WALAUPUN HANYA JARI MAMPU BERGERAK, NAMUN SYAKIR JUGA INGIN KE IPT

noormalaIsu semasa

Oleh: Khairul Izwan Bakeri

Ibu tunggal, Norhayati Yaacob, 52 tahun reda dengan suratan takdir. Dikurniakan anak kelainan upaya (OKU), Syakir Zulfair Abdul  Manat, 19 tahun bukanlah penamat segalanya. Biarpun Syakir tidak mampu menguruskan diri dan perlu bergantung sepenuhnya kepada kudrat si ibu, bagi Norhayati itulah permata hatinya.

Dilahirkan normal seperti orang lain, Syakir tidak menunjukkan sebarang keganjilan ketika kecil. Namun ketika usianya menginjak lapan tahun, Syakir mula menunjukkan simptom seperti sakit pada pinggang hingga ke kaki yang adakala menyebabkan dia tidak boleh bertinggung ketika buang air besar.

Menyedari perubahan fizikal Syakir ini semakin ketara, membuatkan Hayati segera merujuk ke Hospital Kuala Lumpur. Selepas beberapa ujian dijalankan, Syakir akhirnya disahkan menghidap penyakit Muscular Dystrophy yang jarang-jarang ditemui dan perlu bergantung dengan ubat seumur hidup. Penyakit ini akan menyebabkan otot Syakir menjadi lemah.

 

“Doktor jelaskan yang keadaan Syakir semakin hari akan menjadi semakin teruk. Lama-kelamaan, hanya jarinya sahaja yang boleh bergerak kerana penyakit ini menyerang semua otot anggota badan Syakir secara perlahan-lahan.”

Ternyata ia benar. Kini pada usia 19 tahun, Syakir hanya mampu bergerak dengan bantuan motorized wheelchair semata-mata. Setiap pergerakan terbatas, hanya jari sahaja yang mampu bergerak. Dua tahun kebelakangan ini sejak habis sekolah, dunia Syakir hanya di rumah. Sesekali apabila berasa bosan, Syakir menghabiskan masa melayari internet sementara menunggu adiknya, Mohamad Din Basyar, 13 tahun pulang dari sekolah.

Cabaran

Saban hari, rutin harian Norhayati sama. Bangun sahaja tidur, Norhayati akan memandikan Syakir dan kemudian mempersiap pakaiannya. Ubat-ubatannya juga perlu dipantau mengikut jadual berkala. Segala keperluan disiapkan sebelum Norhayati pergi bekerja.

“Alhamdulillah setakat ini dengan kudrat yang ada, saya masih mampu mengangkat Syakir secara berseorangan. Walaupun, hidup kami ini tidaklah sesenang mana, namun saya akan melakukan yang terbaik demi Syakir,” kata beliau lagi.

Selain dua orang anak yang perlu ditanggung, wanita ini turut menjaga ibu yang sakit tua dan kakak yang menghidap tiroid.

Sebenarnya tidak mudah bagi Norhayati untuk menguruskan keluarga seorang diri setelah berpisah. Dengan pendapatan sebanyak RM900 sebagai pekerja kedai runcit, Norhayati berjimat demi memastikan keperluan keluarga tidak terputus.

“Hendak kata cukup itu, memanglah tidak cukup. Tetapi saya bersyukur dengan rezeki yang diberi ini. Alhamdulillah, Lembaga Zakat Selangor juga membantu menyalurkan bantuan zakat. Sedikit sebanyak ringanlah bebanan yang ditanggung ini,” kata Norhayati.

Untuk makluman, keluarga Norhayati ini disantuni dengan bantuan zakat berupa bantuan kewangan dan makanan bulanan serta bantuan perubatan. Malah, Norhayati turut ditawarkan bantuan modal perniagaan untuk membesarkan perniagaan kerepek yang diusahakan kecil-kecilan itu.

“Namun, buat masa ini saya rasa tidak perlu bantuan tersebut. Saya takut nanti, kalau mula berniaga, saya tidak dapat menumpukan perhatian untuk Syakir dan emak. Biarlah saya fokus kepada mereka berdua dulu. Insya Allah, bila keadaan telah stabil, baru saya fikirkan,” jelas beliau.

Mahu Belajar

Biarpun tidak sesenang orang lain, Norhayati tidak mengambil mudah pendidikan anak-anaknya. Oleh itu, demi memastikan Syakir dapat mengikuti persekolahan, Norhayati sanggup bersusah payah membayar upah orang untuk menghantar anaknya pergi dan balik ke sekolah, lantaran tiada kenderaan.

“Syakir ini cukup bersemangat kalau bab sekolah. Dia memang suka sekolah. Mungkin seronok dengan kawan-kawan,” cerita Norhayati.

Ketika mengimbas kembali alam persekolahan Syakir, ada satu peristiwa yang amat mengguris hatinya dan masih tersemat dalam ingatan.

“Pernah dahulu, Syakir ditinggalkan keseorangan dalam kelas sepanjang hari. Ini kerana pelajar lain ada kelas tambahan di tingkat atas. Memandangkan keadaannya yang berkerusi roda, guru dan rakan-rakan terpaksa meninggalkan dia di kelas bawah,” ceritanya dengan sedikit getar pada suara.

“Mujur hari itu, saya tergerak hati hendak menjenguknya di sekolah. Terkilan rasa apabila sampai sahaja ke kelasnya, saya lihat Syakir tinggal keseorangan. Sampai hati mereka,” ujar Norhayati sebak.

Tidak sanggup kejadian yang sama berulang lagi, Norhayati nekad mengambil keputusan menukar Syakir ke sekolah lain yang berhampiran dengan rumahnya. Lebih mudah untuk Norhayati sendiri yang menguruskan anaknya.

Kini setelah dua tahun menamatkan persekolahan menengahnya, Syakir banyak menghabiskan masa di rumah. Hari-harinya dihabiskan dengan melayari internet, menggali ilmu secara tidak langsung.

Seperti remaja lain, Syakir juga memasang angan-angan untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti dalam bidang IT. Namun fizikalnya yang terbatas menyukarkan dia untuk memohon disebabkan kebanyakan kemudahan pusat pengajian tidak mesra OKU. Hal ini membantutkan niatnya untuk terus mengejar cita-cita dalam bidang yang diminati.

Ada ketika Syakir mencemburui rakannya yang sering bercerita pengalaman mereka sedang melanjutkan pelajaran di universiti. Namun apakan daya, dia sekadar berkongsi luahan perasaan kepada Norhayati.

“Melihat pada riak wajahnya, saya pun faham yang dia memang hendak sambung belajar. Tetapi keadaan dia sebegini tidak mungkin ada universiti hendak menerima dia belajar yang hanya mampu menggerakkan kepala dan jari sahaja,” beritahu Norhayati.

Tambahnya lagi, “Lagipun berat hati saya hendak lepaskan dia belajar di universiti. Sedangkan buang air besar pun saya yang uruskan, bagaimana dia hendak berjauhan daripada saya. Adakah orang yang sanggup uruskan dia jika dia dapat sambung belajar nanti?”

“Nak sambung belajar tak Syakir?” penulis melontarkan soalan kepada Syakir yang ketika itu tekun mendengar setiap butir cerita ibunya.

Sambil tersenyum Syakir mengangguk kepala, “Nak, tapi ada ke IPT yang hendak pelajar seperti saya ini? Memang teringin hendak belajar lagi. Cuma keadaan saya ini nanti menyukarkan untuk bergerak.”

Bercahaya wajahnya ketika ditanya untuk sambung belajar. Benar, jiwanya meronta-ronta untuk belajar lagi. Tetapi apakan daya dengan keadaan dirinya, Syakir akur dengan kehendak ibunya untuk melupakan hasrat tersebut. Namun, jauh di sudut hatinya Syakir amat berharap ada pihak yang sudi membantu merealisasikan impiannya untuk menyambung pengajian secara dalam talian jika diberi peluang.