Zakat dan Solat Saling Menyempurna

noormalaPerspektif0 Comments

 

Allah SWT telah mensyariatkan bahawa ibadah zakat dan solat adalah saling bergandingan kerana terdapat 27 ayat yang menggabungkan perintah zakat dan solat secara beriringan. Solat adalah rukun yang kedua selepas syahadah manakala zakat adalah rukun Islam yang ketiga. Solat adalah hak Allah dan zakat adalah hak sesama hamba dan hak kepada Allah.

Setiap hak kepada hamba juga bermakna ia merupakan hak kepada Allah SWT. Solat adalah ibadah badaniyah, manakala zakat adalah ibadah Maliyah. Keduanya memainkan peranan utama. Malah tuntutan menunaikan kedua ibadah ini dibuat kepada nabi yang terdahulu sebagaimana Allah SWT telah berfirman yang bermaksud, “Dan (Nabi Ismail a.s) menyuruh keluarganya untuk mendirikan solat dan membayar zakat dan mereka adalah orang yang diredhai oleh Tuhannya” (Maryam: 19).

Dalam ayat yang lain “Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (mendirikan) shalat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup” (Maryam: 3). Juga, terlalu banyak hadis yang menekankan kepentingan zakat adalah selepas solat. Misalnya, hadis yang paling masyhur yang diriwayatkan oleh Umar al-Khattab r.a. yang bermaksud “Aku mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda, terbinanya Islam atas lima (rukun): (1) Syahadah (pengakuan) bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah, (2) mendirikan solat, (3) mengeluarkan zakat, dan (4) mengerjakan haji di Baitullah, dan (5) berpuasa di bulan Ramadan.” (riwayat Bukhari dan Muslim). Apabila nabi Muhammad SAW menghantar Muadz bin Jabal r.a ke Yaman sebagai wakil baginda, maka baginda bersabda yang bermaksud: “Serulah mereka untuk menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan sesungguhnya aku adalah utusan Allah, sekiranya mereka mentaati perkara itu, ajarkanlah mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka solat lima waktu siang dan malam, sekiranya mereka mentaati perkara itu, ajarkanlah mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) yang diambil daripada orang kaya dan diberikan kepada orang miskin di kalangan mereka.” (riwayat Bukhari).

Dari Ibnu ‘Umar r.a Rasulullah SAW telah bersabda, “Aku diperintah untuk memerangi manusia sampai ia mengucapkan laa ilaaha illAllah, menegakkan solat dan mengeluarkan zakat. Barangsiapa telah mengucapkannya, maka ia telah memelihara harta dan jiwanya dari aku kecuali karena alasan yang hak dan kelak perhitungannya terserah kepada Allah SWT”. [Bukhari no. 25, Muslim no. 22] Saidina Abu Bakar r.a. berkata selepas kewafatan nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Tidak terpisah di antara solat dan zakat. Demi Allah aku akan memerangi orang yang memisahkan di antara solat dan zakat. Sesungguhnya zakat merupakan hak ke atas harta…” Lantaran itu jika seseorang itu meninggalkan ibadah zakat bermakna ibadah solat dan rukun Islam yang lain tidak sempurna. Mengkesampingkan ibadah zakat bermakna robohlah ad-din yang dijunjung. Ketika Allah SWT menggariskan 7 kriteria orang yang berjaya di dalam surah alMu’minun, golongan yang berjaya adalah termasuk golongan yang menunaikan solat dengan khusyuk dan mengerjakan ibadah zakat (zakat fitrah dan zakat harta).

Ini bermakna tanpa melaksanakan keduanya, seseorang itu merupakan seorang yang malang, rugi dan jauh daripada keredhaan Allah SWT. Kehidupan tanpa redha Allah SWT bermakna kehidupan yang jelek, malang, gelisah dan dukacita sebagaimana jaminan Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal soleh, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala, di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” al-Baqarah: 277.

 

Dengan melaksanakan keduanya dengan sempurna, maka Allah SWT menjanjikan balasan syurga sebagaimana sabda nabi SAW yang diriwayatkan oleh Musa bin Talhah (r.a). Beliau mendapat berita daripada Abu Ayub (r.a) bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w.: “Beritahukanlah aku suatu amalan yang membolehkan aku memasuki syurga? Apa itu? Apa itu? Kedengaran orang ramai mahu tahu. Maka berkata Nabi SAW, “Yang perlu dibuat ialah menyembah Allah dan tiada menyekutukan sesuatu dengan Dia, mendirikan shalat, memberi zakat dan memperhubung silatur-rahim”. (Sahih Bukhari)

Malah keduanya juga merupakan ciri orang yang bertaqwa kerana Allah SWT telah memberi penegasan berikut, “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah S.W.T, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta dan memerdekakan hamba sahaya, mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji dan orang yang sabar dalam kesempitan dan penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” al-Baqarah: 177. Zakat dan Solat berpisah tiada.

Terpisah satu, pincanglah agama. Utuh ummah apabila tertunai keduanya. Kebajikan yang sebenar adalah kebajikan yang dibuat berpaksikan kepada asas aqidah islamiyyah dan pelaksanaan ibadah yang sempurna.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *