TIPS SEMPURNAKAH IBADAH KITA

noormalaPerspektif0 Comments

Zakat merupakan ibadah ke atas harta (ibadah maliah) berbentuk kemasyarakatan (ijtimai’yah) yang menjadi tuntutan kepada setiap muslim yang layak. Kewajipan mengeluarkan zakat tidak terhad kepada zakat fitrah pada bulan Ramadan sahaja, tetapi terdapat satu lagi zakat yang sangat penting untuk dilaksanakan iaitu zakat harta.

Oleh kerana zakat merupakan satu ibadah, maka ia mesti dilaksanakan mengikut etika yang ditetapkan oleh syarak bagi memastikan kesempurnaannya.

  1. Mengeluarkan Zakat Ikhlas Kerana Allah SWT
  • Ibadah hanya kerana Allah dan bukannya yang lain.
  • Berniat cukup dengan lintasan hati seperti, “Saya dengan ini mengeluarkan zakat yang difardukan kepada saya kerana Allah SWT”, tanpa perlu dizahirkan atau akad. Namun amil dituntut berdoa untuk pengeluar zakat sebagai mana maksud firman Allah SWT, “…dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doamu itu (menjadi) ketenangan bagi mereka.” (at-Taubah: 103).
  1. Zakat Dikeluarkan Kepada Pemerintah (Ulul Amri)
  • Tuntutan mengeluarkan zakat kepada pemerintah (ulul amri) adalah jelas melalui firman Allah SWT yang bermaksud,“Ambillah zakat dari harta mereka untuk memberikan dan menyucikan mereka…” (At-Taubah: 103). Perkataan “ambillah” bermaksud perintah kepada Rasulullah SAW untuk mengambil zakat daripada umat Islam.
  • Selain itu Rasulullah SAW turut menegaskan kepada umat Islam mengeluarkan zakat kepada para amil yang dilantik sebagai mana hadis yang bermaksud, “Apabila amil zakat mendatangimu untuk mengumpulkan zakat daripadamu, maka hendaklah dia pulang kembali dengan rasa puas terhadapmu”(Riwayat Muslim).
  • Lantaran itu, jumhur ulama memutuskan bahawa zakat perlu dilunaskan kepada pemerintah. Bagi memastikan zakat yang dilunaskan adalah sah dan sempurna, lunaskan zakat kepada institusi zakat negeri-negeri dan para amil/ejen lantikan yang sah oleh institusi zakat sahaja.
  1. Menyegerakan Pengeluaran Zakat
  • Tidak boleh melewat-lewatkan zakat dengan sengaja. Keutamaan menyegerakan perkara yang dituntut ini dijelaskan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Berlumba-lumbalah kamu untuk (mendapatkan) keampunan dari Allah dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasul-Nya” (al-Hadid: 21).
  • Segera mengeluarkan zakat tanda kesediaan diri menjunjung perintah Allah SWT dan bagi melihat kegembiraan kepada para penerima.
  • Mempercepatkan pengeluaran zakat diharuskan kerana Rasulullah SAW pernah mengambil zakat dari Abbas r.a setahun kehadapan sebagai mana hadis yang yang bermaksud, “Saya (Rasulullah SAW) telah menerima zakat dari Abbas tahun lepas untuk pembayran zakat tahun ini” (Riwayat At-Tarmizi).
  1. Tidak Mengungkit Zakat
  • Pengeluar zakat dilarang mengungkit zakat yang dikeluarkan dengan menyebutnya di merata-rata tempat terutama kepada para penerima zakat. Ini dikhuatiri boleh mengecilkan hati para penerima zakat yang susah dan daif. Allah SWT melarang perbuatan ini melalui firman-Nya yang bermaksud, “Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan mengungkit-ungkit dan (kelakuan yang) menyakiti (penerima)…” (al-Baqarah: 264).
  • Tidak boleh meminta semula pengeluaran zakat kerana ia dicela oleh Islam sebagaimana Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Perumpamaan orang yang meminta kembali apa yang diberikan adalah seperti anjing yang muntah kemudian memakannya kembali. Apabila seorang pemberi meminta kembali pemberiannya, maka hendaklah diperiksa dan diteliti apa yang diminta itu kembali lalu diberikan kepadanya.” (Riwayat Muslim).

Ibadah zakat perlu dilunaskan dengan tulus kerana Allah SWT atas rasa kasih dan sayang seorang hamba kepada pencipta-Nya. Penunaikan ibadah yang sempurna adalah tiket menuju kasih sayang Allah SWT. Kasih sayang Allah SWT adalah kasih yang mutlak yang perlu didamba oleh setiap hamba.

Tunai zakat di https://fpx.zakatselangor.com.my/ atau hubungi 1300884343.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *