ZAKAT MENJANA EKONOMI UMMAH

adminJejak Asnaf0 Comments

Zakat merupakan perintah Allah SWT yang wajib kita tunaikan setelah cukup syarat-syaratnya.  Kewajipan zakat ini banyak disebutkan di dalam Al-Quran dan hadis yang jelas menunjukkan kepada kita bahawa ibadah zakat seiring dengan kewajipan-kewajipan yang lain yang mesti diyakini oleh umat Islam.

Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 110 :

Maksudnya : Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat. Dan apa saja kebaikan yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahalanya pada sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan.

Zakat berperanan penting dalam menjana kekuatan ekonomi umat Islam melalui empat (4) faktor utama iaitu :

A. ZAKAT TINGKATKAN EKONOMI

Zakat dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan kepada golongan asnaf disamping ia merupakan bentuk penyucian harta dan jiwa bagi yang insan yang menunaikannya. Di sisi golongan asnaf yang menerima sumbangan zakat, mereka akan mampu meningkatkan ekonomi keluarga mereka, seterusnya menghilangkan rasa iri hati dan dendam sesama manusia. Natijahnya, kehidupan masyarakat akan aman, bersatu-padu, kestabilan ekonomi akan wujud, kecemerlangan pendidikan dan seterusnya kesatuan ummah yang mantap dan jitu.

Firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah, ayat 103 :

Maksudnya : Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Ayat ini jelas menyatakan bahawa Allah memerintahkan kepada para ‘Amil untuk mengutip zakat daripada golongan yang berharta sementara Allah SWT pula akan menganugerahkan keberkatan kepada hambaNya yang berzakat dengan penyucian hati manusia dari penyakit mazmumah, keberkatan terhadap rezeki dan harta yang dimiliki serta ketenangan dan kebahagiaan kepada mereka yang berzakat.

LZS menyediakan bantuan zakat bagi membantu asnaf yang berpotensi dalam bidang perusahaan ternakan

Hj Miswan Kassim, Usahawan Kedai Jahitan, Impian Tailor di Subang 2. Salah seorang penerima bantuan modal pada tahun 2013. Kini sudah berjaya dan  mempunyai empat orang pekerja.

B. ZAKAT MENJAUHKAN KEMISKINAN

Zakat juga dapat membebaskan manusia dari belenggu kemiskinan melalui penyediaan saraan hidup atau modal yang mencukupi bagi golongan yang berhajat. Bantuan modal diperuntukan kepada asnaf yang mampu bekerja tetapi tidak mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menjalankan perniagaan atau pekerjaan mereka. Peruntukan ini diberi dengan kadar yang mencukupi sesuai dengan keadaan ekonomi, tempat dan keperluan sebenar fakir dan miskin tersebut.

Walau bagaimanapun, golongan ini tidak wajar dibiarkan sebagai penerima zakat semata-mata. Disamping bantuan modal dan kewangan, mereka juga berpotensi untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka melalui program-program keusahawanan, latihan kemahiran, bimbingan, motivasi dan kaunseling yang diadakan oleh institusi zakat. Bahkan, pepatah melayu ada menyebut : “Jika ingin membantu orang secara berterusan, jangan diberikan ikan sahaja, tetapi berikanlah joran dan pancing kepada mereka.”

Jiwa mereka perlu dibangunkan supaya dapat berdikari dan terus hidup dengan cara memanfaatkan wang agihan zakat sebagai sumber modal dan memajukan ekonomi mereka sehingga akhirnya dapat mengeluarkan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.

 C. ZAKAT JAMIN PENGEMBANGAN EKONOMI

Zakat berperanan untuk mengelakkan daripada berlakunya penumpuan harta di kalangan golongan tertentu sahaja dalam masyarakat. Hadis diriwayatkan oleh At-Tabrani dari Ali r.a yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan (zakat) atas orang-orang kaya dari umat Islam pada harta mereka dengan batas sesuai dengan kecukupan fuqara’ di antara mereka. Orang-orang fakir tidak akan kekurangan pada saat mereka lapar atau tidak berbaju kecuali kerana perilaku orang-orang kaya di antara mereka. Ingatlah bahawa Allah akan menghisab mereka dengan keras dan mengazab mereka dengan pedih.”

Hadis ini memberi peringatan kepada kita semua, khasnya kepada orang-orang kaya supaya melaksanakan kewajipan zakat sebagai memenuhi amanah menyerahkan hak fakir dan miskin yang ada di dalam harta yang dimiliki.

Azhar Mamat, pemilik gerai cendol bergerak di hadapan pasaraya NSK Meru. Mendapat bantuan lori daripada LZS dan kini menjadi usahawan cendol yang mendapat sambutan dan sering mendapat tempahan.

Azhar Mamat, pemilik gerai cendol bergerak di hadapan pasaraya NSK Meru. Mendapat bantuan lori daripada LZS dan kini menjadi usahawan cendol yang mendapat sambutan dan sering mendapat tempahan.

 D. ZAKAT JAMIN KEADILAN SOSIAL

Zakat merupakan mekanisme yang menyelamatkan manusia dari kelaparan dan menjamin keadilan sosio-ekonomi dalam masyarakat. Melalui pemberian zakat, bukan sahaja dapat menyediakan satu suasana yang membolehkan manusia memelihara kehormatan dan melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah Taala, bahkan keseimbangan jurang antara golongan kaya dan miskin akan dapat dikurangkan.

Ini dapat kita perhatikan apabila Rasullullah S.A.W telah berpesan kepada Saidina Muadz bin Jabal ketika mengarahkan beliau ke Negeri Yaman berdasar kepada hadis dari Ibnu Abbas r.a katanya, Baginda bersabda kepada Muadz :

“Ajaklah mereka supaya mengakui bahawa tiada tuhan selain Allah, dan sesungguhnya aku Pesuruh Allah. Jika mereka telah mematuhi yang demikian, terangkanlah kepada mereka bahawa Allah SWT mewajibkan kepada mereka solat lima kali sehari semalam. Sekiranya mereka telah mentaatinya, ajarkanlah bahawa Allah SWT memerintahkan kepada mereka supaya membayar zakat harta mereka, diambil dari orang kaya di antara mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin. Jika itu telah dipatuhi mereka, jagalah supaya kamu jangan mengambil harta mereka yang paling berharga. Takutilah doa orang yang teraniaya, kerana sesungguhnya antara dia dengan Allah tiada hijab.”

(Sahih Bukhari)

LZS menyediakan bantuan zakat bagi membantu asnaf yang berpotensi dalam bidang perusahaan ternakan

LZS menyediakan bantuan zakat bagi membantu asnaf yang berpotensi dalam bidang perusahaan ternakan

RM676.3 JUTA TELAH DIAGIHKAN SEPANJANG TAHUN LALU

Inilah faktor penting menunjukkan bahawa zakat ini mampu menjana ekonomi ummah seterusnya mewujudkan sebuah masyarakat yang seimbang, harmoni dan membangun.

Melihat kepada perkembangan pengurusan zakat  di Selangor,  pada tahun 2015 pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diamanahkan untuk menguruskan zakat ini telah mengagihkan sebanyak RM676.3  juta kepada seluruh 8 golongan asnaf di negeri ini.

Daripada jumlah agihan tersebut, sebanyak RM300.2 juta telah diagihkan kepada seramai 44,293 keluarga fakir dan miskin dalam pelbagai bentuk bantuan termasuklah bantuan sara hidup, modal perniagaan, makanan bulanan, pembinaan dan baik pulih rumah secara percuma, bantuan pendidikan dan lain-lain lagi.

LZS memberi penekanan dengan memberikan pancing kepada asnaf untuk berjaya membangunkan diri. Melalui pendekatan ini pembangunan ekonomi adalah salah satu penekanan dalam membangunkan asnaf. Para usahawan ini sentiasa dipantau dan dinilai prestasi perniagaan mereka supaya maju dan berdaya saing sehingga mereka dapat keluar daripada belenggu kemiskinan. Selain pembangunan ekonomi, pembangunan pendidikan, kerohanian, sosial juga diberi penekanan.

Pada tahun ini, seramai 173 usahawan asnaf  telah membuktikan kejayaan mereka bebas daripada kemiskinan apabila perniagaan mereka mampu menjana pendapatan yang lumayan.  Sementara itu, 340 keluarga yang menjadi penerima zakat pada tahun 2015 turut keluar daripada kategori asnaf hasil daripada siasatan semasa yang dilaksanakan oleh LZS menggunakan garis penentuan fakir dan miskin iaitu haddul kifayah.

Inilah hasrat murni yang ingin dicapai iaitu golongan asnaf yang dibantu dapat berusaha dengan lebih gigih lagi untuk membina masa depan mereka dengan lebih baik sehingga akhirnya mereka beroleh kejayaan dalam kehidupan mereka serta dapat pula membantu orang lain yang dahulu senasib dengan mereka melalui zakat yang ditunaikan di Lembaga Zakat Selangor.

Jelaslah bahawa pensyariatan zakat kepada manusia adalah semata-mata untuk menyuburkan keadilan dalam kehidupan manusia dan membela golongan yang diuji dengan kemiskinan dan kesusahan. Bahkan, melalui pengagihan zakat yang sempurna, akan mampu meningkatkan ekonomi umat Islam melalui keupayaan mereka menjana ekonomi keluarga melalui perniagaan dan perusahaan.

Sesungguhnya usaha untuk membebaskan manusia dari kemiskinan bukanlah suatu tugas yang mudah. Ia tidak akan dapat dicapai sekiranya agihan zakat ini dilakukan secara individu atau orang perseorangan. Dengan kata lain, perancangan yang rapi, tersusun dan istiqomah sehingga akhirnya matlamat membebaskan manusia dari kepompong kefakiran dan kemiskinan hanya akan dapat dicapai melalui penggemblengan tenaga dan strategi yang tersusun melalui badan berorganisasi yang kukuh.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *