kami sentiasa berusaha serta mencuba pelbagai kaedah rawatan termasuk secara tradisional, Alhamdullillah keadaannya semakin sihat, dan tempoh 7 bulan tersebut telah pun berlalu.”

Hasil perkahwinan Sherliza dan Ahmad Suhaimi dikurniakan tiga orang cahaya mata yang berusia antara 15 hingga 12 tahun, manakala anak kedua, Batrisyah Alma berusia 14 mempunyai masalah jantung sejak berusia 4 tahun dan telah selamat menjalani pembedahan.  Baru-baru ini, anak bongsunya Qistina Alma yang berusia 12 tahun pula disahkan menghidap penyakit kencing manis dan terpaksa mengambil suntikan insulin.

“Qistina baru darjah enam tetapi dia juga diduga sedemikian rupa, saya hampir berputus asa dengan keadaan ini, namun apa yang boleh lakukan selain berserah kepada Allah jua”.

“Keadaan ini sangat memberi kesan kepada keluarga, anak-anak kerap tidak hadir ke sekolah kerana perlu menjaga saya dan suami di hospital walaupun masih muda, mereka amat memahami keadaan kami dan mampu berdikari.”

KELANGSUNGAN HIDUP

“Saya dan suami tidak dapat menunaikan banyak permintaan anak-anak seperti mana ibu bapa yang lain, tiada apa boleh dilakukan dalam keadaan yang begini.”

Kesukaran dan keperitan hidup yang dialami kini, menyebabkan pasangan ini tidak dapat bekerja dan hanya bergantung dengan pendapatan daripada pencen ilat dan juga bantuan dari Lembaga Zakat Selangor yang berupa bantuan Kewangan bulanan, bantuan makanan, bantuan perubatan berkala, bantuan raya, bantuan persekolahan anak, bantuan hutang rumah yang tertunggak dan bantuan bil-bil utility. Kini dua orang anaknya telah dihantar ke Bait Al-Hasanah Zakat Selangor  (asrama anak asnaf fakir miskin) untuk meneruskan sesi persekolahannya.

“Harapan saya agar kami kembali sihat dan dapat bekerja semula,bersyukur rakan-rakan sekeliling sentiasa memberi sokongan kepada kami”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *