TUNAI ZAKAT, CUKAI DIKURANGKAN

noormalaIsu semasa0 Comments

Tidak banyak negara di dunia ini yang memberikan kelonggaran kepada umat Islam dalam bab cukai. Di Malaysia, undang-undang negara ini menerusi Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3) memberikan keistimewaan kepada orang Islam. Akta berkenaan menyatakan:

“Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebaran bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis.”

Rebat secara umumnya bermakna, jumlah cukai yang dapat dikurangkan dengan pembayaran zakat. Semakin banyak berzakat, semakin sedikit cukai dibayar. Jika amaun zakatnya menyamai atau melebihi cukai, maka seseorang itu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatannya.

Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumi akan hal ini. Maka, rebat akan diberikan oleh LHDN berdasarkan tarikh resit zakat yang dibayar di dalam tahun taksiran cukai pendapatan (tahun semasa). Ia bermakna, jika seseorang itu membayar zakat pada tahun taksiran 2010, maknanya rebat akan diberikan pada tahun berkenaan sahaja.

Disamping itu, menurut ACP 1967, Seksyen 6A (3) di atas, tidak dinyatakan jumlah amaun tertentu atau batas amaun dalam rebat ke atas cukai. Ini bermakna, selagi mana pembayaran itu dibuat atas nama pembayaran yang wajib disisi agama – dalam konteks ini ialah zakat – maka ia masih dikira sah untuk memperolehi rebat ke atas cukai berkenaan.

Walau bagaimanapun, timbul isu apabila seseorang memberikan zakat dalam amaun yang besar berbanding pendapatannya. Harus diingat, kadar zakat hanyalah dalam batas 2.5 peratus sahaja, maka seandainya seseorang itu memberikan jumlah zakat yang lebih besar, maka akan timbul pertanyaan di pihak LHDN, adakah sebenarnya pendapatan seseorang itu adalah lebih besar berbanding apa yang diisytiharkan di dalam borang taksiran cukai (BE).

Maka, di sini pihak pembayar zakat sewajarnya bijak menggunakan keluwesan akta yang meletakkan ‘bayaran wajib’ bagi menunaikan lain-lain zakat dan tidak semestinya hanya terbatas kepada zakat pendapatan sahaja. Mereka boleh misalnya menunaikan zakat emas, zakat saham, zakat wang simpanan, KWSP hatta qada zakat terdahulu ke dalam bayaran zakat menerusi ‘potongan zakat pendapatan’ semasa dan ini semua adalah bayaran wajib yang melayakkan mereka untuk memperolehi rebat ke atas cukai pendapatan mereka.

Setiap orang yang sudah menunaikan zakat, hendaklah menyimpan dengan baik dan selamat segala bukti pembayaran zakat, sama ada resit bayaran zakat fitrah mahu pun penyata zakat tahunan. Ini adalah bukti yang wajib dikemukan kepada pihak LHDN kelak, apabila diminta berbuat demikian. Kegagalan berbuat demikian boleh menimbulkan masalah kerana deklarasi yang dibuat tidak dapat dibuktikan. Walau bagaimanapun, di Selangor, pembayar zakat tidak perlu lagi risau kerana apabila mereka mendaftar di ezakatonline, maklumat penyata tersebut boleh disemak dan dicetak sendiri.

Oleh itu, umat Islam di Malaysia hendaklah mengambil peluang yang terbuka ini seluas-luasnya bagi melunaskan zakat ke atas harta mereka. Pengalaman penulis sewaktu berkunjung ke negara jiran tidak berapa lama dahulu dan berkongsi informasi zakat ini, menyebabkan mereka amat teruja dengan kelebihan yang ada di negara kita. Ini kerana, ia tiada di negara mereka, sehingga menyebabkan setiap orang Islam terpaksa melaksanakan kewajipan zakat dan selepas itu kewajipan cukai.

Firman Allah: “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu,” (al-Baqarah: 185). Wallahua’lam.

Contoh rebat ke atas cukai pendapatan Encik X pada tahun 2010:

Cukai patut dibayar                    RM5,000
Zakat pendapatan                       RM1,200
Zakat wang simpanan                RM1,800
Qada Zakat                                    RM1,000
Baki cukai perlu dibayar            RM1,000

Sekarang, mari kita lihat pula apakah kesan pelarasan zakat dan cukai, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam Potongan Cukai Berjadual (PCB). Mengikut Warta Kerajaan bertarikh 1 Januari 2001 berkenaan dengan kaedah-kaedah Cukai Pendapatan (Potongan Daripada Saraan) (Pindaan) 2000 dan berkuatkuasa mulai Januari 2001, apabila seseorang pekerja telah membuat bayaran zakat kepada pihak berkuasa zakat, maka majikan boleh membuat penyesuaian (pelarasan) kepada PCB yang harus dipotong setelah melihat bukti tentang bayaran zakat tersebut. Keputusan ini memberikan implikasi yang sangat besar kepada amalan zakat di Malaysia kerana setiap orang Islam yang menunaikan zakat khususnya menerusi Skim Potongan Gaji (SPG) dan mereka juga dikenakan PCB, maka mereka berhak mendapatkan pelarasan ini secara automatik.

Contoh 1: Kesan pelarasan PCB – Zakat (SPG) Encik Y bagi Januari 2009

PCB bagi Januari 2009                    RM100
SPG bagi Januari 2009                    RM70
Baki PCB yang perlu dipotong       RM30

Contoh 2: Kesan pelarasan PCB – Zakat (SPG) Encik Z bagi Februari 2009

PCB bagi Januari 2009                    RM55
SPG bagi Januari 2009                    RM60
Baki PCB yang perlu dipotong       RM00

Apa yang lebih menarik, dalam kes Contoh 2 di atas, lebihan zakat (SPG) sebanya RM5 berhak dibawa ke bulan hadapan. Walau bagaimanapun, pelarasan sedemikian hanyalah tertakluk kepada tahun semasa sahaja, yakni tidak boleh dibawa sehingga melewati ke tahun berikutnya.

Dalam kes pelarasan di antara SPG dan PCB ini, para pekerja muslim berhak memohon pelarasan agar dilakukan oleh pihak majikan mereka, sama ada majikan awam ataupun swasta. Namun begitu, ia masih tertakluk kepada kesediaan majikan itu sendiri. Perlaksanaan pelarasan ini juga amat memudahkan mereka kerana tidak lagi perlu menunggu sehingga ke tahun berikutnya bagi memperolehi pelarasan di antara cukai dan zakat daripada pihak LHDN.

Kesimpulannya, pindaan pelarasan di atas hakikatnya adalah satu rahmat kepada orang Islam khususnya mereka yang memang terlibat dengan cukai pendapatan. Ini kerana, ia memberikan lebih keluwesan kepada umat Islam dalam mematuhi peraturan agama Islam iaitu berzakat. Apa yang lebih penting, pematuhan syariat Allah s.w.t akan terlaksana tanpa perlu menidakkan undang-undang negara. Inilah namanya, syariat Allah dijunjung, undang-undang negara dikelek, sama-sama beroleh untung demi menjadi warganegara yang baik. Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *