TERIMA RM16,200-SANGAT ‘SENTIMENTAL’ BUAT AZIRA

noormalaIsu semasa0 Comments

Oleh: Khairul Izwan Bakeri

Perjalanan dari ibu pejabat Lembaga Zakat Selangor ke Banting mengambil masa kira-kira 45 minit telah menemukan penulis dengan Azira Hussin, 39 tahun. Seorang ibu tunggal berstatus asnaf fakir yang dicadangkan oleh pegawai Zakat Selangor daerah Kuala Langat.

Sewaktu menghampiri rumahnya, keadaan sekeliling sunyi sepi seolah tidak berpenghuni. Beberapa ketika salam diberi, barulah ada suara yang menyahut. Muncul seorang wanita di sebalik  pintu rumah menyambut kedatangan kami. Riak wajahnya tampak tenang, namun jauh di lubuk hati tersimpan rindu yang tidak ada kesudahannya.

Tatkala menyusun bicara, air mata mula bergenang di tubir matanya. “Saya sebolehnya tidak mahu mengingat kisah lama.Tiap kali teringat kisah itu, hati ini bagai direntap-rentap.”

Bagi Azira, tahun 2013 merupakan tragedi paling hitam dalam hidupnya. Dalam sekelip mata Azira kehilangan dua insan tersayang. Arwah suami meninggal ketika sedang melakukan pendawaian elektrik kipas syiling. Paling menyayat hati, anak bongsunya yang tatkala itu berusia tiga bulan turut maut dalam dakapan suami.

“Ketika itu arwah suami baru pulang selepas menghantar anak ke sekolah. Saya pada waktu itu, seperti biasa menyudahkan rutin kerja harian di bahagian belakang rumah.  Sedang leka menyiapkan kerja rumah, tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti benda jatuh di hadapan rumah. Dek kerana tidak sedap hati, saya meluru ke hadapan untuk meninjau apa yang berlaku,” ceritanya menahan sebak mengingatkan tragedi yang berlaku dahulu.

Alangkah terkejutnya Azira apabila melihat suami tercinta sedang kaku keras di atas lantai sambil mendakap anak kecilnya. Ketika itu, tangan suaminya masih memegang kipas yang sedang dibaiki. Pandangannya terus menjadi kelam. Dalam keadaan panik itu, Azira cuba mendapatkan pertolongan daripada jiran sekeliling, namun gagal kerana jarak rumah yang agak jauh.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, Azira teringatkan teman baiknya. Lantas, beliau terus menghubungi temannya itu untuk mendapatkan bantuan. “Alhamdulillah, Allah bantu mempermudahkan urusan saya.”

Pemergian suaminya itu, banyak meninggalkan kesan kepada Azira yang ketika itu seorang suri rumah sepenuh masa. “Bila arwah tiada ini, akaklah yang kena menyara keluarga. Apatah lagi akak masih ada tiga orang anak yang masih bersekolah. Memang perit, tetapi apakan daya.”

Demi meneruskan ikhtiar hidup, Azira terpaksa bekerja sebagai tukang cuci di Sekolah Kebangsaan Sungai Buaya, Banting dengan pendapatan RM800 sebulan. Cukuplah untuk mengisi perutnya dan tiga anak lagi. Lebih-lebih lagi, anak-anaknya amat memahami dengan situasi hidup yang sedang ditempuh sekarang.

Tidak mempunyai pendapatan lain selain yang diterima bulanan, melayakkan keluarga Azira didaftarkan sebagai asnaf fakir Zakat Selangor daerah Kuala Langat. Antara bantuan yang diterima termasuklah bantuan Hari Raya sebanyak RM750, bantuan kewangan bulanan sebanyak RM250 dan bantuan makanan bulanan. Selain itu anak-anak Azira turut disantuni dengan bantuan pendidikan dan pengangkutan sekolah dari Zakat Selangor. Manakala, bantuan baik pulih rumah sebanyak RM16,200 turut disalurkan. Bantuan ini sangat ‘sentimental’ buat Azira kerana rumah itu adalah hasil berdikit kerja tukangan arwah suami.

“Sebenarnya sewaktu arwah meninggal dahulu, kami dalam proses menyudahkan pembinaan rumah. Kami buat sikit-sikit. Ada duit, baru tambah binaannya. Malah, arwah meninggal dulu pun di rumah yang separuh siap ini. Bila arwah meninggal, pembinaan rumah itu tertangguh. Namun Zakat Selangor nampak keperluan untuk selesaikan binaan rumah tersebut memandangkan itulah tempat kami empat beranak berteduh,” ceritanya menahan sebak di dada.

Melihat Azira, terukir di wajahnya ketabahan dan kekuatan membesarkan anak-anaknya seorang diri. Ditanya mengenai bantuan zakat, “Akak rasa bersyukur sangat apabila menerima bantuan dari Zakat Selangor. Rasa ringan sikit bebanan bila ada bantuan zakat ini. Terima kasih banyak-banyak kepada pengeluar zakat yang membantu saya.”

Menitipkan pesanan akhir arwah suaminya, Azira berkata, “Arwah suami ada pesan, janganlah meminta-minta pada orang. Usaha untuk dapatkan hasil. Pada saya, cukuplah apa yang Zakat Selangor berikan ini. insya-Allah, yang lain kami anak-beranak akan usaha untuk mendapatkannya.”

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *