Dilema Zakat: Antara Agih Sendiri ataupun Melalui Institusi

faisalSoal Jawab Zakat2 Comments

Nota: Wawancara ini telah diadakan oleh penulis sendiri sebagai wakil tim majalah Asnaf bersama Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, yang semasa itu masih menjawat jawatan sebagai Pegawai Agama Istana Negara. Wawancara telah berlangsung santai namun amat bermakna di pejabat beliau di Istana Negara. Masa berlalu, namun isu yang diketengahkan masih relevan sehingga kini. Oleh itu, pihak LZS merasa perlu memaparkan kembali wawancara berkenaan untuk tatapan dan kebaikan bersama – Editor.

“Masyarakat sentiasa memantau setiap badan yang menguruskan zakat. Apabila kutipan zakat mencecah ratusan juta ringgit saban tahun; namun yang diagihkan kembali tidak pun sampai 50% dari kutipan, maka masyarakat akan bertanya…ke mana wang zakat mereka disalurkan? Sebab itulah, apabila badan zakat seperti LZS mampu membuktikan ketelusan dalam pengagihan wang zakat, maka masyarakat sangat yakin untuk terus berzakat kepada LZS.”

Demikianlah secebis dari sorotan pendapat yang dikemukakan oleh YBhg Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz, Pegawai Agama Istana Negara merangkap Penasihat Agama Kepada Yang DiPertuan Agong.

Pertemuan lewat 14 Ogos 2006 kelmarin berjalan lancar. Kesudian beliau menguntukkan masa yang begitu sibuk amat berbaloi. Bayangkan, dalam masa perbualan itu seringkali soalan dan hujahan beliau dipintas oleh panggilan demi panggilan telefon, namun beliau masih tersenyum memberikan komentar membina kepada kami. Ikuti temubual santai antara wartawan Asnaf di pejabat rasmi beliau di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Asnaf: Boleh Datuk terangkan konsep agihan zakat yang sebenar?

Datuk: Secara konseptualnya, agihan zakat itu mestilah sampai kepada asnafnya yang lapan. Maka, tidak timbul sama ada ia diagih sendiri mahu pun diagih menerusi badan-badan tertentu, asalkan sahaja zakat itu sampai kepada sasarannya maka ia dikira menepati konsep agihan zakat. Inilah yang wajar difahami oleh kita semua.

Asnaf: Bagaimana pula corak pengagihan zakat pada zaman Rasulullah SAW? Adakah pengagihan zakat secara personal menjadi amalan?

Datuk: Seingat saya, pada zaman nabi tidak pernah nabi mewajibkan para sahabat mahu pun seluruh umat Islam agar mengagihkan zakat menerusi Baitul Mal, yakni mesti melalui institusi zakat. Cuma apa yang ada, nabi sendiri melantik wakil di kalangan sahabat sebagai amil untuk menjalankan kerja mengutip zakat. Sebab itulah, jumhur ulama’ menyatakan, zakat wajar dibayar kepada amil yakni pengutip yang dilantik oleh pemerintah bahkan sehingga ke tahap ‘paksaan’ jika perlu. Jadi, oleh kerana tiada nas yang qatie bahawa zakat mesti diagih melalui sesuatu badan tertentu, maka ada yang berpendapat ia boleh dikeluarkan atau diagihkan sendiri. Cuma saya beranggapan, apabila Islam mempunyai sistem amil, maka pastilah ia bertujuan untuk memudahkan kita sebagai umat Islam untuk berzakat (mengeluar dan mengagihkan). Maka, janganlah sistem amil ini diabaikan pula. Jika semua orang mengambil pendekatan dengan mengeluarkan sendiri zakat, apa pula fungsinya amil?

Asnaf: Antara badan amil yang mengendalikan zakat dengan mengeluarkannya sendiri, ada yang memilih alternatif kedua dengan alasan ia lebih berkesan. Namun di sini pasti ada pro dan kontranya…apa pandangan Datuk?

Datuk: Ya! Pasti ada perbezaannya. Sebagai contoh, jika saya memiliki wang zakat RM1,000 dan saya mencari penerima zakat. Jika saya memberi si fakir itu RM1,000, ia mungkin bertahan hanya sehari atau seminggu. Maknanya, zakat saya tidak mampu mengatasi kefakiran dan kemiskinan orang itu. Sebaliknya, apabila wang zakat itu saya salurkan melalui sesuatu badan, maka badan itu akan memastikan fakir miskin berkenaan dibantu secara terus menerus melalui beberapa kaedah bantuan. Ia ibarat kita memberikan dia pancing agar dapat mencari ikan dan menjualnya pula sebagai sumber rezeki; bukan sekadar memberikan ikan dua kilo dan esok dia akan minta lagi.

Asnaf: Bagaimana pula dari aspek keadilan? Maksud saya, di dalam wang zakat kita itu terkumpul di sana lapan golongan yang berhak. Bukankah dengan mengagihkan sendiri zakat akan menyebabkan ada golongan yang berhak mungkin terabai?

