ZAKATKAN FITRAHMU

In Soal Jawab Zakat, Tazkirah by noormala0 Comments

Soalan:

Bolehkah ustaz terangkan dengan lebih jelas perihal zakat fitrah? Mungkin masih ramai yang tidak memahami mengenainya?

 

Jawapan:

Allah SWT mensyariat zakat fitrah pada bulan Syaaban, tahun kedua hijrah. Ia ditunaikan bagi melengkapi ibadah puasa Ramadan. Hikmah terbesar, agar mereka yang tidak bernasib baik dapat turut gembira pada Aidilfitri.

Indahnya lagi kerana zakat fitrah itu seiring dengan Aidilfitri. Kedua-duanya berkaitan dengan fitrah, iaitu asal diri manusia yang suci tanpa dosa. Seperti bayi baharu lahir. Zakat fitrah melengkapi Aidilfitri, sekali gus menjadi penutup Ramadan yang sangat bererti.

Daripada Ibnu Abbas r.a: “Bahawa Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai pembersih (penyucian) bagi orang yang berpuasa daripada perkataan yang tidak berguna dan kotor dan sebagai makanan bagi orang-orang miskin. Maka sesiapa yang mengeluarkannya sebelum solat (Aidilfitri), ia menjadi zakat yang diterima dan sesiapa mengeluarkannya setelah solat, ia menjadi sedekah biasa,” – Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah, hadis  sahih menurut Hakim.

&nbsp

PERMASALAHAN DAN PENYELESAIANNYA

 

  • Menjadi kelaziman di Malaysia, ayah akan menunaikan kewajipan zakat fitrah bagi diri, isteri dan anak-anaknya termasuk anak gadis yang belum bersuami.
    • Para fuqaha berpandangan seorang bapa hakikatnya tidak lagi wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi anak-anaknya yang sudah baligh dan mampu berdikari. Mereka patut menunaikannya sendiri.
  • Jika mempunyai ibu ayah yang tidak mampu, si anak wajib menanggung zakat fitrah mereka.
  • Tidak menjadi kesalahan bagi seorang anak gadis jika mahu menunaikan zakat fitrah bagi ibu bapanya yang kaya. Dia hanya perlu memohon izin dan ia adalah perbuatan terpuji kerana membuktikan kasih sayang kepada ibu bapanya.
  • Apabila suami meninggal dunia dan anak-anak dipelihara oleh ibu, maka ibu yang perlu menunaikan zakat fitrah mereka.
    • Jika ibu tidak mampu, kewajipan itu berpindah kepada datuk atau bapa saudaranya.
    • Jika berlaku penceraian, maka selagi masih dalam tempoh idah, suami masih wajib menunaikan zakat fitrah bagi pihak isterinya.
  • Mempunyai anak-anak yang bukan daripada nasabnya sendiri, anak tiri atau angkat.
    • Perlu meminta izin daripada bapa kandung mereka atau datuknya atau wali mereka yang sah di sisi syarak untuk menunaikan zakat fitrah mereka.
    • Jika sudah tidak diketahui di mana walinya mungkin sudah mati, maka boleh sahaja mengambil harta si anak untuk dikeluarkan zakat fitrahnya.
    • Jika anak sudah boleh berfikir (mumaiyiz), bolehlah meminta izinnya untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya.
  • Ingin tunai zakat fitrah bagi pembantu rumah atau yang tiada pertalian nasab dengannya.
    • Sebenarnya boleh sahaja menunaikan zakat fitrah bagi yang tidak termasuk dalam tanggungan nafkah wajib.
    • Syaratnya wajib mendapat izin daripada mereka, jika diizinkan baharu menjadi sah.
  • Dalam keadaan tertentu, jika anak-anak mempunyai hartanya sendiri, mereka boleh menunaikan zakat fitrah mereka sendiri. Ia adalah sah.

&nbsp

Jika mahu mengeluarkan zakat fitrah berasaskan gred beras yang lebih mahal, ia dibolehkan. Namun tidak boleh menurunkan harganya lagi kerana nilai RM7 itu dianggap harga yang setara dan mampu bagi semua orang. Namun jika ada pihak yang berkeras mahu menunaikan fitrah dengan beras, ia masih lagi diterima dengan sah.

Zakat fitrah boleh ditunaikan di tempat kita tinggal. Namun fuqaha berpandangan, ia menjadi lebih afdal ditunaikan di tempat kita mendirikan solat Aidilfitri. Ini berdasarkan hadis sahih Imam Bukhari, iaitu para sahabat diperintahkan oleh Nabi SAW untuk menunaikan zakat fitrah sebelum mereka keluar menunaikan solat Aidilfitri. Sebab itulah, waktu itu juga menjadi paling afdal.

&nbsp

Disediakan oleh:

Ustaz Hamizul Abdul Hamid

Perunding Dakwah Strategik

Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Leave a Comment