USAHA SANTUNI ASNAF ZAKAT

noormalaJejak Asnaf, Soal Jawab Zakat0 Comments

LZS bangunkan prinsip agihan zakat berlandaskan Maqasid Syariah

 

Pelbagai usaha Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam memberi kefahaman mengenai pengurusan agihan zakat berlandaskan prinsip Maqasid Syariah. Ikuti wawancara Sinar Harian bersama Ketua Divisyen Dakwah dan Syariah LZS, Dr Adibah Abdul Wahab berhubung pengurusan agihan zakat di Selangor.

Boleh jelaskan mengenai tujuan LZS membangunkan prinsip agihan zakat berdasarkan kepada prinsip Maqasid Syariah?

LZS selaku institusi yang diberi amanah bagi menguruskan zakat di Selangor menjalankan kajian bagi mencari kaedah terbaik dalam memberikan keutamaan untuk menyantuni asnaf zakat.

Ini adalah lanjutan daripada LZS yang kini menghadapi pelbagai cabaran dalam memenuhi keperluan agihan zakat terhadap asnaf demi membangunkan dan memajukan ummah di Selangor.

Cabaran utama yang sedang dihadapi adalah LZS kini menjadi tumpuan masyarakat yang mendorong kepada peningkatan permohonan yang berlipat ganda.

Oleh itu, LZS perlu menyusun bantuan diberikan mengikut keutamaan supaya agihan zakat dilaksanakan selaras dengan tuntutan syarak.

Boleh jelaskan prinsip Maqasid Syariah dalam konteks pengurusan agihan zakat?

Mengikut ajaran Islam, kehidupan manusia memerlukan lima perkara asas yang disebut sebagai Maqasid Syariah. Ia terdiri daripada agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Prinsip Maqasid Syariah menuntut kita melihat kepada matlamat yang dipenuhi seseorang individu. Matlamat tersebut mestilah memenuhi lima keperluan yang digariskan iaitu memelihara dan menjaga kesucian agama, menjamin keselamatan nyawa, menjamin kemuliaan akal dan fikiran, menjamin kehormatan dan maruah diri dan menjamin kekayaan harta.

Kelima-lima prinsip ini merupakan keperluan yang perlu dipenuhi setiap individu bagi memastikan mereka membentuk ahli masyarakat yang berpandukan kepada prinsip syariat Islam.

Maka di sini terdapat kewajaran dalam agihan zakat, segala bantuan yang disediakan kepada asnaf mestilah disusun keutamaanya berdasarkan kepada prinsip tersebut.

Bagaimana sebenarnya turutan keutamaan bantuan zakat menurut prinsip Maqasid Syariah?

Maqasid Syariah mempunyai kepentingan yang tersendiri dalam mengukur dan mempertimbangkan sesuatu perkara.

Pertimbangan yang menjadi kayu pengukur ini semestinya berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah yang menjadi asas sebelum pendekatan teori maslahah digunakan. Ini untuk memastikan piawaian yang dilakukan masih dalam kerangka syariat.

Turutan bantuan zakat disusun mengikut tiga kategori keperluan yang digariskan syarak iaitu al-daruriyyat, al-hajiyat dan al-tahsiniyat.

Jesteru, kaedah pembahagian keutamaan jenis bantuan zakat adalah menepati kaedah hokum Syara’ yang digariskan dalam Islam demi memelihara maslahat dan keperluan asnaf zakat secara khusus.

Adakah terdapat institusi lain yang membuat seumpama ini?

Saya hanya boleh berikan jawapan dalam konteks institusi zakat, di mana kami dapati prinsip seumpama ini pertama kali dilaksanakan dan ia merupakan inovasi LZS dalam menyantuni asnaf zakat.

Boleh jelaskan dengan lebih lanjut.

Secara ringkasnya senarai bantuan zakat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu:

Keperluan daruriyyat  (bahan utama)

Keperluan yang sangat diperlukan manusia dan ketiadaannya akan menyebabkan kerosakan dan kepincangan dalam kehidupannya. Contoh: bantuan kewangan dan makanan bulanan, bantuan rumah sewa

Keperluan hajiyat (bantuan sekunder)

Keperluan sekiranya tiada, manusia masih boleh meneruskan kehidupan. Tetapi akan menyebabkan kesukaran dan kepayahan. Contoh: bantuan bina rumah

Keperluan tahsiniyat (bantuan pilihan)

Keperluan yang dapat menghiasi dan menyempurnakan kehidupan manusia dan ketiadaannya tidak menyebabkan kesusahan dan kepayahan. Contoh: bantuan modal, pembinaan institusi agama.

Apakah saranan kepada masyarakat dalam konteks memahami usaha LZS dalam menyantuni asnaf?

LZS bukan sahaja bertanggungjawab terhadap ‘stakeholder’ di dunia iaitu orang awam dan pengeluar zakat tetapi dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT.

Ini satu kerja berat dan kami akan pastikan amalan dibuat menepati syariat. Dalam menghadapi senario mencabar dengan penambahan bilangan permohonan zakat, LZS perlu mendahulukan asnaf yang lebih utama iaitu asnaf fakir dan miskin.

Tetapi perlu diingat, bantuan zakat bersifat sementara. Ini bermakna anda perlu menanam azam, iltizam dan usaha untuk berdikari supaya bantuan zakat dapat diberikan peluang kepada orang lain yang dalam kesusahan pula.

Para anggota masyarakat perlu berganding bahu dengan LZS untuk bersama membangunkan asnaf zakat supaya mereka mempunyai daya juang yang tinggi untuk bangkit dari kemelut kemiskinan dan bukannya berasa selesa dengan menerima bantuan.

Di Selangor kini ada institusi zakat yang memberi kemudahan kepada orang ramai.

Jika LZS tidak berperanan, mana mungkin sebanyak lebih 45,000 keluarga asnaf fakir dan miskin disantuni dengan jumlah bantuan sebanyak RM676.0 juta diagihkan pada 2015 dengan hampir RM299.7 juta untuk asnaf fakir dan miskin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *