Warisi Perniagaan Soya Ayah

faisalIsu semasa

Orangnya mudah menghadiahkan senyuman dan mudah diajak berbual. Beberapa kali penulis cuba mengaturkan pertemuan namun sering kandas di pertengahan jalan. Semuanya gara-gara dia makin sibuk menguruskan perniagaan air soya, bakat yang diwarisi daripada ayahnya. Biar pun tanpa pendidikan formal yang tinggi namun berbekalkan kemahuan, bakat dan kecekalan, dia melangkahkan kaki derap demi derap mengotakan hajat di hati. Pertemuan singkat ini menatijahkan sebuah gumpalan cerita Jejak Asnaf yang pastinya menarik untuk kita hayati di bulan Syawal ini.

“Ayah mengalami kemalangan jalan raya yang serius pada tahun 2001. Kejadian itu berlaku di awal pagi, betul-betul sehari sebelum menjelangnya hari raya aidilfitri dan saya sendiri baharu di darjah enam. Waktu itu ayah dalam perjalanan pulang dari Pasar Borong Selayang di Batu Caves, setelah membeli kacang soya. Kemudiannya, ayah terlantar di wad unit Rawatan Rapi (ICU) selama tiga bulan dan sejak kejadian itu jugalah, ayah tidak lagi mampu bekerja dan kesusahan datang bertimpa-timpa, lantaran punca pendapatan utama keluarga melalui perniagaan air soya ayah sudah terjejas.”

Demikianlah mukaddimah perkongsian Muhammad Zamri Mohamed Apni, 23, anak ketujuh pasangan Mohamed Apni bin Hasan, 64 dan Zainab @ Norshah bt. Mat Yusof, 69 yang jelas mahu merubah kehidupan diri dan keluarganya bermodalkan resipi air soya ayahnya. Maka tidak sia-sia apabila kehadiran Lembaga Zakat Selangor (LZS) di tengah-tengah perjalanan hidupnya, telah dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Mengenang kembali kisah silam, memang menjerakan perasaan. Bayangkan seorang ayah tanpa pendapatan, sedangkan anak-anak memerlukan wang yang bukanlah kecil untuk pelbagai tujuan.

“Memang sedih bila terkenangkan kisah lama. Setakat tidak membayar yuran persekolahan, itu sudah menjadi perkara biasa. Malah saya tidak dapat melupakan kebaikan seorang ustazah di sekolah, kerana dialah yang membantu kami adik-beradik mencari jalan melunaskan segala yuran. Ustazah itu juga cuba mendapatkan bantuan zakat buat kami.”

Zamri turut bercerita, bagaimana sedihnya mereka saat rumah yang didiami telah dipotong bekalan elektrik dan air, gara-gara bil yang tertunggak tidak berbayar. Malah dia juga tidak mampu melupakan, saat rumah yang dibeli bapanya terpaksa dilepaskan pada tahun 2004 gara-gara mereka tidak mampu lagi menyambung bayaran bulanan ke pihak bank.

Kami berpindah ke kawasan Gombak pada tahun 2009 dan pada tahun itu jugalah, seorang pengerusi surau yang mengesani keadaan bapa telah meminta agar kami mengadu masalah kepada pihak LZS. Katanya, ayah memang layak kerana sudah tidak mampu mencari rezeki lagi. Maka, bermula tahun 2009 itulah Zamri dan keluarganya telah disantuni oleh pihak LZS.

Zamri kini berusaha meluaskan lagi empayar perniagaan soya dengan membuka kilang di Dengkil.

Zamri kini berusaha meluaskan lagi empayar perniagaan soya dengan membuka kilang di Dengkil.

“Saya masih ingat, emak mendapat bantuan kewangan bulanan daripada LZS selama dua tahun sebanyak RM250 sebulan. Kami juga diberikan bantuan pendidikan dan juga bantuan-bantuan lain yang selayaknya kami perolehi. Terasa sangat leganya bila ada bantuan zakat.”

Buat permulaannya, Zamri tidak pun tergerak hati mahu menceburkan diri ke dalam perniagaan air soya dan lebih memilih untuk makan gaji sahaja.

“Dengan kelulusan yang rendah, saya hanya menjadi operator kilang di Sg. Buloh dan pernah juga menjadi pembantu peribadi dan saya hanya dibayar gaji kira-kira RM1,500.00 sebulan. Tidak lama saya makan gaji, pada penghujung tahun 2010 itu juga, ibu dan bapa saya memberikan idea, agar saya meneruskan usaha ayah sebelum ini menjual air soya.”

Lalu bermula dari tahun 2010 itulah, Zamri mulai bertatih menyambung kembali apa yang pernah diusahakan oleh bapanya sebelum ini. Bagi bapanya pula, pengalaman lebih 20 tahun mengusahakan air soya bukanlah tempoh yang singkat. Amat rugi jika pengalaman berniaga itu tidak dimanfaatkan oleh warisnya sendiri.

“Oleh kerana kami masih bernaung di bawah LZS, maka saya cuba memohon bantuan modal perniagaan. Saya yakin, potensi yang ada dalam perniagaan air soya ini amat besar. Maka, saya berpakat dengan dua orang abang dan kami bersetuju akan menggerakkan usaha ini secara serius.”

Lalu pada tahun 2013, LZS sekali lagi menyalurkan bantuan dan pada kali ini, ia lebih bersifat merubah status kehidupan Zamri dan keluarganya, iaitu dengan menyalurkan modal perniagaan yang agak besar.

“Alhamdulillah, kami diberikan modal berjumlah RM27,000.00. Sebanyak RM25,000.00 dalam bentuk sebuah lori dan bakinya RM2,000.00 pula dalam bentuk modal pusingan. Jujurnya, dengan kewujuduan sebuah lori maka kami dapat memastikan penghantaran air Write Presentations for Class Assignments soya dilakukan dengan lebih berkesan dan kos efektif.”

Tidak terhenti dengan hanya dibekalkan sebuah lori, Zamri sebagai anak muda terus berfikir dan merancang untuk meluaskan pasaran air soya mereka. Dia melihat, potensi di Hulu Selangor tempat mereka mula bermastautin sejak tahun 2010 itu tidak begitu besar, lalu dia memberanikan diri berhijrah ke Dengkil.

“Saya kemudiannya berhijrah ke Dengkil dan mengusahakan air soya, manakala di Hulu Selangor abang saya terus mengusahakan air soya di sana. Maknanya, kami boleh meluaskan pasaran dan pastilah kos pengangkutan dari Hulu Selangor ke sekitar Dengkil dan Sepang juga dapat dijimatkan. Ini kerana, kebanyakan pelanggan besar kami terletak di sekitar Sepang.”

Apa yang lebih membanggakan, Zamri juga telah berusaha mencari premis yang lebih sesuai untuk perusahaan air soyanya, iaitu dua buah lot kedai yang bakal dijadikan kilang memproses air soya dengan lebih teratur.

“Untuk makluman ustaz, kebanyakan proses awal telah pun saya lakukan, termasuklah urusan pendaftaran dengan pihak berwajib. Insya-Allah, jika semuanya berjalan seperti mana yang saya rancangkan, maka kilang soya itu akan mulai beroperasi pada bulan November 2013 ini.”

Demikianlah mujahadah seorang anak muda dalam usahanya untuk membebaskan diri dan ibu bapanya daripada belenggu kemiskinan. Amat mulia usahanya dan mudah-mudahan ia diberkati oleh Allah SWT, amin.

Nota: Operasi lori soya Zamri di Hulu Selangor berjalan setiap hari di hadapan stesen minyak Petronas, Batang Kali dari jam 10.30 pagi hingga 6.00 petang, kecuali hari Jumaat dan dikendalikan oleh abangnya. Manakala bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi pengedar atau mendapatkan bekalan air soya, Zamri boleh dihubungi di talian 012-2742390 atau menerusi email: mza_wawasan@yahoo.com.

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)