VIRAL NEGATIF ZAKAT

noormalaJejak Asnaf, Soal Jawab Zakat, Tazkirah0 Comments

Soalan:
Mutakhir ini banyak sekali isu-isu panas mengenai zakat menjadi viral. Antaranya, pengurusan zakat dianggap lambat, tidak efisien dan banyak lagi label negatif. Benarkah segala dakwaan ini? 

Jawapan:
Benar, baru-baru ini ada sebuah stesen televisyen swasta membuat tinjauan mengenai ‘apakah cara terbaik menyalurkan zakat?’, seperti diduga hasilnya. Lebih 70 peratus memilih untuk mengagih sendiri zakat mereka berbanding menyalurkannya melalui institusi zakat.

Tanpa menafikan ruang-ruang tambah baik yang perlu dilakukan oleh institusi zakat, namun membuat tinjauan sedemikian bagi saya tidak kena. Ada pihak berkata, kenapa stesen televisyen berkenaan tidak membuat tinjauan mengenai kewajipan cukai pendapatan, wajar atau tidak? Boleh juga membuar tinjauan tentang iklan-iklan yang banyak ditayangkan di stesen berbayar itu sendiri, sama ada wajar atau tidak?

Namun, nasi sudah menjadi bubur. Tinjauan sudah dibuat. Maka gegak gempita komen-komen panas mengenai pusat zakat. Membaca sepintas lalu komen-komen yang ditinggalkan di lama Facebook, maka boleh disimpulkan kepada beberapa perkara:

1. Agihan zakat dianggap lambat, banyak prosedur dan leceh
Umumnya mereka mahu agar agihan dipermudahkan. Jawapannya, ia tidak boleh dipermudahkan sehingga bermudah-mudah. Zakat adalah ibadah wajib. Ada tatacaranya. Dalam hadis sahih Nabi Muhammad SAW menyatakan, wajib dilakukan siasatan kepada mereka yang mengaku miskin. Itu arahan Nabi. Maka bermudah-mudah sehingga mengenepikan arahan Nabi adalah sesuatu yang salah.

2. Pusat zakat tidak proaktif mencari fakir miskin dan menunggu sahaja di pejabat
Hakikatnya mereka yang menuduh ini seolah-olah hidup dalam era 1980-an. Bayangkan, kebanyakan pusat zakat mempunyai laman web malah Facebook sendiri. Di dalamnya dipaparkan banyak aktiviti turun padang. Siang malam amil bekerja mencari dan membela asnaf. Hakikatnya, asnaf yang dicari, bukan dinanti. Di Selangor misalnya, ada lebih 46,000 keluarga fakir miskin. Adakah jumlah yang besar itu belum membuktikan kerja keras Zakat Selangor mencari orang miskin?

3. Yakin zakat yang diagih sendiri lebih berkesan membantu asnaf
Mungkin kerana nampak asnaf pegang duit langsung daripada kocek mereka. Namun mereka tidak sedar, seorang atau dua tiga orang yang mereka berikan zakat, bagaimana pula dengan ribuan yang lain. Mereka nampak sekeliling sahaja, tetapi di luar lingkungan mereka tidak nampak. Walhal, asnaf bukan sekadar fakir miskin, ia meliputi mualaf, orang yang terbelenggu dengan perhambaan moden, orang berhutang, golongan berjuang membangunkan Islam dan mereka yang bermusafir dan keputusan belanja. Di Selangor sahaja, jumlahnya ada ratusan ribu asnaf. Adakah mereka fikir menyantuni secara peribadi itu akan dapat memayungi ratusan ribu asnaf tersebut?

4. Ragu dengan ketelusan agihan zakat
Ketelusan dalam agihan boleh disemak dalam Laporan Tahunan Pengurusan Zakat. Di Selangor misalnya, semua orang boleh akses kepada laporan itu. Dinyatakan jumlah kutipan dan agihan. Siapa penerimanya, jumlah penerimanya dan jenis-jenis bantuannya. Malah Jabatan Audit Negara melaksanakan audit tahunan dan diberikan Sijil Bersih, bukti tiada penyelewengan.

5. Kecekapan kutipan tidak sama dengan kecekapan agihan
Pusat-pusat zakat cuba memaksimumkan kecekapan agihan. Buktinya di Selangor, Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain, diwujudkan kaunter bergerak yang bukan sahaja mengutip zakat tetapi menerima permohonan agihan. Kaunter ekspres diwujudkan, masa memproses permohonan cuba dipendekkan. Sekurang-kurangnya inisiatif ini memberi impak positif kepada permohonan segera. Namun ia bergantung kepada banyak aspek. Jenis permohonan berbeza, pasti berbeza kadar masanya. Ia juga bergantung dengan lengkap atau tidak dokumen permohonan oleh pemohon atau asnaf.

6. Anggap tidak salah di sisi syarak beri zakat sendiri
Ini adalah kerana kejahilan diri. Tidak terfikir saya, mereka boleh menafikan pandangan fatwa dan juga jumhur ulama dari zaman silam sehingga ke hari ini. Ayat zakat disebut jelas di dalam al-Quran dan dikaitkan dengan pemerintahan (rujuk al-Hajj ayat 41). Nabi Muhammad SAW sebagai pemerintah melantik amil zakat. Sayidina Abu Bakar r.a. memerangi orang yang enggan menyerahkan zakat kepada khalifah. Rumusannya, zakat urusan pemerintahan. Apabila sudah ada fatwa dan undang-undang, wajib bagi umat Islam mematuhinya. Lainlah jika duit zakat diseleweng hingga langsung tidak memberi manfaat kepada asnaf, di sana ada perbahasan lebih lanjut di sisi ulama.

7. Anggap pusat zakat memanipulasi hukum Islam
Hukum Islam dalam isu zakat sudah jelas. Fatwa digubal demi manfaat semua orang, bukan meraikan golongan tertentu. Zaman Sayidina Umar al-Khattab r.a. dan Sayidina Uthman bin Affan r.a. sehingga ke hari ini, hukum zakat berkembang mengikut keperluan. Rujuklah dalam pelbagai kitab fikah untuk melihat perkembangan hukum zakat. Apa yang penting, natijah zakat adalah untuk seluruh umat Islam. Hukum zakat menjurus ke arah itu.

8. Mempertikaikan institusi zakat atau agama menggunakan wang zakat
Pertikaian ini tidak berkesudahan kerana si penuduh enggan membuat ‘homework’ dan belajar fikah zakat. Paling tidak, mereka boleh bertanya kepada mana-mana pusat zakat, tentang penggunaan wang zakat itu. Bukankah Allah SWT telah memberikan arahan agar 1/8 daripada agihan zakat menjadi hak kepada asnaf amil? Melarang amil menggunakan wang zakat, bukankah bererti mempertikaikan  Allah SWT (Rujuk at-Taubah, ayat 60).

9. Pengalaman ‘gagal’ memohon zakat dijadikan sandaran
Gagal dalam permohonan adalah lumrah. Jangankan zakat, Perkeso dan KWSP malah pihak bank pun berhak menolak permohonan yang tidak menepati syarat. Namun jika benar pusat zakat menolak dengan salah, sila buat laporan rasmi kepada pihak berwajib. Bukan menyebarkannya di media sosial. Lagi pun agihan zakat mengikut negeri. Kesilapan di sesebuah negeri, tidak wajar dilambakkan kepada semua negeri.

10. Marah dengan insiden tertentu sebelum ini yang melibatkan zakat
Tidak dinafikan, pusat-pusat zakat ada melakukan kesilapan dalam gerak kerjanya. Namun, kesilapan itu diperbaiki hari demi hari. Apa yang berlaku, insiden lima atau enam tahun silam, dipanaskan lagi. Tidak adil menghukum kesalahan yang sudah diperbaiki. Malah ia menjadi fitnah yang tidak berkesudahan.

Kesimpulannya, para pemberi komen kelihatannya tidak mahu bersikap adil untuk melihat apakah kebaikan dan kelemahan di sisi pusat-pusat zakat. Setiap makhluk pasti ada kelemahan dan yang terbaik ialah memperbaikinya bersama-sama. Dalam masa yang sama, jutaan umat Islam di Malaysia telah menerima pelbagai manfaat zakat. Sayangnya, ia didiamkan. Jadi, di manakah keadilan?

Disediakan oleh:
Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Dakwah Zakat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *