WAWANCARA: ‘ZAKAT MUDAHKAN PENDIDIKAN’

faisalIsu semasa

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Di tepi sebuah jalan besar di Kg. Permatang Pasir, Banting, Selangor tersergam sebuah sekolah rendah agama yang gagah. Di sisinya, terpacak sebuah papan tanda berwarna putih dengan logo Lembaga Zakat Selangor (LZS) di atasnya yang bertulis ‘Projek Membina Sebuah Surau’.

Hati penulis terdetik untuk menemui guru besar sekolah agama berkenaan. Minimalnya ada dua perkara yang ingin penulis ajukan, pertama sudut pandangan seorang guru besar kala menerima bantuan zakat dan kedua, cabaran mendidik pelajar khususnya anak-anak asnaf di sekolah berkenaan.

Tidak lama kemudian, salam bertukar balas. Penulis dan Ustaz Sharizam Shaharom, Pegawai Agihan Zakat Daerah Kuala Langat dipersilakan duduk. Di ruangan pejabat Guru Besar yang tidak begitu besar itu, kami berbasa-basi memperkenalkan diri. Dari situ dapat saya tahu, Ustazah Zuraidah Mohammad, 52 baharu 1 tahun 5 bulan menjawat jawatan Guru Besar di sekolah berkenaan.

“Waktu mula-mula dihantar bertugas ke Sekolah Rendah Agama Permatang Pasir ini, sedih juga. Maklumlah, sebelum ini saya ditempatkan di sekolah yang lebih maju dan serba-serbi cukup prasarananya. Namun, saya yakin pasti ada hikmah di sebaliknya dan saya gagahkan diri di sini. Apatah lagi ini kawasan kampung, sekolahnya tidak sehebat sekolah bandar, maka saya tahu ada sesuatu yang perlu saya lakukan.” Demikianlah beliau mula membuka cerita.

“Antara perkara yang paling menarik perhatian saya, ialah bagaimana menjana kecemerlangan warga sekolah melalui tarbiyyah solat. Sebab itu saya selalu tekankan, jika mahu mencapai kecemerlangan akademik dan menjaga akhlak, maka solat itulah asasnya.

“Maka, apabila tiba ke sekolah ini, saya mahu tanamkan nilai-nilai mulia itu menerusi solat berjemaah. Malangnya kemudahan surau tidak sempurna, maka tanpa berlengah masa saya terus mengemukakan permohonan kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan juga LZS, untuk mendapatkan sebuah surau yang lebih sempurna. Alhamdulillah, apa yang ustaz lihat itu adalah antara titik-titik awal ke arah penambahbaikan di sekolah ini.” Ustazah Zuraidah terus berbicara mengenai projek pembinaan surau baru yang mendapat dana lebih RM200 ribu daripada LZS.

Menyentuh aspek pendidikan, khususnya di sekolah berkenaan, Ustazah Zuraidah mengakui bahawa mendidik anak-anak di luar bandar memang mempunyai cabaran yang tertentu.

“Apabila tiba di sekolah ini, antara perkara pertama yang saya kenal pasti adalah, jumlah pelajar asnafnya adalah ramai. Namun saya dapati, tiada data khusus mengenai pelajar asnaf yang ibu bapa mereka merupakan penerima bantuan zakat telah disediakan pihak sekolah. Lalu, saya menyediakan senarai daftar khusus, agar keadaan mereka ini lebih senang dipantau.

“Saya dapati di sekolah ini, bagi tahun 2012 ini sahaja ada 50 orang pelajar asnaf daripada keseluruhan 170 orang pelajar. Ia bukanlah jumlah yang sedikit. Sewajarnya, dengan segala macam bantuan yang disediakan oleh LZS, maka pencapaian mereka sepatutnya lebih membanggakan.” Terang Ustazah Zuraidah lagi.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa untuk melakukan transformasi atau islah kepada para pelajarnya, ia memerlukan masa dan tenaga.

“Ustaz bayangkan, ada kalangan mereka yang tidak begitu serius belajar. Isu ini saling berkait rapat, di antara kondisi sekolah, kesediaan para guru, peranan ibu bapa dan juga keterlibatan anak-anak. Saya sedar, jika mahu merubah anak-anak, harus bermula dari ibu bapa. Jika mahu pelajar berdisiplin, guru-guru juga mesti berdisiplin. Jika mahu pembelajaran jadi ceria, maka sekolah juga mesti ceria.

“Di sinilah saya bersyukur kepada Allah SWT, justeru LZS nampaknya sentiasa proaktif membantu kami warga pendidik dalam menjana kecemerlangan akademik dan syaksiah pelajar.

zuraida

“Misalnya, sesampai sahaja ke sekolah ini, saya melihat kondisinya tidak memotivasikan kecemerlangan. Saya terus menghubungi pihak LZS demi mendapatkan bantuan membaik pulih prasarana, dan alhamdulillah LZS telah meluluskan dana RM30 ribu bagi tujuan tersebut.

“Hasilnya, bumbung bangunan utama yang bocor sebelum ini ditukar baru, cermin tingkap yang pecah diganti dan kerja-kerja mengecat baru dapat dijalankan. Saya turut mencari dana dan mengajak warga sekolah melakukan kerja-kerja ringan seperti mengecat dan menanam pokok, alhamdulillah akhirnya keceriaan kembali menjelma di halaman sekolah.”

Demikianlah wawasan seorang guru besar dan ternyata benar, kala penulis memasuki perkarangan sekolah berkenaan, penulis dapat melihat suasana yang ceria di hadapannya. Warna merah dan hijau saling bertingkah menyuntik semangat dan motivasi untuk belajar.

“Saya juga memohon bantuan LZS untuk mengadakan pelbagai kursus motivasi pelajar dan juga mengadakan sambutan hari-hari tertentu. Alhamdulillah, penat lelah saya membuat permohonan, selalunya berbaloi kerana LZS tidak pernah lokek membantu. Bahkan, untuk tujuan kemudahan kerja LZS juga telah meluluskan pembelian komputer riba untuk sekolah bernilai lebih RM3 ribu dan komputer itulah yang sedang saya gunakan sekarang ini.” Ulas Ustazah Zuraidah lagi sambil mempamerkan komputer riba berkenaan.

“Bagi saya, kewujudan LZS di negeri ini memang banyak membantu khususnya bagi sekolah-sekolah agama yang agak mundur dan terkebelakang. Saya yakin, masih banyak ruang bagi bantuan zakat berperanan. Maka, kepada seluruh pembayar zakat, jika anda melihat kepada perkembangan institusi agama di negeri ini, seperti masjid yang indah, sekolah agama yang sempurna dan sebagainya, ketahuilah bahawa di sebaliknya turut terselit bantuan zakat di sana.

“Saya berdoa dan saya yakin semua warga sekolah yang mendapat manfaat zakat ini juga berdoa, moga-moga kehidupan para pembayar zakat akan menjadi lebih ceria dan berkat, sesuai dengan maksud zakat yang mereka tunaikan.” Akhiri Ustazah Zuraidah penuh keyakinan.

Nota: Di dalam ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2011 baru-baru ini, dua orang pelajar telah mendapat pangkat mumtaz berbanding tiada seorang pun mendapat mumtaz pada tahun sebelumnya. Manakala, sebuah surau yang lengkap dan sempurna bernilai lebih RM200 ribu didanai oleh LZS juga sudah hampir siap untuk dimanfaatkan warga sekolah.