Institusi mampu memberi sumbangan konsisten kepada asnaf untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Institusi mampu memberi sumbangan konsisten kepada asnaf untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Datuk: Ya, itu benar dan tepat sekali! Keadilan inilah sebenarnya yang menjadi asas dalam pengagihan. Tidak kira diagih sendiri mahu pun diagih oleh badan lain, ia mesti bersifat adil. Sebab itulah, jika ada orang yang mahu mengagih sendiri wang zakat mereka, maka harus dikenal pasti akan lapan golongan yang berhak ke atas wang zakat itu. Inilah persoalannya, mampukah mereka mencari lapan golongan berkenaan? Di mana nak dicari muallafnya, golongan gharimin mahu pun hamba. Maka, pasti sukar untuk kita mendekati ciri-ciri keadilan itu. Sebab itulah, apabila wang zakat disalurkan kepada badan khas seperti Lembaga Zakat, maka kewajipan itu sudah berpindah kepada pihak berkenaan untuk mencarinya pula. Kewajipan kita sebagai pembayar sudah tamat dan kita tidak perlu khuatir lagi akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Asnaf: Bolehkah kita beranggapan bahawa kutipan zakat di sesebuah negeri akan menurun apabila umat Islam di negeri berkenaan suka mengeluarkan yakni mengagihkan sendiri zakat mereka? Apa komen Datuk?

Datuk: Pada saya, punca penurunan kutipan zakat ada beberapa sebab. Boleh jadi jumlah pembayar tidak berkurangan tetapi nilai zakat menyusut. Boleh jadi paras nisab yang tinggi menyebabkan wang zakat makin mengecil. Begitu juga, boleh jadi seperti yang saudara sebutkan, punca penurunan adalah kerana masyarakat mengeluarkan sendiri zakat mereka.

Inilah yang saya sebutkan kepercayaan masyarakat kepada institusi zakat itu amat penting. Apabila sesuatu institusi zakat dapat menyerlahkan ketelusan dan kredibeliti mereka dalam mengutip dan mengagihkan zakat, maka masyarakat akan merasa puas hati. Mungkin orang yang mengeluarkan zakat sekadar seribu dua boleh berasa tidak apa bila mendengar institusi zakat itu tidak menghabiskan wang zakat yang dikutip; tapi bagi mereka yang berzakat ratusan ribu hingga jutaan ringgit pasti akan tertanya-tanya kenapa wang zakat itu tidak disalurkan sehingga habis, yakni secara berkesan. Jadi, apabila ada pertikaian pasti ada tindak balas. Itulah yang menyebabkan mereka enggan lagi menunaikan zakat kepada institusi berkenaan dan memilih untuk mengagihkan sendiri zakat berkenaan.

Asnaf: Adakah faktor-faktor lain yang menggalakkan pembayar zakat membayar zakat melalui institusi amil seperti LZS (MAIS) selain dari keberkesanan agihan?

Datuk: Ada, iaitu keistimewaan yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam mengurangkan cukai pendapatan mereka. Saya sendiri melihat, apabila rebet diberikan kepada umat Islam yang berzakat, maka ia perlu direbut. Apatah lagi, wang yang dizakatkan itu sudah terjamin seratus peratus akan disalurkan kepada keperluan umat Islam. Sedangkan cukai akan disalurkan ke dalam akaun perbendaharaan negara dan penggunaannya tidaklah semestinya kepada umat Islam. Ini adalah alasan yang cukup kuat bagi umat Islam untuk berzakat, di samping mendapat rebet cukai mereka juga mendapat manfaat berzakat, iaitu pahala dan kewajipan terlaksana.

Asnaf: Datuk banyak terlibat di dalam jawatankuasa di peringkat negeri dan negara sebagai ahli bagi memutuskan penyaluran wang zakat. Boleh Datuk gambarkan sedikit tentang konsep agihan zakat terkini berbanding zaman silam?

Datuk: Satu perkara yang perlu diingat bahawa zaman sudah berubah. Zaman dahulu apabila nabi mengambil unta sebagai zakat, maka nabi akan menyerahkan unta itu sebagai agihan kepada asnaf zakat. Zaman sudah jauh berubah, maka kini kita sudah menterjemahkan agihan zakat secara lebih praktikal sesuai dengan keadaan dan keperluan. Kini, kita menggunakan mata wang dalam agihan zakat. Sebab itulah, badan-badan yang menguruskan zakat, mereka mengagihkan zakat secara ‘indirect’. Mereka tidak beri ikan; tapi mereka beri pancing. Mereka salurkan wang zakat dalam bentuk modal bagi menambahkan kemajuan penerima zakat.

Dari satu aspek lain, saya sendiri pernah melihat golongan fakir miskin ini gagal mengendalikan wang zakat apabila diberi sekaligus dalam jumlah yang begitu besar, RM3,000 misalnya. Ada yang dapat hari ini, terus ‘ber-shopping’ sakan hingga tak sampai seminggu duit sudah habis. Matlamat membantu mereka akan menjadi sia-sia. Jadi, peranan badan zakatlah untuk memastikan wang zakat itu dapat dijana dengan baik dan tidak habis begitu sahaja.

Di sini, saya melihat peranan badan zakat adalah untuk memastikan wang zakat sampai kepada sasaran dengan saksama dan adil. Kesaksamaan dan keadilan inilah yang perlu dilaksanakan oleh badan-badan zakat di negara kita.

Asnaf: Mungkin Datuk boleh berikan sedikit penjelasan, kononnya hari ini ada orang Islam yang enggan berzakat kerana mereka mempunyai ideologi yang berbeza dengan pihak kerajaan yang memerintah?

Datuk: Oh…itu satu salah faham. Kita hendaklah ingat bahawa kita membayar zakat bukan kepada kerajaan, itu salah. Ini kerana, pentadbiran agama Islam berada di bawah kuasa Tuanku Sultan, mengikut negeri masing-masing. Apabila kita mengeluarkan zakat, maka ia akan dikumpulkan di bawah satu badan sama ada Baitul Mal atau badan zakat yang mempunyai mekanisme pengagihan sendiri. Jawatankuasa Syariah atau Majlis Fatwa negeri adalah badan yang bertanggungjawab memastikan penyaluran wang zakat benar-benar menepati syariah.

Jawatankuasa Syariah atau Majlis Fatwa berhak menolak sebarang permohonan penggunaan wang zakat yang tidak menepati syariat. Maka, di sinilah letaknya perbezaan antara kerajaan dan pihak pentadbiran agama. Kerajaan menggunakan dana yang berbeza untuk pembangunan negara, iaitu dari Perbendaharaan Negara sedangkan wang zakat digunakan khusus untuk umat Islam dan itu pun tertakluk kepada lapan asnaf yang telah jelas disebut dalam Al-Quran. Maka, tidak berbangkit isu penyalahgunaan wang zakat di sini.

Asnaf: Namun, mungkin ada yang masih ragu-ragu….apakah caranya untuk meyakinkan mereka Datuk?

Datuk: Di sini, pihak badan zakat kenalah bijaksana. Saluran yang pelbagai perlu dimanfaatkan untuk memberitahu kepada masyarakat tentang penggunaan dan penyaluran wang zakat. Media massa perlu dijadikan saluran optimum, jangan hanya membuat sidang media hujung tahun hanya untuk memberitahu sebanyak mana wang zakat dapat dikumpulkan. Sepatutnya, sidang media juga kena dibuat untuk menjelaskan sebanyak mana wang zakat yang telah diagihkan, kepada siapa dan bagaimana corak pengagihannya. Apabila masyarakat dapat menyaksikan sendiri ketelusan ini, maka dengan sendirinya akan lahir keyakinan dan menarik mereka untuk terus istiqamah dan setia berzakat.

Asnaf: Akhirnya Datuk, apakah pesanan dan harapan kepada kami di Lembaga Zakat Selangor dalam menguruskan pengagihan zakat ini?

Datuk: Pertamanya, saya menyeru agar Lembaga Zakat Selangor menggunakan pelbagai cara untuk menarik masyarakat membayar zakat. Saya yakin, masih ramai yang tidak memahami kaedah zakat sebenar hingga menyebabkan mereka merasa tidak bersalah apabila tidak berzakat.

Keduanya, zakat adalah amanah. Oleh itu, apabila Lembaga Zakat Selangor diamanahkan mengelola zakat khususnya dalam agihan, jangan sekali-kali berkhianat dengan amanah Allah ini. Jangan jadikan zakat sebagai alat untuk kepentingan diri sendiri, jangan salah guna wang zakat. Ia bukan sekadar berdosa bahkan menghilangkan keyakinan masyarakat.

Ketiga, dalam setiap tindakan melibatkan wang zakat maka utamakan keputusan Jawatankuasa Syariah atau Majlis Fatwa. Jangan belakangkan mereka. Jika boleh, aktifkan Majlis Fatwa sehingga jika boleh biar bersidang dua kali sebulan pun tidak apa, asalkan banyak isu berbangkit mengenai wang zakat dapat diselesaikan.

Insya-Allah, apabila ketiga-tiga perkara ini dapat diintergrasikan dalam amalan zakat di negara ini, ia akan menimbulkan keberkatan dan meninggikan lagi martabat zakat di mata khalayak umum, percayalah!

2 Comments on “Dilema Zakat: Antara Agih Sendiri ataupun Melalui Institusi”

  1. Assalammualaikum, bolehkah sy memberi zakat simpanan kepada abang kandung sy sendiri memandangkan abg kandung sy kehidupannya sangat susah..sehinggakan tidak mampu membayar hutang rumah . Abang sy mempunyai isteri yg tidak bekerja, dan 4 orang anak yang masih kecil.Abg sy bekerja sendiri.

    Kiraan zakat simpanan yang perlu saya bayar adalah sebanyak RM500 sahaja, Bolekah sy memberikan kesemua wang zakat sy kepada abang sahaja. Terima kasih.

    1. Waalaikumussalam Norhayati, menunaikan zakat lebih elok kepada institusi yang dilantik oleh pemerintah. Walaubagaimanapun saudari boleh juga laporkan berkaitan abang saudari untuk Zakat Selangor bantu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *